|
|
KEJAYAAN yang dikecapi oleh Datuk Michelle Yeoh sehingga diterima masyarakat antarabangsa sememangnya cukup mengagumkan.
Bermula dengan filem Tomorrow Never Dies, nama Michelle terus mekar dan mengharum sehingga layak membintangi filem-filem hebat selepas itu.
Antaranya ialah Memoirs of a Geisha, The Touch, Crouching Tiger, Hidden Dragon dan The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor yang terus meletakkan namanya sebagai bintang Asia yang disegani di peta perfileman dunia.
Malah, tidak keterlaluan dikatakan jika Michelle dianggap sebagai pelopor bagi aktres Asia lain untuk mengembangkan bakat mereka di pentas dunia.
Dalam meladeni kehidupannya yang sentiasa sibuk dengan pelbagai agenda sebagai seorang anak seni, satu yang pasti Michelle sesekali tidak akan berkompromi ialah tentang cara hidup.
Malah, anak kelahiran Ipoh, Perak itu juga tidak pernah menjadikan kesibukannya sebagai seorang aktres untuk tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat.
"Sesibuk mana kita sekalipun, jangan sesekali kita mengabaikan kesihatan dan senaman itu perlu untuk terus mengekalkan stamina serta membuatkan kita cergas bergerak.
"Apa yang saya perhatikan lewat ini ramai yang menjadikan kesibukan itu sebagai satu alasan untuk tidak bersenam.
"Bukan itu sahaja, pemikiran masyarakat hari ini yang suka mengaitkan senaman dengan gimnasium juga perlu diubah.
"Adakah semata-mata kita tidak boleh ke gimnasium menjadikannya ia sebagai satu tiket bahawa kita tidak boleh bersenam," soalnya kepada hadirin.
Michelle berkata demikian dalam satu pertemuan singkat sewaktu sidang akhbar pelancaran susu terbaru Anlene di ibu negara baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Besar Fonterra Brands Sdn. Bhd., John McKay dan Pengurus Kanan Bahagian Kesihatannya, Joanne Todd.
Dalam usianya yang bakal mencecah 48 tahun pada 6 Ogos ini, Michelle atau nama sebenarnya Michelle Yeoh Choo-Kheng mengakui, tidak lagi mengamalkan rejim senaman seperti mana yang dilakukan ketika usia mudanya.
"Memadai bagi saya sekadar untuk meregangkan otot di mana sahaja saya berada. Saya akan melakukannya walaupun ketika di atas katil mahupun sedang menonton televisyen di atas sofa.
"Malah, sewaktu memberus gigi pun, saya pasti akan melakukan regangan.
"Masyarakat perlu tahu apa yang tubuh mereka perlukan dan ini amat berbeza dengan setiap individu.
"Begitu juga dengan saya kerana apa yang penting adalah mengamalkan diet yang seimbang di mana saya akan lebihkan buah-buahan dan juga sayur-sayuran," ujarnya.
Kebanyakan wanita moden hari ini dilihat begitu taksub dengan kecantikan sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi cantik.
Sebagai seorang wanita Asia yang masih lagi mengekalkan kejelitaan dan elegannya, Michelle mempunyai pandangan peribadinya sendiri apabila diajukan soalan sedemikian.
"Kalau sekadar mementingkan kecantikan luaran sahaja, tidak berguna juga. Bagi saya, kecantikan dalaman itu lebih penting dan saya amat menjaga soal itu.
"Kerana bagi saya, kalau kecantikan dalaman itu dijaga dan dipelihara sebaiknya, ia akan menyerlah secara semula jadi," jelasnya yang baru sahaja dilantik sebagai ikon membaca bagi kempen Marilah Membaca 1Malaysia anjuran Perpustakaan Negara.
Menyentuh tentang peranannya sebagai duta Anlene sejak hampir dua tahun lalu, dia tidak akan menerima tawaran untuk menjadi jurucakap seandainya dia sendiri tidak menggunakan produk berkenaan.
Jelas bekas Ratu Cantik Malaysia 1983 itu lagi, dia tidak mahu menipu masyarakat dengan sekadar menjual wajahnya sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang dilakukannya.
Dalam soal ini katanya, Anlene bukan sahaja menjual produknya tetapi juga menyelitkan informasi yang dapat menyakinkan pengguna.
"Saya bertuah dan beruntung kerana sejak kecil, saya sudah dididik untuk meminum susu oleh ibu saya yang begitu menitik beratkan soal kesihatan.
"Pernah juga dia mengejar saya keliling rumah hanya kerana saya enggan minum tetapi akhirnya, kesedaran itu akan timbul dengan sendiri.
"Inilah yang harus dipupuk sejak kecil agar anak-anak kita akan dapat mewarisinya kepada generasi seterusnya," ujarnya yang kini sibuk dengan penggambaran filem terbarunya, Reign of Assassins.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: