|
|
KONSEP Bali dan Thai sering menjadi pilihan pengusaha spa di negara ini. Namun tidak bagi pemilik Butik Kecantikan Ainaa-Ailaa, Norulnaha Abdul Razak. Menyedari begitu banyak premis yang memilih konsep sedemikian, usahawan gigih ini ingin mencetuskan kelainan lantas memilih produk dan kraftangan tempatan sebagai hiasan dalaman.
Ia selari dengan konsep Malaysian Holistik Spa yang diterapkannya.
“Sebenarnya seni kraftangan tempatan sangat unik, cantik dan berkualiti. Mengapa kita perlu memilih dan berbangga dengan produk orang lain,” kata pengasas produk Nu’Della memulakan bicara.
Keputusan Norulnaha atau mesra disapa Kak Ana mengubah konsep hiasan dalaman butik kecantikannya disifatkan sebagai satu cara mempromosi perabot dan produk kraftangan tempatan.
Premis di Bangi menjadi percubaan pertama dan akan diseragamkan ke semua spa francais Nu’Della di seluruh negara.
“Bila kita mengubah konsep sebegini, ramai mula bertanya dan mengakui produk tempatan juga tidak kurang hebatnya,” kata beliau.
Bermula dari ruang masuk, wanita itu memilih kerusi rotan sebagai menyambut ketibaan tetamu yang berkunjung ke butik kecantikan ini.
Ruang kosong diselitkan pasu yang diisi buluh-buluh panjang. Ukiran kayu pada kaunter pertanyaan dan penghadang menyuntik elemen Malaysia. Begitu juga dengan penerangan mengenai rempah yang digunakan dalam rawatan spa di sini. Kesemuanya disusun kemas dalam sebuah nyiru kecil. Disertakan sekali dengan maklumat yang berguna untuk pengunjung.
Sebelum melangkah ke ruang dalaman, pangkin yang diperbuat daripada kayu merawan dan meranti sedia menanti.
Menurut usahawan yang berasal dari Melaka ini, kedua-dua kayu itu terkenal dengan ketahanan dan kualitinya.
“Perabot Malaysia sebenarnya lebih berkualiti berbanding luar. Cuma masyarakat kita banyak disogokkan dengan produk luar sehingga kita meminggirkan perabot tempatan,” katanya.
Penghadang yang digunakan sebagai pemisah ruang juga diperbuat daripada kayu yang sama. Untuk menyerlahkan penampilan, ia dihiasi anyaman batik dan ketupat.
Memasuki ruang dalam seakan menjejak kaki ke sebuah rumah kampung yang terletak di desa.
Bunga-bungaan hasil kraftangan masyarakat Orang Asli Gombak menghiasi pasu anyaman rotan dari Kuala Kangsar, Perak.
“Di celah-celah bunga saya selitkan buluh kecil dan kulit kayu manis untuk wujudkan kelainan,” katanya.
Penggunaan kayu manis selain bentuknya yang menarik adalah sebagai pewangi semula jadi yang juga menyerap bau hapak. Malah, butik kecantikan ini langsung tidak menggunakan haruman komersial kerana bergantung kepada bahan-bahan asli seperti pati minyak serai wangi, bunga melur, daun pandan, bunga mawar dan sebagainya.
Kelarai
Mencipta kelainan, siling komersial digantikan dengan kelarai yang juga dihasilkan oleh Orang Asli. Keindahan kelarai terserlah pada anyaman yang cukup teliti dan kukuh menggunakan kayu bertam.
Menambah lagi suasana desa, bubu kecil diletakkan pada setiap lampu malap menjadikan ia kelihatan begitu unik dan tersendiri.
Singgah ke Bilik Rawatan Permaisuri, mata pasti tertancap pada susunan penghadang yang diperbuat daripada taji kelapa. Disertakan pencedok tradisional dari tempurung kelapa yang unik. Juga dinding bilik dibaluti daun nipah menyerlahkan suasana rumah desa.
Pada satu sudut diletakkan teratak untuk mengurut ibu selepas bersalin. Jika ibu tersebut membawa sekali anaknya, teratak itu boleh digunakan sebagai tempat tidur bayi.
“Jangan risau, pekerja di sini juga dilatih untuk menguruskan bayi baru lahir,” katanya.
Pada dinding yang kosong diletakkan cermin berbingkai kayu berukir juga dari Kuala Kangsar. Anyaman tikar mengkuang menjadi alas bagi meja solek menyerlah suasana.
Menyedari konsep butik kecantikannya untuk seisi keluarga, beberapa buah congkak tradisional, menggunakan kayu kukuh dan biji guli sebagai ‘buah’ turut disediakam.
Butik tersebut belum siap sepenuhnya kerana ia dilakukan secara berperingkat. Pelbagai elemen tempatan akan ditambah seperti teko dan cangkir lama, jubah mandi daripada kain batik.
Kos
Dalam pada itu, wanita ini mengakui terpaksa mengeluarkan kos yang agak tinggi dalam usahanya mengetengahkan perabot dan produk kraftangan tempatan.
“Harganya sedikit mahal namun kita perlu lihat pada kualitinya,” kata beliau.
Memiliki perabot tempatan ibarat “alah membeli memang memakai.”
Harganya sedikit mahal kerana ia dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit dan kurang mendapat sambutan. Maka pengeluar tiada pilihan lalu terpaksa menaikkan harga.
“Sebenarnya perabot kita lebih berkualiti dan tahan lama. Cuba lihat kerusi rotan di rumah-rumah kampung, bukankah masih kukuh walaupun sudah berusia lebih 30 tahun,” ujarnya.
Wanita ini juga berharap agar usahanya membuka mata ramai pihak untuk berkerjasama mewujudkan lebih banyak premis berkonsep sebegini.
“Saya mengharapkan agar pihak hotel boleh berkerjasama dengan menyediakan ruang manakala kami pula akan sediakan kepakaran untuk bersama menjayakan konsep Malaysian Spa,” katanya menutup perbualan.
as salam
ReplyDeleteboleh tak saya tahu berapa harga untuk setiap rawatn yang disediakan? terima kasih. - rizal