LEDANG: Seorang ahli perniagaan menyambut Tahun Baru Cina dalam keadaan suram dan diselubungi kekecewaan selepas gagal membuat persiapan yang sepatutnya serta membayar gaji pekerja gara-gara wang dalam akaun simpanan bank berjumlah RM80,000, lesap.
Tan Lee Beng, 35, mendakwa dia kecewa dengan sebuah bank tempatan di Bukit Gambir, di sini, apabila wang di dalam akaunnya lesap kira-kira RM72,000, baru-baru ini.
Katanya, dia sepatutnya menerima RM80,000 melalui cek yang ditunaikan melalui akaun banknya pada 8 Februari lalu, namun terkejut apabila mendapati baki yang tinggal hanya RM8,000.
Hairan dengan perkara itu, Tan menghubungi rakan perniagaannya di Kuala Lumpur untuk bertanyakan jumlah sebenar cek tersebut.
“Namun, apabila menghubungi rakan dia menegaskan cek itu sepatutnya berjumlah RM80,000 dan bukannya RM8,000.
“Saya tidak puas hati dan memeriksa semula resit urusan cek itu dan ia terbukti saya sepatutnya menerima RM80,000,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Tan, dia kemudiannya pergi semula ke bank terbabit untuk kesahihan urusan yang dijalankan melalui mesin pendeposit cek yang disediakan institusi kewangan itu.
“Ketika itu saya menarik nafas lega apabila pihak pengurusan bank berkenaan berjanji akan menyelesaikan perkara terbabit dalam masa 24 jam,” katanya.
Kegembiraan Tan bagaimanapun tidak bertahan lama kerana sehari selepas itu, dia sekali lagi dikecewakan kerana duit yang diharapkan untuk membayar gaji pekerja dan persediaan menyambut Tahun Baru Cina masih tiada lagi dalam akaunnya.
“Kali ini saya benar-benar kecewa kerana mereka (bank) membuat janji palsu, selepas 24 jam menunggu, masalah itu masih gagal diselesaikan dan kini selepas seminggu kami masih menunggu tanpa sebarang berita yang meyakinkan,” katanya.
Akibat kesilapan teknikal bank itu, Tan mendakwa dia hampir diisytiharkan muflis kerana gagal untuk menjelaskan hutang perniagaan yang bernilai RM30,000.
Dia juga terpaksa menanggung malu kerana ramai rakan kongsinya tidak mahu berurusan dengannya lagi kerana penangguhan urusan pembayaran mereka.
Sehubungan itu, dia bersama isterinya membuat laporan polis kerana meragui pengurusan bank berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: