Tuesday, March 30, 2010

Operasi rapatkan hubungan anggota


DUA anggota Pasukan Gerakan Marin mengendalikan bot marin jenis PA ketika menjalani latihan di Pulau Tenggol, Terengganu baru-baru ini.


BIARPUN menghadapi pelbagai cabaran dan bahaya baik dari manusia atau cuaca tidak menentu dalam mengawal perairan negara, semangat setiakawan dan persahabatan yang wujud di kalangan anggota dan pegawai polis marin menjadikan ia bukan faktor yang menakutkan.

Keakraban itu wujud ketika mereka bersama melakukan rondaan dalam memantau dan membanteras kegiatan jenayah di lautan yang terbentang luas.

Ini kerana anggota dan pegawai perlu bergantung antara satu sama lain dalam rondaan yang adakalanya memakan masa sehingga lebih 10 hari.

Dalam tempoh itu, salah seorang daripada mereka akan ditugaskan untuk memasak makanan untuk hidangan pagi, tengah hari dan malam.

Selalunya tugas berkenaan akan diberikan kepada mereka yang pandai memasak kerana hakikatnya siapa yang hendak makan makanan yang rasanya tak sedap.

Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd. Saleh Mat Jani berkata, rutin itu akan dirasai oleh lapan atau 18 polis marin bertugas mengikut jenis kapal rondaan yang digunakan iaitu kapal ronda kelas PA atau PX.

"Mereka duduk makan bersama antara pegawai dan anggota di dalam kapal dan ini akan memupuk persahabatan antara mereka.

"Tiada jurang yang terbentuk antara pegawai dan anggota kerana kami makan bersama. Ini adalah salah satu aktiviti yang merapatkan hubungan kami," katanya ketika ditemui Gaya Polis pada sesi latihan PGM wilayah itu di Pulau Tenggol, Dungun baru-baru ini.

Beliau berkata, keadaan itu agak berbeza bagi anggota dan pegawai polis yang bekerja di cawangan dan jabatan lain kerana apabila habis bertugas, mereka tidak akan duduk makan bersama sebaliknya pulang ke keluarga masing.

"Bagi kapal kelas PA dan PX, ia dilengkapi dengan dapur dan bilik yang membolehkan polis marin membuat rondaan dalam jangka waktu yang lama," ujarnya.

Mengulas mengenai tugas di atas kapal ronda, katanya, seramai empat orang akan bertugas mengikut syif.

"Seorang pegawai bertugas (officer on watch), seorang pemandu kapal dan dua pemerhati.

"Pemandu kapal hanya akan melayar atau memandu kapal selama sejam dan kemudian bertukar dengan salah seorang pemerhati," katanya.

Beliau menambah, baki anak kapal akan berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, polis marin mempunyai lima buah kapal ronda kelas PX, kapal ronda kelas PA (lima), bot ronda kelas PC (lima), bot ronda kelas PSC (lima) bot ronda kelas PGR (empat) dan bot ronda kelas RH (dua) untuk mengawal perairan di Wilayah Timur.

Beliau berkata, tugas rondaan dilakukan secara pintar di mana rondaan dibuat berdasarkan maklumat.

"Apabila kapal ronda berjaya mengesan pesalah atau penjenayah, kami melakukan usaha memintas dan menahan," ujarnya.

Selain melakukan rondaan, katanya, pihaknya juga melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Bagi dua anggota polis wanita, Konstabel Suriati Ghani, 24, dan Konstabel Faridah Mustaza, 28, peluang menyertai PGM digunakan untuk menunjukkan kemampuan wanita dalam menghadapi cabaran sebagai anggota pasukan keselamatan itu.

Suriati yang bertugas di Bahagian Pejabat Gerakan PGM berkata, mereka berdua ditugaskan ke cawangan tersebut selepas tamat latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Kami kemudian mengikuti kursus marin di Pulamar (Pusat Latihan Marin) di Tampin, Johor.

"Kursus itu amat mencabar. Kami berada di laut selama 10 hari dan belajar memandu kapal dan jet ski," katanya.

Dia yang berasal dari Kelantan itu berkata, antara pengalaman yang tidak akan dilupakan adalah mereka perlu meronda di Pulau Batu Pintu sehingga menghampiri perairan Singapura dari pangkalan Pulamar menggunakan jet ski.

Faridah pula berkata, bertugas sebagai anggota polis marin mempunyai kelebihan kerana mereka bukan sahaja perlu menjaga keselamatan di laut namun juga di darat.

"Pengalaman bertugas di cawangan ini amat luas dari segi kerja dan tidak terhad di darat sahaja," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: