Monday, March 29, 2010

Liga lego uji kreativiti pelajar


Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadilah Yusof (tiga dari kanan) dan Datuk Noor Rezan Bapoo (dua dari kanan) bersama pasukan SJK (C) Davidson yang menjadi johan First Lego League Malaysia Open di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 28 Mac – Kejohanan Liga Lego FIRST (FLL) Terbuka Malaysia 2010 menjadi platform untuk pelajar mempersembahkan idea kreatif masing-masing dalam mereka cipta sebuah robot.

Pengasas For Inspiration and Recognition of Science and Technology (FIRST), Dean Kamen berkata, pertandingan bertemakan Smart Move itu menguji kebolehan pelajar menghasilkan robot yang dapat meningkatkan keberkesanan sistem pengangkutan di negara ini.

Menurut beliau, peserta dinilai melalui empat perkara utama iaitu persembahan projek, persembahan robot, reka bentuk teknikal dan program robot serta semangat kerjasama berpasukan.

Misi pertandingan ini, katanya, adalah untuk pelajar mengetahui bagaimana cara terbaik merangka laluan yang cekap, tanjakan pendakian curam, tindak balas kepada perubahan keadaan dan ujian ketahanan rempuhan bagi membantu mereka memahami fungsi sistem pengangkutan yang cekap.

“Smart Move juga memberi peluang kepada pelajar untuk memperolehi pengalaman sebenar dengan menggunakan daya imaginasi dan kreativiti dalam bidang sains dan teknologi serta merasai keseronokan menghasilkan sesuatu ciptaan baru,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Liga Lego FIRST 2010 di Pusat Sains Negara, di sini baru-baru ini.

Pertandingan yang dianjurkan bersama Sasbadi Sdn. Bhd. itu disertai pelajar sekolah berumur sembilan hingga 16 tahun. Sebanyak 63 pasukan mengambil bahagian dari seluruh negara dan kejohanan berlangsung dalam tempoh lapan minggu.

Kamen berkata, pertandingan itu dapat membantu pelajar meningkatkan kemahiran mereka dalam kebolehan menyelesaikan masalah, daya pemikiran kreatif, persaingan sihat, serta semangat kerjasama, kesukanan dan bermasyarakat.

Pasukan dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur, muncul juara keseluruhan.

Tempat kedua dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu, Sarawak manakala tempat ketiga diraih Sekolah Menegah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

SJKC Jalan Davidson yang menggunakan nama Davidson Knights turut menjadi pemenang tempat pertama dalam kategori Persembahan Robot Terbaik.

Pertandingan itu mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelajaran, Pusat Sains Negara, Microsoft, Institut Kejuruteraan dan Teknologi (IET) Malaysia, Lego Education dan Kumpulan Utusan.

Ia turut mendapat kerjasama pakar dari Pusat Penyelidikan Universiti Michigan, Amerika Syarikat serta beberapa jurutera pembangunan perisian dari syarikat Garmin dan General Motors Corporation.

FIRST merupakan sebuah organisasi berkaitan bidang sains dan teknologi telah menganjurkan Kejohanan Liga Lego FIRST (FLL) di peringkat dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: