|
|
KREATIF, tersendiri dan enak - itu antara pakej lengkap yang ditawarkan outlet Sizzling di Arena Food Court, Jusco Bandaraya Melaka, sebaik anda mencicip sajian di situ. Bagi Pengurus Outlet Sizzling (Melaka), Khairul Anwar Abd. Razak, 30, memasak atau membakar sajian di atas hot plate merupakan satu kaedah unik kerana ia boleh terus disajikan kepada pelanggan.
''Walaupun bertemakan sajian Sizzling, kami turut menawarkan pelbagai sajian menarik dan enak untuk dicuba seperti Roti John, Roti Serat Special, Roti Lorenzo, tauhu bakar special, kerang bakar kuetiaw goreng seafood dan lain-lain dengan harga yang cukup berpatutan," katanya.
Jelas Khairul, sambutan menggalakkan terhadap sajian berasaskan roti di outlet yang sama di Jusco AU2 menyebabkan pihaknya berasakan menu tersebut wajar dikembangkan di Melaka.
''Roti John yang kami tawarkan dilimpahi rasa daging atau ayam yang dicampur telur dan rempah khas. Bersama ramuan tersebut, roti tersebut akan dibakar hingga ramuan di dalam benar-benar masak sebelum dihidangkan bersama salad, tomato, timun, sos cili dan mayonis menjadikan rasanya memukau," tegas anak jati Melaka ini.
Sementara itu, Roti Serat Special dibakar di atas ramuan daging atau ayam berempah, kemudian dihidang bersama salad, sos cili dan mayonis. Manakala Roti Lorenzo dilimpahi kuah pekat mengiringi roti serat, daging burger, kacang dan hirisan salad.
Sajian ini sesuai untuk mereka yang mengamalkan diet sihat serta gemarkan sajian berasaskan roti. Kesemua roti yang dihasilkan pula didatangkan khas daripada bakeri syarikat tersebut iaitu D Flowers Cake di Rawang, Selangor.
Selain sajian roti, Khairul menambah, pelanggan tidak rugi untuk mencuba tauhu bakar atau tauhu bakar istimewa yang dilengkapi sotong dan kangkung.
''Buat julung kalinya, pihak kami cuba mempertaruhkan tauhu bakar iaitu kudap-kudap yang cukup popular di kalangan pelbagai bangsa. Tauhu bakar ini akan dibakar di dalam hot plate, sebelum dihias dengan tauge, hirisan timun, sengkuang manakala tauhu bakar istimewa pula dilengkapi sotong dan kangkung, sebelum disimbah dengan kuah petis dan kacang tanah tumbuk," katanya lagi.
Akui Khairul, antara menu popular Sizzling adalah kerang bakar dan kuetiaw goreng seafood.
''Kerang akan dibakar di dalam hot plate sebelum dihidangkan bersama sos enak. Kepada yang gemarkan sajian berasaskan nasi pula anda boleh memilih nasi bersama Ayam Masak Merah," jelasnya.
Tidak meminggirkan sajian utama, outlet nombor 7 tersebut tidak ketinggalan menawarkan aneka sajian sizzling berasaskan mi, nasi, kuetiaw atau yee mee.
''Menariknya di Sizzling, kami bukan sahaja menawarkan kuah black pepper yang sememangnya menjadi 'signature' sizzling malah turut menyediakan kuah putih kepada yang tidak gemarkan rasa lada hitam.
''Malah kepada yang tidak gemarkan rasa sajian sizzling, anda juga boleh memilih menu Kuetiaw Kungfu yang disediakan di dalam hot plate," tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: