Tuesday, March 30, 2010

38 maut di Moscow


BEBERAPA anggota bomba dan penyelamat merawat mangsa letupan di stesen Park Kultury, Moscow semalam.


MOSCOW - Dua pengebom berani mati wanita membunuh 37 orang manakala 38 cedera parah dalam dua buah tren bawah tanah yang dipenuhi penumpang pada waktu pagi di sini semalam.

Letupan pertama berlaku di gerabak kedua sebuah tren pada pukul 7.58 pagi waktu tempatan di stesen Lubyanka, dekat ibu pejabat perkhidmatan keselamatan dalam negeri Rusia, Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) menyebabkan 23 orang terbunuh.

Kira-kira 40 minit kemudian, satu letupan berlaku di gerabak kedua sebuah tren lain di stesen Park Kultury dan membunuh sehingga 14 orang.

Ketua FSB, Alexander Bortnikov berkata, serangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Caucasus Utara yang melancarkan pemberontakan menentang pihak berkuasa pro-Kremlin.

Datuk Bandar Moscow, Yuri Luzhkov memberitahu pemberita bahawa pengebom berani mati wanita melakukan serangan tersebut.

Pendakwa raya menyatakan satu siasatan mengenai pengganas dimulakan selepas pakar-pakar forensik menemui rangka seorang pengebom berani wanita.

Beberapa saksi berkata, suasana panik berlaku di kedua-dua stesen itu dengan ramai orang berlari dan sebahagiannya rebah ekoran asap tebal serta debu selepas letupan berlaku.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengutuk serangan itu manakala Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin berikrar bahawa pihak bertanggungjawab yang melakukan serangan tersebut akan ditangkap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: