MEREKA berdua merupakan pasangan kekasih dalam drama terbitan Astro, Kau dan Aku. Keserasian mereka terserlah apabila Mila atau Noorsyamila Jirin dan Afiq Hakim Ahmad atau nama popularnya, Akim sekali lagi digandingkan, kali ini sebagai penyumbang suara utama dalam animasi Jumbo Gajah Biru.
Mila berperanan sebagai Luna dan Akim sebagai suaminya, Jumbo merupakan dua ekor gajah dalam sekuel popular animasi terbitan negara jiran Thailand yang judul asalnya adalah Khan Kluay II. Perlu bermesra sebagai pasangan suami isteri, Mila dan Akim akui mereka berdua pada mulanya tidak begitu selesa.
"Rasa malu juga pada mulanya tetapi saya mengambilnya sebagai satu cabaran. Saya amat gembira dengan hasilnya. Ini merupakan percubaan pertama saya dan rasanya banyak lagi aspek yang perlu dibaiki," bicara Akim yang menyukai pengalaman barunya.
Filem pertamanya, Khan Kluay yang berjaya mengutip 80 juta baht (RM8 juta) juga menjadi salah satu sebab mengapa Mila bersetuju untuk menyumbang suaranya. Tidak dinafikan, Mila juga berdepan dengan sedikit kesukaran walaupun ini merupakan kali keempat penyanyi itu menyumbang suaranya.
"Bila kami mula merakamkan suara sahaja, kami akan ketawa. Susah juga prosesnya terutama pada babak pertama. Ketika itu, saya (Luna) merajuk dengan Jumbo. Jadi, saya perlu memberikan suara manja. Sebaik sahaja Akim mendengar suara saya, dia terus ketawa," jelas Mila.
Akim dan Mila masing-masing mengambil masa dua hari untuk menjalankan rakaman. Tempoh dua minggu diperlukan untuk mengalih suara keseluruhan filem yang mempunyai durasi 1 jam 32 minit itu bakal ditayangkan di pawagam bermula 11 Mac ini.
Walaupun ramai penonton lebih suka untuk membaca sari kata daripada mendengar suara asal diganti dengan bahasa Malaysia, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah menyatakan keputusan itu dibuat khusus untuk penonton kanak-kanak.
"Kami perlu memikirkan perasaan kanak-kanak yang tidak dapat membaca. Justeru, mereka tidak akan faham jika filem itu ditayangkan menggunakan bahasa Thailand. Pengalihan suara tempatan juga dapat memberikan emosi tepat yang lebih sedang dihadam. Lagipun mereka merupakan sasaran penonton kami."
Memilih Akim dan Mila bukan sahaja kerana mereka berdua serasi, ia juga kerana mereka ialah artis Astro Entertainment Sdn. Bhd. Selain dua bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia itu, filem itu turut membabitkan seramai 12 orang yang mahir dalam bidang pengalihan suara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: