PELUMBA Shell Advance Yamaha, Ahmad Fazli Sham yakin dia mampu mendominasi Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas AAM musim ini.
Fazli yang juga juara kategori Ex- pert pada edisi 2007 dan 2008, hampir mencatat hatrik tahun lepas sebelum tewas hanya dengan sembilan mata kepada Ahmad Fuad Baharudin.
Namun bagi saingan musim ini, Fazli berazam untuk memastikan kejuaraan kembali menjadi miliknya meskipun kategori Expert kini dikenali sebagai CP130.
Menurut Fazli, pasukannya telah melakukan persiapan rapi dan motosikal yang bakal digunakan juga berada pada keadaan terbaik menjelang perlumbaan pembuka tirai di Stadium Darul Aman, Alor Setar hujung minggu ini.
"Tahun lepas merupakan musim pertama kami menggunakan motosikal 130cc dan pasukan kami agak ketinggalan berbanding pasukan-pasukan lain," kata Fazli.
"Atas beberapa faktor, kami terpaksa menggunakan motosikal 125cc pada beberapa pusingan awal dan kami kehilangan banyak mata.
"Bagaimanapun, tahun ini, kami pasti akan bangkit dan menguasai sepanjang perlumbaan.
"Sejak empat minggu lepas, kami telah menguji motosikal kami di Litar Motocross Antara- bangsa Melaka dan keputusan yang kami peroleh amat menggembirakan."
Fazli menambah, dia dan Elly Idzlianizar Ilias mampu bekerjasama dengan baik sekalipun menganggap rakan sepasukannya itu antara pesaing utamanya musim ini.
"Saya dan Elly mencatat masa yang hampir sama dan jentera kami masing-masing sangat pantas," tambah pelumba berusia 28 tahun.
"Memang saya tidak sabar untuk melihat apa yang bakal berlaku di Alor Setar nanti. Saya harap, kami mampu untuk menghadiahkan kejayaan 1-2 buat pasukan.
"Saya juga berharap, gandingan kami berdua dapat mengukuhkan lagi pasukan musim ini."
Selain Fazli dan Elly, pasukan Shell Advance Yamaha juga turut mempertaruhkan Abdul Muhaimin Roslan bagi kategori CP130.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: