COMEL dan genit saja orangnya. Namun, ramai yang tidak sedar kewujudan wanita dengan nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram atau Tom, 25 tahun ini memiliki bakat nyanyian yang besar.
Setelah diasah bakatnya melalui program realiti My Starz LG 3 sehingga berjaya menjadi juara, barulah namanya, meniti di bibir-bibir penggemar muzik tempatan.
'Peluang besar!' Itulah yang terlintas di fikiran Tom. Sejak melangkah masuk ke dunia muzik tempatan anak kelahiran Taiping, Perak, ini sudah pun bersiap sedia untuk 'berperang' mengejar cita-citanya menjadi seorang penyanyi dan penghibur yang terbaik.
Bagaimanapun, misinya sedikit terganggu apabila semakin ramai yang mula mengorek rahsia peribadinya. Awalnya, status Tom sebagai ibu beranak satu kepada Megat Arieal Shakur Mohd. Farhan sudah pun diketahui ramai. Kini, hal penceraiannya pula menjadi perbualan umum.
Kebanyakan tanggapan yang dilemparkan adalah Tom terlalu mengejar cita-cita sehingga lupa dengan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Malah ada juga khabar angin mengatakan kerana tiada restu suami dalam penyertaan My Starz LG 3, dia diceraikan.
Pertama kali hadir ke studio Utusan untuk sesi fotografi bersama Kosmo! Tom ditemani temannya yang juga merupakan pemenang tempat ketiga My Starz LG 3, Hafiz.
Sedikit kekok ketika bergambar, Tom bagaimanapun bersikap profesional dan berterus terang ketika ditemubual. Diam seketika sambil menyusun kata-katanya, Tom menafikan khabar angin itu.
Sebaliknya, kata Tom, pergolakan rumah tangganya sudah lama berlaku dan ketika penyertaannya dalam program realiti tersebut, itulah kemuncak keretakan hubungan antaranya dan suami. Kini, Tom sedang menanti proses penceraiannya di mahkamah.
"Kami tidak lagi sehaluan dan sebenarnya sudah tujuh bulan saya dan suami tidak tinggal sebumbung. Tapi penceraian ini tiada kaitan langsung dengan penyertaan saya dalam My Starz LG 3.
"Sebelum ini, saya dah biasa menyertai pelbagai pertandingan nyanyian dan pernah menyanyi di kelab. Semua itu disokong oleh suami dan dia juga menjadi tulang belakang dan penggerak untuk saya mengejar cita-cita sebagai penyanyi.
|
|
"Mungkin kami terlalu muda sewaktu berkahwin, apalagi masing-masing berusia 21 tahun masa itu. Kami begitu teruja untuk berkahwin selepas bercinta selama tiga tahun.
"Tetapi malangnya kini, cinta kami tidak berpanjangan. Bagaimanapun kami bercerai secara baik dan saya reda dengan ketentuan Tuhan. Mungkin ini sebahagian ujian daripada Allah," tuturnya berterus terang.
Biasa dengan keadaan diri yang sentiasa ditemani orang yang disayangi, Tom mendapat sokongan kuat daripada keluarga dan teman-temannya agar tidak kesunyian.
Kebetulan pula kesibukannya untuk fokus dalam My Starz LG 3 membuatkan dia lupa seketika dengan masalah yang dihadapi.
Enggan menoleh kebelakang, penyanyi baru ini tidak mahu kariernya terganggu disebabkan hal penceraian.
"Saya bersyukur kerana saya sentiasa dikelilingi oleh keluarga dan teman-teman. Menyertai dunia hiburan tempatan juga satu semangat untuk saya melupakan kisah silam dan anggap ia sebagai kenangan.
"Saya pun tak kisah jika orang mahu memandang serong terhadap saya, janji ia tidak mengganggu karier nyanyian yang baru dibina ini.
"Cuma terasa janggal pula bila digelar janda di usia muda. Takut, dan macam tidak percaya pula," selorohnya sambil memberitahu ingin bekerja keras agar dapat menjaga anaknya, Megat Arieal dengan menyediakan sebuah rumah yang selesa.
Los Angeles
|
|
Bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music, Tom masih lagi merasa janggal dan mengalami kejutan budaya apabila melihat industri muzik bergerak laju dan penuh persaingan.
Tambah pula bila semakin menjadi perhatian umum, setiap gerak langkahnya perlu dijaga agar tidak dipandang serong oleh masyarakat.
Bagaimanapun, sebagai keselamatan diri, Tom juga mempunyai perancangan lain jika dirinya gagal meletakkan diri sebaris dengan nama-nama besar penyanyi lain.
"Siapa yang tidak takut dengan masa depan yang kita sendiri tidak tahu sejauh mana tahap pencapaian yang boleh kita pergi.
"Bagi permulaan jalan, saya akan berusaha sebaik mungkin dan akan gunakan setiap peluang yang ada. Dalam keadaan takut-takut saya rasa sedikit tenang dan gembira bila ramai orang mula menyapa saya dan itu adalah petanda yang baik untuk saya perkenalkan lagu-lagu saya nanti.
"Bagaimanapun, setiap perancangan perlu ada pelan B dan saya perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan terjadi dalam kerjaya nanti.
"Jika saya gagal, mungkin saya akan kembali bersama band lama saya, Hypnorush, ketika menyanyi kelab dulu. Ataupun saya akan meneruskan rancangan saya sebelum menyertai My Starz LG 3, iaitu mencuba nasib di Los Angeles," katanya.
Mungkin ada yang tertanya, bagaimana mahu kembangkan bakat di negara luar, jika di negara sendiri pun gagal?
Lantas Tom menjelaskan. Sebenarnya, selepas memenangi pingat emas pada pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles (LA) bersama-sama Siti Sarah dan Bob pada tahun lepas, Tom dan Sarah telah ditawarkan untuk menjadi penyanyi rakaman di bawah naungan syarikat rakaman di sana.
Peluang itu ditangguh buat sementara waktu untuk mencuba nasib di negara sendiri dulu melalui My Starz LG agar dikenali sebelum memperkenalkan diri ke negara orang.
"Kami telah menerima tawaran itu pada Oktober tahun lepas melalui perbincangan yang dibuat oleh pihak RTM. Bila lihat ada pertandingan My Starz LG 3, firasat saya meminta untuk saya cuba menyertainya dahulu. Lalu perancangan untuk ke LA ditangguh.
"Ingatkan saya akan kalah pada pertengahan pertandingan dan bolehlah saya ke LA, tapi lain jadinya bila saya pula yang menang. Jadi semua perancangan terpaksa ditangguh sekali lagi buat sementara waktu, saya nak dikenali dahulu dalam industri muzik tempatan sebelum pergi jauh.
"Bagaimanapun, semua ini bergantung pada usaha dan rezeki. Saya cuba untuk menjadi lain daripada yang lain dan mempunyai trademark yang tersendiri sebagai kekuatan kerjaya nyanyian saya," ujar Tom penuh bersemangat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: