Tuesday, March 2, 2010

Fresco harum di luar negara

Mereka tidak dikenali secara umum di Malaysia. Namun, dalam diam kumpulan ini sudah bergelar juara dunia yang disegani dalam disiplin muzik harmonika.




EMPAT anak muda yang menghiasi muka depan GenK minggu ini mungkin kelihatan asing dalam dunia seni tanah air. Alat muzik yang mereka mainkan juga bukanlah alat muzik popular di kalangan anak muda seperti gitar, drum atau piano.

Namun, kehebatan mereka tidak boleh dinafikan. Pengiktirafan sebagai kumpulan terbaik di Festival Harmonika Dunia 2009 di Jerman dan beberapa pengiktirafan lagi membuktikan mereka ada kelas tersendiri.

Kumpulan anak muda yang diberi nama Fresco Harmonica Ensemble itu dianggotai oleh Soon Hock Chuan (peniup harmonika kromatik), 25, Choong Seet Yee, 22, (harmonika kromatik), Koh Keng Hong, 30, (kord) dan Liew Chzen Khee, 20, (bass).

Menceritakan mengenai penubuhan mereka, keempat-empat anak muda itu merupakan ahli dari kelab harmonika di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Yu Hua, Kajang, Selangor.


KEHEBATAN alunan harmonika Fresco menjadi sebutan peminat luar negara.


Selepas tamat persekolahan, Hock Chuan selaku ketua kumpulan tidak mahu bakat mereka dalam muzik harmonika terkubur, dia membuat keputusan untuk menubuhkan Fresco Harmonica Ensemble atau ringkasnya dipanggil Fresco. Untuk itu, dia mencari rakan-rakan yang berminat untuk berjuang bersama muzik minoriti di negara ini.

"Kumpulan kami ditubuhkan pada tahun 2006. Kami berempat secara sepenuh masa memenuhi undangan-undangan persembahan dan menyertai pertandingan di luar negara.

"Selain itu kami juga menjadi tenaga pengajar di sekolah-sekolah atau pusat-pusat muzik yang memerlukan khidmat kami," katanya yang mengakui tidak ramai pemain harmonika di Malaysia.

Seet Yee yang merupakan satu-satunya ahli wanita dalam kumpulan itu, berasa agak kelakar apabila memikirkan kembali bahawa dahulu mereka belajar harmonika di SMJKC Yu Hua, tetapi kini mereka pula menjadi tenaga pengajar.

"Tidak banyak sekolah yang mempunyai kelab harmonika yang dijadikan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum. Kebanyakannya adalah sekolah jenis kebangsaan Cina.


FRESCO Harmonica Ensemble boleh dihubungi di talian 012-373 3945 atau layari laman web www.frescoharmonica.com.


"Walaupun tidak ramai pemain harmonika, tapi kami mempunyai komuniti sendiri," katanya.

Mengimbas kembali sejarah harmonika, ia berasal dari alat muzik tradisional China bernama sheng yang telah digunakan kira-kira 5,000 tahun yang lalu.

Kemudian ia telah dimodenkan oleh Christian Friedrich Buschmann pada tahun 1821 dan dipasarkan secara meluas pada 1857 oleh pembuat jam Jerman, Matthias Hohner.

Menurut Hock Chuan, harmonika adalah alat muzik yang paling mudah untuk dimainkan. Hanya perlu meniup dan menyedut, harmonika akan mengeluarkan bunyi yang cukup merdu.

"Sesiapa sahaja boleh bermain harmonika. Cuma yang membezakan kemerduan bunyi yang dihasilkan adalah pengalaman, teknik dan juga tahap kreatif pemain tersebut," katanya.

Kumpulan ini memulakan karier mereka sebagai kumpulan muzik harmonika dengan memenuhi undangan amal sebagai cara mereka memperkenalkan kumpulan itu.

Lama-kelamaan, mereka mula mendapat jemputan korporat, majlis perkahwinan dan banyak lagi acara yang inginkan kelainan pengisian.

Kata Hock Chuan, di Malaysia tidak sampai lima kumpulan pemain harmonika dan hanya Fresco Harmonica Ensemble yang aktif atau melakukannya secara sepenuh masa.


WAJAH-WAJAH kemenangan di Festival Harmonika Dunia 2009 yang berlangsung di Jerman.


Namun, benar kata Hock Chuan. Penulis sendiri tidak menyedari kewujudan kumpulan seperti ini sehinggalah diperkenalkan oleh seorang teman yang secara kebetulan menyaksikan persembahan mereka dalam sebuah majlis.

Mungkin ramai yang menyangka mereka hanyalah kumpulan anak muda yang meminati muzik harmonika dan memainkannya sebagai aktiviti masa lapang. Namun, sijil-sijil kemenangan dan penghargaan yang mereka tunjukkan telah membuktikan sebaliknya.

Dikagumi di Jerman

Apa yang agak menyedihkan kumpulan ini adalah soal pengiktirafan. Dengan pencapaian yang dikecapi, mereka boleh dianggap kuartet yang digeruni di peringkat dunia tetapi hakikatnya dipandang sepi di negara sendiri.

Malah kata mereka, pada pertandingan dunia tahun lalu, banyak kumpulan handal dunia terkejut dan tidak menyangka bahawa Malaysia mempunyai kumpulan yang mampu menjadi juara dunia.

Pemergian mereka ke Jerman juga adalah atas duit poket sendiri yang mereka kumpul bersama.

"Kami kumpul duit sendiri melalui pendapatan daripada menjayakan persembahan.

"Kami bernasib baik kerana mempunyai kawan di Jerman. Dia memberi kami tempat penginapan sepanjang pertandingan itu berlangsung," kata Chzen Khee.

Kata Seet Yee, mereka tidak tahu bagaimana untuk mencari penaja seperti mana pasukan-pasukan muzik lain yang mewakili Malaysia. Tambahan pula, muzik harmonika kurang mendapat perhatian arus perdana industri muzik negara ini.


MINAT dan kemahiran memainkan harmonika belum mendapat perhatian luas seperti gitar atau piano di negara ini.


Selain pertandingan Festival Harmonika Dunia 2009 yang diadakan empat tahun sekali, mereka juga menyertai pertandingan harmonika Asia Pasifik yang diadakan dua tahun sekali.

Mereka berharap dengan pencapaian yang mengharumkan nama negara, Fresco Harmonica Ensemble dapat menjadi ikon dalam usaha mengembangkan penerimaan instrumen muzik itu.

"Kami ingin melatih seramai mungkin bermain harmonika kerana buat masa ini ia dimonopoli oleh kaum Cina. Saya berazam untuk menarik semua bangsa di Malaysia meminati muzik ini.

"Ia adalah alat muzik yang ringkas dan sangat mudah untuk dipelajari. Mereka yang rajin dan tekun boleh menjadi mahir dalam masa yang singkat," kata Hock Chuan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: