Monday, March 1, 2010

Cetusan warna




Faizal Tahir, Scha Alyahya, Liyana Jasmay dan Ainul Aishah mahu melaram sakan di permaidani merah ABPBH 2009 pada 4 April dengan busana sentuhan pereka muda dan aksesori Habib Jewels

'Oh warna-warna, pada dunia, ku terpesona, kau teristimewa'

BEGITULAH antara lirik lagu Warna yang dinyanyikan bekas finalis Bintang Idola Berita Harian 2008, Syazwani ketika majlis sidang media ketiga Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 berlangsung di Palace Of The Golden Horses, petang Rabu lalu.


Melodi yang pernah dipopularkan Datuk Sheila Majid itu menggambarkan keindahan warna, sekali gus menterjemahkan erti warna dalam kehidupan seharian.


Betapa dekatnya warna dengan kita sehingga perasaan pun boleh digambarkan menerusi warna. Dan kerana istimewanya warna dalam kehidupan manusia membuatkan ABPBH 2009 mengangkat konsep cetusan warna sebagai tema pilihan tahun ini.

Mengulas pemilihan tema itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Pengelola ABPBH 2009, Hanizam Abdullah berkata tema itu menjadi pilihan kerana ia mampu memberi kelainan kepada majlis berprestij itu serta menguji daya kreativiti pereka fesyen untuk menghasilkan rekaan terbaik.

WARNA rekaan ini menarik dan menepati tema ABPBH 2009, tetapi fesyen begini tidak sesuai dan nampak kelakar untuk digayakan artis kerana ia kelihatan seperti pakaian badut.

“Tema yang dipilih itu memberi peluang kepada pereka untuk bermain dengan warna sekali gus menterjemahkannya mengikut kreativiti masing-masing. Mereka bebas sama ada mahu mengikut konsep moden atau tradisional. Itu semua terpulang kepada mereka asalkan tidak lari dari konsep tuksedo untuk lelaki dan gaun petang yang glamor untuk artis wanita,” kata Hanizam yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian ketika ditemui pada majlis pra kemuncak ABPBH 2009.

Sebelum ini, katanya ABPBH pernah menobatkan khazanah seni budaya Melayu dengan mempromosikan penggunaan batik dan tenunan menerusi busana yang digayakan finalis pada malam kemuncak ABPBH 2008.

Kelainan konsep yang ditonjolkan membuatkan ramai artis bersetuju dan menyambut baik tema cetusan warna yang diperkenalkan dalam penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2009) pada tahun ini. Tahun ini juga menyaksikan kebangkitan pereka fesyen baru bersaing dengan pereka fesyen lama bagi merebut gelaran Anugerah Pereka Fesyen Popular.

Cetusan warna itu sendiri bakal menterjemahkan keupayaan dan kreativiti pereka fesyen dalam memastikan gaya finalis dan selebriti yang akan hadir memeriahkan kemuncak ABPBH 2009 pada 4 April nanti. Tahun ini juga menyaksikan peningkatan jumlah pereka fesyen yang bakal terbabit mencecah lebih 30 orang.

SACHA dan Liyana turut bergaya dengan baju rekaan Rizman Ruzaini dan aksesori tajaan Habib Jewels.

Tahun lalu lebih 25 orang pereka fesyen terbabit dan tahun sebelumnya sewaktu anugerah ini diperkenalkan ia hanya membabitkan 18 orang. Apapun, berbalik kepada cetusan warna ini, diharap konsep dan pemahaman pereka fesyen serta artis yang bakal melaram mengikut tema ini lebih jelas supaya ia tidak tersasar.

Mainan atau kombinasi warna tidak kira hanya pada satu warna atau pelbagai mampu memberi dimensi kepada refleksi warna yang dipersembahkan. Gandingan Faizal Tahir, Scha Alyahya, Liyana Jasmay (LJ) dan Ainul Aishah ini jelas menepati tema yang dipilih pada tahun ini.

Persalinan rona merah menjerit rekaan Rizman Ruzaini sangat melekat di tubuh Scha dan LJ. Ia sekali gus memaparkan aura hebat dua pelakon ini. Padanan hitam merah juga begitu tersendiri apabila digayakan Ainul Aishah dan Faizal Tahir. Faizal menggayakan rekaan Hazwani Osman manakala Ainul pula sentuhan Anizam Yusof.

'Tak salah cuba sesuatu yang baru'

“APABILA penganjur memutuskan untuk memilih cetusan warna sebagai tema, saya rasa itu sesuatu yang menarik kerana belum pernah ada majlis anugerah yang berkonsepkan sedemikian. Biasanya mereka lebih senang memilih warna penuh misteri iaitu hitam untuk menjadi tema. Kalau kita lihat, kumpulan muzik dari luar negara sendiri sudah mula berani menggayakan pakaian yang berwarna -warni.

“Secara peribadi, saya sebenarnya lebih selesa menggunakan warna yang tidak begitu garang seperti warna tanah untuk pakaian saya. Apapun, saya percaya pereka saya Hazwani lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Tak salah kalau kita nak cuba sesuatu yang baru,” kata Faizal yang semakin pulih dari sakit kaki.

Fotografi segera ini sebenarnya berjalan dengan pantas disaksikan langit biru berlatarkan lokasi pilihan, Hotel Palace of the Golden Horses. Menambah seri tiga bunga, mereka cukup anggun mengenakan tajaan Habib Jewels. Sesekali Faizal yang sudah bergelar bapa kepada tiga orang anak ini mula mengusik tiga dara pingitan itu.

Lagak Faizal kononnya seperti aktor Hollywood Tom Cruise dan Scha pula dianggapnya seperti bekas isterinya, Nicole Kidman kerana faktor ketinggian. Manakala LJ pula seperti isterinya Katie Holmes dan Ainul pula seperti Penelope Cruz yang pernah dicintainya.

Beralih kepada Scha, calon Pelakon TV Wanita Popular ini menyifatkan tema yang dipilih pada tahun ini cukup istimewa dan akan menjadi lebih menarik jika bijak mengadukan warna. Selain menjadi finalis akhir ABPBH 2009, Scha juga akan memikul mandat sebagai penyampai trofi pada malam itu.

Barangkali Scha harus mula memikirkan dua persalinan yang perlu digayakan nanti. Selepas menggunakan khidmat Anizam Yusof pada ABPBH 2008, tahun ini teman rapat kepada Awal Ashaari ini memilih Rizman Ruzaini. Hip difahamkan Scha mengintai peluang itu sejak hujung tahun lalu.

“Selepas memberi peluang kepada pereka fesyen baru tahun lalu, Scha ingin beralih arah pula kepada pereka fesyen yang semakin meningkat naik. Selain Scha, Datuk Siti Nurhaliza, Liyana Jasmay dan Dafi juga sudah mengesahkan untuk mengenakan rekaan Rizman Ruzaini.

“Scha sangat teruja dengan tema pada tahun ini dan pelbagai konsep boleh dilahirkan daripada warna. Ideanya sangat menarik dan apa juga tema yang diketengahkan secara tak langsung mencabar kreativiti pereka fesyen dan pemakainya untuk memastikan ia kelihatan sempurna di permaidani merah dan pentas utama,” kata anak kelahiran Sungai Petani itu.

Mahu pasti busana nampak hidup

SEPERTI mana artis lain, LJ turut teruja dan gembira dengan pemilihan tema kali ni. LJ turut bersetuju dengan pandangan Scha. Calon kategori Pelakon Filem Wanita Popular yang baru saja muncul dengan filem Niyang Rapik ini percaya setiap tema yang ditetapkan bukan penghalang atau batasan untuk terus berkarya dalam fesyen.

“Warna dengan sendirinya membolehkan kita mempelbagaikan gaya. Ia boleh jadi apa saja. Penggunaan banyak warna juga contohnya seperti pelangi boleh diterima dek akal jika kena pada fabrik dan konsepnya. Ketika menghadiri Anugerah Juara Lagu awal tahun ini, saya mempraktikkan idea warna yang pelbagai.

“Bagi saya, pemakai dan pereka perlu seiring untuk memastikan ia nampak sempurna di mata yang memandang. Pemakai juga perlu bijak memastikan busana yang dipakai nampak hidup. Tahun ini saya meletakkan kepercayaan kepada Rizman untuk mereka pakaian saya,” katanya yang turut akan terbabit dalam sebuah persembahan istimewa pada malam kemuncak ABPBH 2009.

Sementara itu, Ainul Aishah juga tumpang seronok dan berkongsi keterujaan yang sama. Ini kerana ABPBH tahun ini dia bukan saja hadir sebagai tetamu yang memeriahkan majlis, sebaliknya buat julung kalinya pelakon berkulit hitam manis ini akan menyanyi di pentas berprestij itu.

“Saya sendiri tak sangka nama saya akan dipilih Berita Harian untuk membuat persembahan. Pada masa yang sama, saya juga gementar. Semestinya peluang ini tidak akan dihampakan. Saya akan cuba membuat persembahan itu nanti dengan sebaik mungkin,” katanya yang bakal menggayakan busana rekaan Anizam Yusof.

INFO: Anugerah Pereka Popular

  • Lebih 30 pereka fesyen yang turut serta. 22 daripadanya ialah pereka baru dan selebihnya ialah pereka yang pernah terbabit sejak anugerah ini diperkenalkan.

  • Antara muka baru tahun ini seperti Jezmine Zaidan (mereka pakaian untuk Intan Ladyana), Azurawaty Nawi (Noorkhiriah), Diana Azmi (Memey Suhaiza), Liza Azulkarnain (Watie Sadali), Nabella Erwani (Marsha), Farlez Isk (Zizie Ezette, Stacy dan Akim), Kheme Rosly, RD Idewani, Ezuwan Ismail, Rashid Omar, Ridzuan Ismail, Ariff Shukor, Jeffriey Raffiey, Hazree Wahid.

  • Pereka lama pula antaranya seperti Hazwani Osman (Faizal Tahir dan Aizat), Azura Mazaruddin (Nana XFM), Anizam Yusof (Lisa Surihani, Ainul Aishah, Sariyanti dan Wan Sharmila), Sya Syaharani (Norliana Shamsudin), Faizal Azraff (Putri Mardiana), Nik Erwan Roseli (Dilla Syahirah, Mila dan Mimi One Nation Emcees), Erwan Asbor, Hatta Dolmat (Diana Danielle), Rizman Ruzaini (Datuk Siti Nurhaliza, Scha Alyahya, Liyana Jasmay, Dafi).

  • Tahun ini juga anugerah ini membuka peluang untuk pereka fesyen wanita.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: