|
|
BAGI para peminat drama bersiri Cili Padi yang pernah disiarkan di TV3 pada tahun 1993, tentu masih ingat dengan gelagat dan kenakalan Shafik, kanak-kanak tembam dan gempal yang sering menimbulkan kekecohan.
Bersama abangnya, Salim (lakonan Tam) dan kawan-kawan yang merupakan jirannya, Lili (Anne Ngasri) dan Melissa Saila, Shafik sering mengganggu mereka dan Cikgu Jaafar (Jaafar Onn) untuk mendapatkan perhatian.
Walaupun kenakalannya sering menimbulkan kekecohan tetapi apa yang nyata itulah intipati yang paling menarik dalam drama arahan Aziz M. Osman terbitan Nizarman (M). Sdn. Bhd. itu.
Drama bersiri yang disiarkan sebanyak tiga musim iaitu 13 episod setiap satu memang diminati kerana itulah satu-satu drama yang menonjolkan kanak-kanak sebagai pelakon utama.
Tetapi semua itu cerita yang terjadi 17 tahun lalu ketika Shafik lakonan Nik Fariz Nik Fadzil baru berumur 10 tahun.
Kini dalam meniti usia 27 tahun, Nik Fariz yang mesra disapa Shafik sudah bergelar seorang ayah!
Pantas benar masa berlalu dan Shafik kini juga meniti kebahagiaan di samping isterinya, Khairun Nisa Abdul Halim, 27, yang bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Bukit Bintang, Petaling Jaya serta puteri sulungnya, Nik Zara Ariana, dua bulan.
Mengimbas kembali sejarah penglibatannya sebagai pelakon, barangkali ramai yang tidak tahu, sebetulnya penglibatan Shafik dalam bidang lakonan hanyalah secara kebetulan sahaja.
Semuanya terjadi ketika dia dalam perjalanan ke Kelantan pada musim cuti persekolahan pada tahun 1993 bersama ibunya, Rukiah Ab. Rahman.
"Masa tu mummy ajak saya singgah ke pejabat Nizarman dan kebetulan uncle Aziz (Aziz M. Osman) sedang mencari pelakon kanak-kanak untuk watak Shafik.
"Apabila nampak saya, uncle Aziz suruh saya buat pelbagai memek wajah depan cermin. Saya disuruh ketawa, marah dan mengucapkan beberapa dialog.
"Selepas semuanya selesai, uncle Aziz terus pilih saya memegang watak Shafik!" cerita Nik Fariz dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Bagi Nik Fariz, penglibatannya dalam bidang lakonan satu perangkap yang pada akhirnya menimbulkan keseronokan.
Ini adalah kerana, ayahnya, Allahyarham Nik Fadzil Nik Hassan yang juga penerbit Feugo Filem Sdn. Bhd. tidak membenarkan Nik Fariz melibatkan diri dalam bidang lakonan.
"Arwah ayah memang tidak bagi saya berlakon tetapi apabila mendapat tahu saya berjaya dalam uji bakat itu, ayah tidak boleh buat apa-apa dan memberi keizinan.
"Tetapi keizinan ayah bersyarat. Pertama, saya tidak boleh menjalani penggambaran pada hari sekolah. Maknanya penggambaran yang melibatkan saya cuma pada cuti sekolah atau cuti hujung minggu.
"Kedua, mummy berjanji pada arwah ayah yang mummy akan menjaga saya dan memastikan berlakon tidak akan menjejaskan pelajaran saya," cerita Nik Fariz lagi.
Sejak itu, bermulalah diari hidup Nik Fariz sebagai pelajar dan pelakon. Walaupun pada mulanya dia merasa begitu janggal dan memenatkan tetapi kehadiran mummynya, sebagai pengurus membuatkannya lega.
Menurut Nik Fariz, apabila keluarganya berpindah ke Kelantan, setiap petang Jumaat dia bersendirian menaiki kapal terbang dengan memakai tag Young Passenger untuk ke Kuala Lumpur.
"Penggambaran Cili Padi yang melibatkan saya selalunya petang Jumaat hingga malam Ahad. Hari Isnin pagi saya akan balik semula ke Kelantan," kata Nik Fariz mengimbas kenangan manis itu.
Kini, walaupun tidak berlakon namun kelibat Nik Fariz di satu-satu tempat masih menggamit memori para peminat drama bersiri itu.
"Kadang-kadang saya malu juga apabila sedang bekerja ada yang memanggil Shafik budak comel. Shafik budak tembam, Shafik Cili Padi.
"Kadang-kadang ada juga yang bertanya kenapa saya tidak berlakon lagi.
Kerja sendiri
"Sebagai menghormati dan menghargai perhatian mereka, saya hanya mampu melemparkan senyuman sebab saya sudah tutup diari sebagai pelakon," kata bekas pelajar Malaysian France Institute dalam bidang automotion ini lagi.
Dua tahun belajar di institut yang terletak di Bangi, Selangor, Nik Fariz belajar mengenai robotik di samping kemahirannya dalam bidang fotografi.
Dengan kemahiran yang ada, Nik Fariz lebih banyak melakukan kerja sendiri di samping membantu ayah saudaranya, Abdul Razak Rahman mengendalikan kelas menyelam.
"Saya banyak melakukan kerja sendiri. Mungkin sudah menjadi tradisi keluarga kami yang tidak boleh bekerja di bawah orang lain," kata Nik Fariz.
Kepakarannya dalam bidang fotografi dan komputer banyak membantu Nik Fariz menambah pendapatan untuk menyara keluarga.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dengan pendapatan semua itu saya mampu menyara keluarga saya," katanya.
Walaupun pendapatannya tidak tetap tetapi itulah rezeki namanya kerana kepakaran Nik Fariz dan minatnya pada bidang fotografi menjadikannya begitu sibuk terutama setiap hujung minggu.
"Jika tidak ada tugas saya lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama Nik Zara apabila ibunya di sekolah.
"Sesekali terserempak dengan orang filem, memang ada yang mahu menawarkan saya berlakon tetapi saya sudah tutup diari," cerita Nik Fariz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: