BANGKOK - Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan yang dikenali sebagai Baju Merah menjanjikan hiburan kepada orang ramai semalam bagi meningkatkan bilangan anggota pada perhimpunan mereka ekoran jumlah penyertaan orang ramai yang semakin berkurangan.
"Kami akan mengadakan persembahan kebudayaan dari setiap wilayah Thailand di pentas di sini untuk mengeratkan hubungan sesama ahli," kata ketua kumpulan itu, Nattawut Saikur semalam.
Menurutnya, Kumpulan Baju Merah yang menyokong bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra itu turut berikrar untuk meningkatkan bilangan tunjuk perasaan pada hujung minggu ini.
Pihak polis memberitahu, cuma terdapat 38,000 penyokong Baju Merah yang masih berada di tempat perhimpunan utama mereka di sebuah dataran di sini lewat semalam berbanding 100,000 orang Ahad lepas.
Ramai anggota kumpulan itu membuat keputusan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setelah berada di ibu negara Thailand itu sejak beberapa hari lalu.
Sehingga kini, kumpulan penunjuk perasaan itu gagal menumbangkan kerajaan di sebalik tindakan mereka menyimbah darah sebagai bantahan simbolik selain tunjuk perasaan besar-besaran yang diadakan pada Ahad lepas.
Mereka menuntut Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva meletak jawatan supaya satu pilihan raya baru diadakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: