Tuesday, March 30, 2010

Kisah juara solo tarian Gatsby




KEHADIRANNYA ke bandar Shibuya, Tokyo, Jepun hanya ditemani semangat untuk mengharumkan nama negara pada pentas akhir pertandingan Gatsby Styling Dance Asia Pasifik 2009/2010.

Berbanding penyertaan lain dari enam buah negara yang kesemuanya terdiri daripada peserta berkumpulan, Alex Lim atau lebih dikenali sebagai Popping Rex tampil secara solo untuk bersaing dengan mereka.

Jika dilihat di atas kertas, kemungkinan untuk Alex, 21, mengungguli acara tarian paling berprestij di Asia itu amat rendah jika mengambil kira faktor tarian berpasukan yang lebih hebat dan mampu memberi impak besar kepada pengunjung dan juri.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu begitu jugalah takdir anak muda kelahiran Klang, Selangor itu.

Persembahan secara solonya penuh bersahaja, tetapi padat dan lengkap dengan aksi tersendiri termasuk sedikit humor yang diadun dalam tarian rekaannya. Alex berjaya mengangkat imej Malaysia apabila muncul juara dalam pertandingan bertaraf antarabangsa tersebut.

Sewaktu pengacara majlis mengumumkan kemenangan berpihak kepadanya, penulis termasuk empat wakil media dari Malaysia turut melonjak kegirangan lantaran teruja dengan kejayaannya.


GAYA tarian Alex yang berjaya memikat hati juri.


“Betul ke saya yang menang? Tolong sesiapa cubit saya untuk membuktikan bahawa kemenangan ini bukan mimpi,” ujar Alex dalam ucapannya sambil berjenaka sejurus dinobatkan sebagai juara sekali gus disambut hilai tawa penonton yang memenuhi dewan di Shibuya O-East pada penghujung Februari lalu.

Mengulas lebih lanjut mengenai kemenangan Alex, ketua juri, Charisma Kantaro berkata, street dance atau tarian jalanan tidak mempunyai elemen tertentu untuk dihuraikan kerana ia bersifat bebas.

Namun, ia bergantung kepada kreativiti seseorang penari dalam mempersembahkan sesebuah tarian agar kelihatan ‘hidup’ melalui skil atau teknik tarian yang dikuasai.

“Secara umum, prestasi tarian yang dipersembahkan tahun ini amat memberangsangkan. Setiap peserta mempunyai keistimewaan tersendiri . Sebagai juri, kami turut berdepan dengan situasi di mana sukar untuk memilih juara.


PRESIDEN Mandom Corporation Jepun, (tiga dari kiri) Motonobu Nishimura menyampaikan hadiah kemenangan kepada Alex.


“Ini semua disebabkan setiap juri mempunyai peserta kegemaran masing-masing. Bagaimanapun, selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk menghimpunkan markah yang diterima peserta secara purata, kami sepakat menobatkan Alex sebagai juara,” jelas Charisma yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam industri tarian jalanan di Jepun.

Busana tradisional

Juri lain termasuklah penari profesional Jepun seperti Dee, Fishboy dan Miho Brown serta juri khas yang terdiri daripada seorang pelajar dari kesemua tujuh negara yang mengambil bahagian. Acara itu dihoskan oleh You-Gee dan diiringi penari jemputan seperti Over Flow, Luciffer dan D-Blast.

Diiringi beberapa lagu berentak rancak selama tiga minit, Alex yang segak dalam persalinan samfu, busana tradisi Cina berona kuning cair berjaya membawa penonton ‘masuk’ ke dalam tarian yang dipersembahkan.

Liuk-lentuk badannya dalam mempamerkan gerak tari popping yang dikoreograf sendiri mengikut irama memukau mata yang memandang.

Selain memuatkan aksi tarian moden, Alex turut menyuntik elemen tarian ala-kung fu dan berunsur jenaka melalui mimik muka serta bahasa tubuh yang secara tidak langsung berjaya menghiburkan penonton.

Menurut Alex, dia tidak menyangka mampu menggondol gelaran utama dalam pertandingan tarian kreatif itu. Apatah lagi, tampil secara solo tanpa bantuan rakan sepasukan membuatkan Alex mengakui peluang untuk menang agak sukar.

“Sejak terpilih mewakili negara pada saingan tempatan akhir 27 Januari, saya nekad untuk memberikan satu persembahan sebaik mungkin.

“Walaupun tidak menang, sekurang-kurangnya saya dapat membuktikan kemampuan rakyat Malaysia untuk bersaing dengan peserta lain,” kata pelajar The Royal Phantom Dance Studio di Kota Damansara, Selangor itu.

Dengan kejayaannya itu Alex membawa pulang wang sebanyak ¥300,000 (RM10,000), sebuah trofi, produk Mandom dan lawatan pertukaran tarian yang ditanggung sepenuhnya ke mana-mana dua buah negara yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Menurut Alex, dia menjadikan Michael Jackson (MJ) sebagai sumber inspirasinya dalam bidang tarian. Alex juga memenangi Anugerah Gatsby Grooving kerana gaya tariannya yang bercirikan funky.


DUA penari profesional, Fish Boy dan Dee bertindak sebagai juri pertandingan tersebut.


Sementara itu, disebabkan mutu tarian yang semakin baik, para juri bersetuju untuk memberikan gelaran naib juara kepada dua kumpulan yang bertanding.

Impian tidak kesampaian

Kumpulan 4C The Power yang mewakili Korea dan Bloos Dynamite dari Hong Hong berkongsi gelaran tersebut selepas masing-masing ‘menghidangkan’ aksi tarian yang penuh bertenaga untuk ditonton.

Bagaimanapun, kekecewaan jelas terpancar pada wajah peserta Hong Kong apabila mereka gagal mengungguli gelaran juara Asia Pasifik yang diidamkan.

“Kali ini kami hadir untuk merampas gelaran juara yang terlepas tahun lalu. Tetapi, impian kami nampaknya tidak terlaksana.

“Apa pun, kami tetap berbangga kerana walaupun tidak menang, namun gelaran naib juara yang disandang tahun lalu masih memihak kepada kami,” jelas Louisy Pong, 20, sambil memberitahu dia dan pasangannya, Lil’3 sudah menari bersama sejak empat tahun lalu ketika di sekolah tinggi.

Bagi ketua kumpulan 4C The Power, Kim Su, dalam nada berjenaka berkata, dia cemburu dengan Alex yang beraksi secara solo tetapi berjaya mencuri perhatian juri.

Namun, mengakui kalah menang adalah adat dalam sesuatu pertandingan, remaja berusia 24 tahun itu turut melahirkan rasa bangga kerana berpeluang menyertai pertandingan berprestij seumpama itu.

“Ini merupakan kali pertama kami bertanding di peringkat antarabangsa. Justeru, banyak pengalaman berharga yang kami peroleh yang akan digunapakai pada masa akan datang,” tuturnya.


ALEX menerima sentuhan penggaya rambut terkenal Jepun, Masanori Takada.


Selain Kim Su, 4C The Power turut dibarisi oleh dua penari lain iaitu Kim Yeon Soo, 24, dan Chey Dong Wook, 23. Kesemua mereka merupakan sahabat baik sejak belasan tahun cuma mereka berpeluang menari bersama dalam tempoh kurang tiga bulan.

Hadiah naib juara berupa wang tunai bernilai ¥100,000 (RM3,783), sebuah trofi, produk-produk Mandom dan lawatan pertukaran tarian ke salah sebuah negara yang mengambil bahagian.

Dalam pada itu, empat kumpulan lain yang bertanding ialah The Penguin dari Jepun, TPEC (Taiwan), The Basic Fives (Singapura) dan Slamdown Crew (Indonesia).

Kumpulan The Penguin mewakili Jepun selepas muncul juara untuk saingan akhir tempatan yang diadakan satu jam sebelum final Asia Pasifik berlangsung. Mereka berjaya menewaskan empat finalis lain iaitu juara Asia Pasifik 2008-2009, KoRocK, ALL-OVER, creatures B dan Ryota.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: