BERAPA ramai wanita muda memahami tubuh mereka terutama mengenai ciri kewanitaan? Bagaimana tubuh berfungsi daripada akil baligh sehingga menjadi ibu? Ramai mengatakan ya tetapi sebenarnya mereka tidak tahu mengenai tubuh mereka sendiri.
KONGSI MAKLUMAT...perbincangan ahli panel (dari kiri) Haniza, Dr Hera, Marina, Azah dan Mila ketika majlis pelancaran kempen I Know Bodylife IQ.
JURANG MAKLUMAT...Haniza (kanan) mendedahkan hasil kajian ke atas wanita muda di enam negara termasuk Malaysia.
Justeru, perkara yang ingin diketahui remaja ini hanya berada dalam kotak fikiran mereka lalu mereka mula mendapatkan maklumat daripada kawan, media massa dan Internet. Apakah yang akan berlaku jika maklumat yang disampaikan ini tidak benar? Kekurangan pengetahuan mengenai tubuh ini akan memberikan banyak kesan buruk seperti kehamilan remaja, aktiviti seksual tidak selamat, pengguguran sehingga masalah buang bayi. Malah kajian Bodylife IQ yang dijalankan jenama produk penjagaan kebersihan wanita, Kotex mendedahkan hanya tiga peratus wanita muda yang terbabit dalam kajian itu mampu menjawab semua soalan dengan tepat. Kira-kira 90 peratus wanita tidak dapat menjawab soalan asas biologi seperti bilangan lubang yang ada pada wanita, sama ada kencing dan haid keluar daripada lubang yang sama manakala 87 peratus wanita muda tidak dapat membezakan antara mitos dengan fakta. Misalnya 60 peratus percaya sentuhan pada payudara akan menjadikannya lebih besar manakala 55 peratus percaya kerap memakai coli akan mengakibatkan kanser payudara. "Maklumat daripada kajian ini amat mengejutkan kerana terdapat jurang informasi yang sangat besar dalam kalangan wanita muda Malaysia. Malah dalam kajian membabitkan 1,800 wanita muda pada peringkat usia 16 hingga 24 tahun di Malaysia, Singapura, Filipina, Vietnam, Indonesia dan India menunjukkan wanita Malaysia berada di tangga paling bawah dalam memahami isu kehamilan dan kedaraan," kata Pengurus Pemasaran Kimberly Clark Malaysia, Haniza Tahir.
Atas kesedaran itu, menurutnya, Kotex melancarkan kempen pendidikan I Know sebagai cara merapatkan jurang ini. Pada majlis pelancaran kempen, turut diadakan forum Bodylife IQ 2010 membabitkan perkongsian pendapat dan maklumat antara panel antaranya ibu dan aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir, ahli psikologi Dr Hera Lukman, selebriti dan pendidik, Azah Yazmin serta penyanyi, Mila Jirin.
Menurut Azah Yazmin, berdasarkan pengalamannya menjalankan kempen di sekolah, dia sangat terkejut dengan soalan dikemukakan mereka. Ada yang pernah melakukan hubungan seks seawal 14 tahun dan menjadi ketagih. Malah lebih mengejutkan ada remaja melakukan hubungan seks dengan ayah seawal usia 16 tahun sehingga usia 26 tahun dan tidak dapat meninggalkan perbuatan buruk itu kerana sudah jatuh cinta kepada ayah sendiri. "Bayangkan bagaimana perkara ini boleh berlaku? Semuanya disebabkan kurang pengetahuan mengenai diri sendiri selain faktor persekitaran," katanya. Kata Azah, pengetahuan mengenai seks boleh diberikan kepada anak seawal usia tiga tahun kemudian diteruskan mengikut peringkat umur dan tahap kematangan. Seks tidak menjurus kepada organ saja, tetapi sangat luas seperti perhubungan, sosiologi, pergerakan badan dan emosi. Proses memahami diri ini tidak pernah berhenti sehinggalah seseorang itu meninggal dunia. "Jika ibu bapa menjalankan tanggungjawab dengan memberi pendidikan kepada anak, kita dapat mengurangkan permasalahan sosial yang ada. Apabila anak ini membesar, berkahwin dan mempunyai anak, mereka pula akan menyambung kepada anak mereka begitulah kitaran seterusnya," katanya.
Menceritakan pengalaman ketika remaja, Marina sangat bertuah kerana dikurniakan ibu yang bukan saja memahami, tetapi sangat terbuka mengenai isu seksual. Malah dia boleh berbincang dengan ibu mengenai apa saja tanpa rasa malu atau takut. "Malah perkara yang sama turut diberikan kepada anak. Ketika anak sulung saya yang berusia 11 tahun mengalami haid pertama dan ketika itu saya berada di luar negara, anak saya tidak panik malah dapat melaluinya dengan bantuan ibu saya," katanya. Inilah yang harus dilakukan ibu bapa kini iaitu melengkapkan diri dengan ilmu pendidikan seks supaya mereka dapat menyampaikannya kepada anak. Bagi penyanyi dan pelakon Mila Jirin, ketika haid pertama dia menangis kerana tidak tahu apa yang harus dilakukannya.
"Ketika itu saya berusia 12 tahun. Guru memberikan tuala wanita, tetapi saya langsung tidak tahu memakainya. Apabila pulang ke rumah, saya beritahu ibu dan dia hanya berkata 'anak mak sudah besar'.
"Saya tidak dibenarkan bertanya perkara selebihnya kerana itu hal orang dewasa dan saya akan tahu apabila sudah berkahwin nanti. Hal ini memberi banyak keraguan kepada saya sehinggalah saya mendapatkan maklumat daripada kawan, majalah dan Internet," kata anak sulung tiga beradik ini. Mila juga banyak terpengaruh dengan mitos seperti jangan menunggang basikal dan memanjat dikhuatiri akan kehilangan dara. Malah mendengar cakap kawan, dia pernah cuba minum air berkarbonat kerana inginkan haid dalam masa singkat sedangkan perkara itu tidak baik untuk kesihatan.
Dr Hera pula menasihati ibu bapa supaya berfikiran terbuka mengenai seks kerana anak-anak mempunyai perasaan ingin tahu, tetapi tidak tahu kepada siapa harus bertanya. "Ibu bapa tempat terbaik untuk anak bertanya. Daripada mereka mendapat maklumat daripada kawan atau Internet, lebih baik berbincang dengan ibu bapa," katanya.
Kempen I Know Bodylife IQ bertujuan menubuhkan satu gerakan mendidik, memperbetulkan mitos dan menghapuskan kongkongan perasaan malu menerusi program sekolah, artikel berinformasi, forum dan dialog terbuka. Wanita muda Malaysia digalakkan mengetahui dan mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman sesawang www.kotex.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: