Monday, March 1, 2010

Fauzi tak pernah serik


fauzi nawawi bersama isteri tersayang, lisdawati.


DAHULUNYA, pelakon popular tanah air ini hanyalah berstatus sebagai 'pelakon gantian' (stuntman) untuk babak yang memerlukan aksi lagak ngeri dan pertarungan.

Diarah terjun dari bangunan, bertarung dan suatu ketika pernah mengalami keadaan mencemaskan, semuanya itu adalah rentetan pengalaman yang dilaluinya sepanjang melangkah ke pentas seni.

Bertatih dan terus bertatih, daripada sekadar pelakon untuk aksi lagak ngeri semata, dia mula membina nama sehingga boleh dikatakan menjadi pelakon yang mendapat perhatian kalangan produser.

Meskipun begitu, aksi lagak ngeri tetap teguh dalam dirinya sehinggakan dia masih menerima tawaran melakukan aksi berkenaan, baik untuk drama mahupun filem.

Bertambah membanggakan, atas pengalaman yang bertahun dilaluinya sejak pertama kali menjadi pelakon aksi lagak ngeri dalam siri Pendekar yang pernah popular sekitar 1990-an di TV3, kini, pelakon bernama Fauzi Nawawi ini sudah mendaki kejayaan demi kejayaan.

Pernah diumumkan sebagai Pelakon Lagak Ngeri Terbaik dalam anugerah Oskar 2004 anjuran Persatuan Pekerja-Pekerja Filem Malaysia (PPFM), Fauzi sering diberi kepercayaan menjadi penyelaras, koreografer dan pengarah aksi untuk penerbitan beberapa buah drama serta filem.

"Kalau aksi lagak ngeri, terjatuh, bengkak dan lebam, itu sudah biasa. Tetapi, tidaklah serius sangat.

"Paling teruk pun, saya pernah pitam akibat terjatuh dari tingkat dua sebuah bangunan sewaktu penggambaran Skuad Elit sekitar 2004.

"Walaupun sudah berada di tahap teratas dalam bidang ini, saya masih lagi menerima tawaran melakukan aksi lagak ngeri. Tapi, tidaklah seaktif dahulu,'' katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Jidin di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Selain melakonkan watak sebagai Antar, suami kepada pelakon Lisdawati ini juga turut memegang peranan sebagai Pengarah Aksi untuk drama bersiri terbaru ini yang akan disiarkan di slot Aksi, TV3 bermula hari ini (1 Mac).

Selain Fauzi, turut membintangi Jidin adalah Shafie Naswip selaku Fendi, Amanda Misbun (Fuza), Zahiril (Radi), Noorkhiriah (Pensyarah Rusila), Tam (Jidin), Bell Ngasri (Dazur), Kazar (Man Black) dan Didie Alias (Mak Intan).

Kali terakhir Fauzi melakukan aksi lagak ngeri adalah untuk drama bersiri Puaka Niyang Rapik.

Menerusi syarikat produksi miliknya iaitu Perfect Illusion, dia melebarkan lagi sayap dalam bidang itu untuk bergelar penyelaras, koreografer dan pengarah aksi.

"Di bawah syarikat itu, saya mempunyai empat orang yang memfokus untuk menggantikan pelakon bagi membuat babak aksi. Kesemua mereka dilindungi insuran.

"Saya juga pernah menjadi koreografer untuk aksi pertarungan bagi drama Amir Aiman, Kau Aku, Puaka Niyang Rapik dan filem Anak Halal.

"Dalam Jidin, saya menjadi Pengarah Aksi. Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang ini tidak pernah putus. Kalau sebagai Pengarah Aksi, sudah lapan kali saya memegang peranan itu,'' ujarnya penuh bangga.

Ditanya apakah menjadi pelakon untuk aksi lagak ngeri menjanjikan pendapatan lumayan, Fauzi sambil tersenyum menjawab dengan ringkas : "Ya, ia sangat lumayan.''

Fauzi turut berkongsi pengalaman menyeramkan apabila diminta terjun dari tingkat dua di sebuah hospital di ibu negara sewaktu penggambaran drama Skuad Elit.

"Ketika hendak terjun dari wad bersalin hospital itu, saya terlihat bayang seorang kanak-kanak yang seakan mahu menyambut saya di bawah.

"Penggambaran itu dilakukan pada waktu malam dan saya terpaksa berhenti selama 15 minit sebelum mampu melakukan aksi berkenaan,'' ujarnya yang sentiasa memikirkan faktor keselamatan terutama di bahagian tengkuk tatkala melakukan aksi terjun.

Ingatan Lisda kepada Fauzi

Menyedari hakikat bahawa suaminya sentiasa berada dalam keadaan yang berisiko, Lisdawati atau Lisda sentiasa percaya akan fokus dan keyakinan Fauzi.

Katanya yang turut menyukai aktiviti lasak, biarpun merestui Fauzi melakukan aksi lagak ngeri, dia sentiasa berpesan kepada suaminya itu akan fizikalnya ketika ini.

"Kalau aksi tersebut susah, saya selalu pesan yang dia bukanlah Fauzi Nawawi ketika 10 tahun yang lalu.

"Dengan struktur badan dia, berat badan semakin bertambah. Kena selalu beringat terutama soal keselamatan.

"Tetapi kalau dia yakin, saya okey,'' jelasnya ringkas.

Antara mengarah dan berlakon

Sementara itu, berbalik kepada Fauzi, saat diaju persoalan mengenai pertikaian antaranya dengan seorang penerbit terkenal yang mendakwanya melakukan penyelewengan, pelakon bersuara 'jantan' ini berkata, kes tersebut diserahkan kepada peguamnya untuk uruskan segala-galanya.

Fauzi dalam drama tersebut bertindak sebagai pengarah dan turut didakwa menimbulkan banyak masalah di lokasi termasuklah tidak memantau proses suntingan sebuah drama bersiri.

"Kes ini masih di peringkat perbincangan. Peguam saya sedang berurusan dengan pihak tertentu,'' katanya.

Atas pertikaian itu, Fauzi tidak terlepas ditanya apakah dia serik atau 'menutup' pintu hatinya untuk bergelar pengarah pada masa mendatang.

"Saya ada mendapat tawaran demi tawaran. Tetapi, buat masa ini, saya lebih selesa berada di posisi pelakon.

"Jadi pelakon lebih relaks. Lakonan adalah dunia saya.

"Kalau hendak jadi pengarah, ia menuntut saya mengorbankan banyak masa. Saya perlu fikir hal keluarga saya juga,'' tegas Fauzi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: