Friday, March 19, 2010

Universal Studios dibuka 8.28 pagi


BEBERAPA pelawat melawat satu lokasi seperti yang terdapat dalam filem Mummy di Universal Studios, Singapura semalam.SEJUMLAH pelawat menaiki roller coaster di Universal Studios, Singapura semalam.


SINGAPURA - Universal Studios keempat di dunia dibuka kepada orang awam tepat pukul 8.28 pagi semalam selepas 18 tarian singa memasuki pintu masuk pada pukul 8.08 pagi.

Hari pembukaannya pada 18 Mac itu menggunakan banyak nombor lapan kerana ia dianggap sebagai bertuah.

Model-model yang berpakaian seperti aktres mendiang Marilyn Monroe dan Betty Boop berarak bersama pasukan tarian singa di sepanjang Hollywood Boulevard, salah satu daripada tujuh zon di taman seluas 20 hektar.

"Kami ingin menjadikannya destinasi nombor satu di Asia," kata Pengerusi Kumpulan Genting Tan Sri Lim Kok Thay. Ditanya adakah Universal Studios Singapura akan hilang daya tarikannya dan mengalami kerugian seperti Hong Kong Disneyland, Lim menjawab: "Sudah pasti tidak, kami berbeza dengan Disney."




Selain Singapura, Universal Studios di Asia terletak di Osaka, Jepun; Hollywood di California dan Orlando di Florida, Amerika Syarikat.

Antara tarikan di Universal Studios itu ialah roller coaster paling tinggi di dunia, panggung wayang 4 dimensi (4-D) dan suasana berdasarkan filem-filem Hollywood seperti Madagascar dan Jurassic Park.

"Ia sangat bagus. Suasana, pengunjung dan barangan cenderamatanya setaraf dengan Universal Studios Florida," kata seorang warga Singapura yang datang bersama dua orang anaknya.

Taman tema itu adalah sebahagian daripada fasa pembangunan Resorts World Sentosa, milik Kumpulan Genting dari Malaysia bernilai AS$4.4 bilion (RM14.56 bilion).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: