Wednesday, March 31, 2010

Angan 'Diana In Wonderland'

Diana sering mendapat watak yang lebih dari usianya

KEJELITAAN dan bakat yang seiring mengangkat pemilik nama Diana Danielle sebaris dengan artis kelas A tanah air walaupun baru beberapa tahun menceburkan diri dalam industri hiburan.

Diana atau lebih mesra mengelarkan dirinya D kini mampu tersenyum kerana bukan sahaja lakonan dan duta produk malah dia juga sudah berjaya mengembangkan bakat yang ada kepada bidang nyanyian.

D yang bakal keluar dengan filem terbaru berjudul Magika pada September ini juga mempunyai persepsi tersendiri terhadap fenomena filem di Malaysia.

Menurut pelakon jelita ini, filem berkonsepkan fantasi semakin mendapat perhatian dan tempat di hati peminat-peminat.

“Filem-filem fantasi Disney seperti Alice In Wonderland, Cinderella, Snow White dan sebagainya semakin mendapat tempat. Walaupun filem jenis kartun atau fiksyen namum filem sebegini juga ada menyelitkan unsur-unsur positif.

“Pada saya bukan sahaja kanak-kanak yang suka tengok cerita seperti ini tapi ia mampu menarik seisi keluarga ke pawagam.

“Secara jujurnya saya memang suka tengok cerita-cerita seperti ini, ia tak berat dan sesuai untuk rehatkan minda setelah penat bekerja,” jelasnya yang berangan-angan menjadi Alice In Wonderland versi Melayu.

Gadis berusia 20 tahun ini turut mengakui bahawa dia sering mendapat watak yang lebih dewasa berbanding usia sebenarnya yang masih di peringkat remaja.

“Walaupun saya sering bawa watak wanita dewasa tapi jauh di hati saya teringin memegang watak seperti dalam cerita-cerita Disney.

“Filem terbaru KRU yang berjudul Magika adalah salah satu filem yang boleh saya katakan sesuai dengan jiwa saya. Saya memegang watak Ayu yang tersesat di alam lain dan dalam proses mencari jalan pulang pelbagai kejadian pelik yang saya lalui.

“Watak tersebut tidak begitu berat dan serius, jalan cerita juga simple tapi cara penyampaianya sangat menarik. Pendek kata saya sangat sukakan cerita seperti ini.

“Dalam cerita ini saya berlakon dengan pelakon lebih berpengalaman seperti M. Nasir, Maya Karin, Ning Baizura, Adibah Noor, Vanidah Imran, Nabil (Raja Lawak), Saiful Apek dan Aznil Hj Nawawi.

“KRU sudah nampak trend filem dunia, kalau dulu mungkin kita dilimpahi cerita seram tapi sekarang cerita-cerita seperti ini pula yang mula mendapat perhatian,” jelasnya.

Pelakon muda ini juga berharap agar lebih banyak produksi filem cuba menerbitkan filem-filem fantasi Disney kerana melalui filem barat yang masuk ke Malaysia seperti Alice in Wonderland telah mendapat sambutan yang sangat mengalakkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: