Tuesday, March 2, 2010

Usahawan muda kantin sekolah

Baru berusia 26 tahun, Amni kini sudah bergelar pengusaha kantin di Sekolah Menengah Yaacob Latiff, Cheras, Kuala Lumpur.


ANTARA tukang masak termuda di negara ini yang berjaya mendapat tender perniagaan di kantin sekolah.


KECEKALAN Nik Syarifah Zata Amni Zulkifli, 26, atau lebih mesra dipanggil Amni bermula dari bawah dengan mempertaruhkan masa depannya menceburi bidang perniagaan ternyata tidak sia-sia.

Hari ini kecekalan itu terbalas apabila, dia antara tukang masak termuda yang berjaya memiliki tender perniagaan kantin sekolah di negara ini.

Mengusahakan kantin di Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latiff, Cheras, Kuala Lumpur, sejak awal Januari lalu, Amni memiliki kelulusan Diploma Seni Kulinari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun, Terengganu.

Walau bagaimanapun, Amni yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu sudah bertatih meraih pengalaman dalam bidang masakan sejak lima tahun lalu.

Untuk mengenali Amni dengan lebih dekat, GenK mengajukan soalan kepadanya.

Bagaimana Amni boleh terlibat dalam bidang kulinari?

Semasa belajar di UiTM, setiap kali cuti semester, saya akan bekerja separuh masa di restoran makanan segera A&W. Selepas habis belajar di UiTM pada tahun 2005, saya bekerja separuh masa sebagai tukang masak di sebuah restoran di Dungun selama setahun.

Selepas itu, pada tahun 2006, saya bekerja di Hotel Eastin, Petaling Jaya sebagai tukang masak kedua. Pada tahun 2007, saya mendapat tawaran bekerja di Hotel One World, Petaling Jaya sebagai tukang masak pertama.

Berhenti pada Januari 2009, saya pulang ke Kelantan dan membuat katering di sana selama setahun. Berkat modal yang diperoleh, Amni kembali ke Kuala Lumpur dan mengusahakan kantin sekolah bersama suami, Nor Shahmad Faizal Hassan, 30. Kebetulan, suami juga lahir dalam keluarga yang mempunyai perniagaan, jadi dia tidak mempunyai masalah dalam selok-belok perniagaan.

Kenapakah Amni memilih bidang masakan?


AMNI tetap mengamalkan etika kulinari yang dipelajarinya sama ada menyediakan makanan di hotel mahupun jualan makanan di kantin sekolah.


Saya lahir dalam sebuah keluarga yang menjalankan perniagaan. Nenek sebelah ayah dan mak memang membuat katering untuk majlis kahwin. Sejak kecil lagi sudah tolong nenek dalam perniagaannya. Sebab itu sejak berumur 9 tahun, saya sudah pandai masak masakan yang mudah.

Apakah cabaran yang dihadapi Amni sepanjang menceburi bidang ini?

Cabaran paling hebat pernah dihadapi sewaktu bekerja di hotel. Bayangkan, hanya terdapat tiga orang pekerja wanita sahaja di sana. Kami sering dipandang rendah oleh kaum lelaki yang mengatakan kami tidak mampu membuat kerja dengan pantas dan bekerja berat. Saya buktikan kepada mereka yang saya berjaya menyiapkan sandwic sebanyak 100 keping dengan pantas tanpa bantuan sesiapa.

Selain itu, tidak dinafikan saya ada mendapat kritikan daripada pelanggan mengenai masakan. Saya tidak melatah, malah mencari jalan penyelesaian memperbaiki mutu masakan.

Apakah menu masakan menarik katering Amni?

Katering yang diusahakan saya hanya beroperasi sewaktu cuti sekolah. Menu yang disediakan adalah pelbagai iaitu set masakan Melayu, Cina dan India. Rasanya setaraf dengan masakan di hotel manakala harga sajian bermula dari RM10 hingga RM15 satu kepala.

Apakah perancangan Amni pada masa hadapan?

Saya merancang mahu membuka restoran yang berkonsepkan makanan barat yang diterapkan dengan ciri-ciri ketimuran. Sebagai contoh, nasi goreng chicken chop. Itu baru pelan A. Jika pelan A tidak menjadi, saya cuba pula pelan B iaitu menjalankan perniagaan mangkuk tingkat (makanan yang dihantar ke pejabat-pejabat).

Apakah tip kepada remaja yang ingin menceburkan diri dalam bidang kulinari?

Terlalu ramai individu yang menceburkan diri dalam bidang masakan. Justeru, anda perlu mencipta kelainan dari segi rasa, konsep dan perlu serasi dengan cita rasa pelanggan.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan juga perlu bagus terutamanya dari segi layanan.

2 comments:

  1. ni akak sekolah saya ni. adik dia mulut bising bising tu

    ReplyDelete
  2. ni akak kawan saya ni... adik dia cantik :)

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: