|
|
INI baru minggu kedua. Berilah saya peluang. Janganlah nilai mereka sekarang. AF (Akademi Fantasia) bukan semata-mata kejayaan saya seorang. Ini kerja berkumpulan. Apa yang saya lihat, prestasi pelajar semakin baik.''
Demikiah luahan Pengetua AF musim kelapan (AF8), Norman Abdul Halim saat dihidangkan dengan persoalan mengenai perjalanan AF8 yang bagaikan hilang seri seperti diperkatakan Joyah Spot di ruangan Panas Seminggu Bersama Joyah Spot, sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia, Ahad lalu.
Bersandarkan tajuk Mana Magis Norman? Joyah Spot antara lain mempersoalkan ke manakah hilangnya sentuhan magis Norman dalam membawa kembali sinar populariti AF termasuk mengetengahkan kekuatan seni barisan pelajarnya.
Memberi maklum balas mengenai apa yang diperkatakan itu, tegas Norman, adalah terlalu awal untuk memberikan penilaian terhadap hasil kerjanya.
Perubahan, jelasnya, akan datang secara berperingkat dan masih banyak lagi ruang untuknya dan warga kerja AF8 membawa elemen magis dalam akademi musim ini.
"Banyak lagi akan dapat kita saksikan selepas ini. Saingan kalangan pelajar sebenarnya adalah sengit.
"Cuba kita saksikan peratusan undian mereka setakat ini yang tidak terlalu berbeza jurang antara setiap pelajar.
"Bagi saya AF masih relevan dan rating serta undian kalangan penonton juga menunjukkan peningkatan,'' katanya ketika ditemui selepas Debaran AF8 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Ahad lepas.
Debaran AF8 untuk minggu kedua menyaksikan pelajar dari Ranau, Sabah, Erma Suhaimi atau Ema, 21, menjadi pelajar wanita pertama disingkirkan.
Minggu lalu, Muhammed Shahril Mohd. Saleh Hussein (Shah), 25, tersingkir sekaligus merupakan pelajar pertama yang gagal meneruskan perjuangan di AF8.
Untuk minggu kedua, Ema memperoleh peratusan undian tercorot berbanding 10 pelajar lain.
Ketiadaan Ema seakan menukar persekitaran pembelajaran AF8 apabila tiada lagi pasangan adik-beradik dalam akademi itu.
Ema merupakan kakak kepada seorang lagi pelajar AF8 iaitu Siti Adira Suhaimi (Adira), 19.
Dengan penyingkiran Ema, selain Adira, sembilan lagi pelajar akan meneruskan saingan di minggu ketiga dan mereka adalah Muhd. Shahril Firdaus Eli (Daus), 22; Nadia Emilia Roselan (Nad), 22; Muhammad Alif Kadim (Alif), 19; Zafarina Jamhari (Farina), 28; dan Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20.
Peserta lain, Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum), 19; Nadiawaty Ainul Basir (Ain), 24; Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), 22; serta Ahmad Shahir Zawawi (Shahir), 22.
Menyambung kata-kata, jelas Norman, penilaian prestasi terhadap AF8 dan barisan pelajarnya seharusnya dilakukan di akhir minggu nanti.
"Jika mahu membuat penilaian terhadap prestasi pelajar, buatlah di konsert akhir. Untuk menilai saya pula, nilailah apabila saya sudah tidak bersama AF8 lagi.
"Lihatlah bagaimana saya akan cuba membawa mereka ke dalam industri muzik selepas ini,'' kata Norman lagi.
Meskipun begitu, Norman berterima kasih terhadap sebarang komen serta kritikan yang diberikan terhadap AF8 dan akan cuba memperbaiki prestasi AF8 dari masa ke semasa.
Mengenai kekuatan seseorang pelajar yang masih berada dalam AF8, Norman memberitahu bahawa pihaknya mempunyai perancangan untuk membentuk aliran muzik mereka sendiri.
"Kalau kita melihat persembahan artis, kita bukan hanya menjadi pendengar kepada alunan vokal yang mereka lontarkan.
"Segenap aspek akan kita perhatikan termasuk pemakaian dan komunikasi. Inilah yang akan kami bentuk dalam AF8.
"Begitu juga dengan aliran muzik masing-masing. Contohnya Maulana. Dia pelajar yang sukakan irama jazz. Oleh itu, kami sedang cuba membentuk dirinya ke arah yang dia sendiri minat,'' katanya.
Penyingkiran Ema
Ditanya mengenai penyingkiran Ema, Norman berkata, pelajar wanita itu tidak berada dalam senarai zon bahaya seperti yang dijangkanya sebelum ini.
"Saya kecewa kerana dia tersingkir. Persembahan Ema kalau dilihat tidaklah terlalu banyak kesilapan yang dilakukannya.
"Keberaniannya terserlah ketika membawakan lagu Pakai Buang nyanyian Stacy. Saya tidak anggap Ema gagal.
"Saya juga terkejut apabila Maulana berada di tiga tangga terbawah. Dia adalah antara pelajar terbaik,'' ujar Norman.
Debaran AF8 bagi minggu kedua menyaksikan Iwan atau nama sebenarnya Emirza Azwan Zulazrin Chew berada di tangga teratas dengan memperoleh 12 peratus undian.
Untuk minggu kedua, Iwan sememangnya menjadi pilihan kedudukan tiga pelajar terbaik oleh Norman sendiri termasuk dua pengkritik tetap AF8 iaitu, Aznil Nawawi dan Adlin Aman Ramlie.
Selain Iwan, dua pelajar lagi yang mendapat pilihan di kedudukan terbaik kalangan pengetua dan seorang lagi pengkritik undangan iaitu Deja Moss adalah Maulana dan Adira.
Bagi tiga pelajar yang menunjukkan persembahan kurang memuaskan di minggu kedua, Norman melahirkan rasa bimbangnya terhadap Farina, Nad dan juga Shahir.
Ema terima dengan hati terbuka
Dalam pada itu, Ema menerima dengan hati terbuka terhadap apa jua keputusan yang dilakukan oleh penonton.
Agak kecewa kerana tidak dapat meneruskan pengajian di akademi, Ema memberitahu bahawa semangatnya tidak akan luntur dan mahu meneruskan perjuangan dalam bidang seni.
"Sebelum ini saya adalah orang yang tidak memiliki keyakinan yang kuat. Adakalanya malu untuk berhadapan dengan orang ramai.
"Selepas memasuki AF, saya belajar untuk menambahkan keyakinan diri. Saya rasa cukup bertuah kerana memiliki barisan tenaga pengajar yang cukup prihatin dengan masalah saya,'' katanya.
Ujar Ema, dunia seni ada keunikannya tersendiri biarpun di mata sesetengah pihak ia hanyalah satu bidang yang sia-sia.
"Saya berazam untuk terus menyelami bidang seni,'' kata Ema penuh yakin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: