Tuesday, March 9, 2010

Sandra ada prinsip

KEJAYAAN Sandra memenangi Oscar semalam adalah hasil pegangan hidup yang diamalkannya: 'Harapkan yang terbaik dalam apa juga yang anda lakukan.'

SANDRA tiba bersama pelakon, Jesse James pada majlis Anugerah Academy ke-82 di Los Angeles, semalam.
SANDRA tiba bersama pelakon, Jesse James pada majlis Anugerah Academy ke-82 di Los Angeles, semalam.
SANDRA dalam filem The Blind Side.
SANDRA dalam filem The Blind Side.
Aktres berusia 45 tahun meletakkan nota yang dinobatkan sebagai aktres terbaik meletakkan nota kata-kata hikmat itu di sisi katilnya sejak beberapa tahun lalu sebagai pendorong untuk mendapatkan sesuatu yang lebih besar dan lebih baik.


"Sebelum ini, setiap saat hidup saya dikawal oleh apa yang saya rancang. Namun, tidak semua yang dirancang itu berjaya," kata Sandra baru-baru ini.


"Suatu hari, saya terfikir, 'Jika saya bangun dan dan masih bernafas dengan perasaan gembira, saya tahu saya akan lalui hari itu dengan baik.' Dan sejak itu, saya tinggalkan nota kecil itu di sisi katil. Dengan berpegang kepada kata-kata hikmat itu membawa kejayaan kepada Sandra sejak 12 bulan lalu apabila dua filem lakonannya, The Blind Side dan drama komedi romantik, The Proposal, meraih pendapatan berjumlah lebih AS$700 juta (RM2.3 bilion) Lakonan Sandra dalam The Blind Side selaku Leigh Anne Tuohy, wanita bersemangat waja yang membimbing seorang remaja belasan tahun bermasalah sehingga membolehkan dia berjaya dalam sukan bola sepak Amerika, mencatat rekod baru di Hollywood.


Ia menjadi filem pertama yang watak utamanya dilakonkan oleh wanita untuk mencatatkan kutipan jualan tiket menjangkau AS$200 juta (RM668 juta).


Menurut laporan, Sandra, yang lakonannya turut membolehkan dia memenangi anugerah Golden Globe dan Anugerah Persatuan Pelakon Filem, hanya diberi peranan itu selepas Julia Roberts menolaknya.

Sandra juga mendedahkan, dia mulanya teragak-agak untuk menerima tawaran itu kerana bimbang tidak dapat bertindak adil dalam memegang peranan selaku Leigh Anne.


"Pada mulanya, apabila ditawarkan berlakon dalam filem itu, saya dapati ia memang cerita yang amat baik. Anda dapat bayangkan jalan cerita itu dari mula hingga akhir. Tetapi saya tidak tahu untuk melakonkan watak Leigh Anne.


"Kerana itu saya menemui Leigh Anne dan berbincang dengannya sepanjang hari. Saya meninggalkan kediamannya dalam keadaan terlalu letih kerana melihat kekuatan semangatnya. Saya jatuh hati dengan wanita itu dan semangat yang ada padanya. Tetapi saya masih tidak tahu untuk melakonkan wataknya. Dan saya tidak tahu apa yang menyebabkan akhirnya saya menerima tawaran itu." Dilahirkan pada 26 Julai 1964, ibu Sandra ialah penyanyi opera dari Jerman dan bapanya, jurulatih suara dari Alabama.


Keluarganya menjelajah ke seluruh Eropah ketika dia masih kecil sebelum mereka mengambil keputusan menetap di Arlinton, Virginia, tempat dia bersekolah dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Carolina.


Malangnya, Sandra gagal menamatkan pengajian kerana berhenti belajar pada 1986 untuk meneruskan karier dalam lakonan.


Sandra menghabiskan masa bergelut selama beberapa tahun untuk mengejar impiannya menjadi aktres sebelum peluang itu menjelma pada 1993 apabila dia diberi peranan utama berlakon dalam filem penting, termasuk Demolition Man di samping Sylvester Stallone dan Wesley Snipes serta dalam The Vanishing yang turut dibintangi oleh Jeff Bridges dan Kiefer Sutherland.


Bagaimanapun, filem yang benar-benar menjulangnya namanya ialah pada 1994 menerusi Speed di samping Keanu Reeves.


Kejayaan Speed membuka pintu kepada beberapa peranan lebih lumayan untuknya sepanjang 10 tahun berikutnya dan membolehkan Sandra meraih pendapatan tujuh angka dalam filem seperti Miss Congeniality.


Sandra turut mempamerkan kualiti selaku aktres drama serius pada 2005 apabila filem lakonannya, Crash yang mengisahkan ketegangan antara kaum di Los Angeles memenangi Oscar untuk filem terbaik.


Meskipun menjadi antara aktres yang menerima bayaran paling lumayan, Bullock berkata, dia tidak membiarkan wang menguasai keputusannya untuk memilih watak dalam filem.

"Sebelum ini memang saya tidak peduli fasal wang. Saya terima saja peranan yang ditawarkan, tidak kira sama ada filem itu berjaya atau tidak.


Tapi sejak beberapa tahun lalu, saya mengubah pendirian. Saya kini lebih selesa menerima bayaran selepas berlakon. Jika filem itu berjaya, ia akan memuaskan semua pihak. Mereka tidak perlu membayar wang pendahuluan kepada saya.


"Dengan itu, setiap orang yang mempercayai filem itu akan berjaya akan menerima habuan."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: