Monday, March 1, 2010

Biarlah rahsia

PUTRAJAYA: “Saya tidak pernah terfikir untuk berkahwin dalam masa terdekat. Saya masih muda dan banyak lagi komitmen perlu dilakukan,” luah pelakon dan penyanyi remaja, Diana Danielle, 18, sekali gus menafikan khabar angin dia akan menamatkan zaman gadisnya tidak lama lagi.

Pelakon yang genap berusia 18 tahun pada 22 November lalu berkata, dia masih mempunyai banyak tanggungjawab termasuk meneruskan pengajian ke peringkat ijazah selepas menamatkan pengajian Matrikulasi Bio-Sains, Nottingham University, cawangan Malaysia di Semenyih, Selangor, kelak.


“Memang tidak ada perancangan langsung nak kahwin dalam masa terdekat. Saya ingin menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Public Jewellery serta Public Silver, di sini, semalam.


Sementara itu, ibu Diana, Norsiah Ramli, berkata dia tidak akan sesekali membenarkan anak gadisnya mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat memandangkan gadis itu masih terlalu mentah untuk memegang status isteri.


Ditanya mengenai desas-desus keintimannya dengan pelakon kacak, Farid Kamil, pelakon itu enggan mengesah atau menafikan perkara itu dan menganggapnya sesuatu yang amat peribadi.


“Hari ini, saya tidak mahu bercakap mengenai kehidupan peribadi. Sebelum ini, kehidupan peribadi saya pernah digembar-gemburkan, jadi sekarang saya perlu lebih berhati-hati.

“Kisah peribadi biarlah menjadi rahsia saya sendiri. Saya tak mahu lagi peristiwa silam berulang. Cukuplah sekali,” katanya sambil tersenyum.


Metro Ahad, melalui ruangan Cak semalam melaporkan Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, anak kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat, dikatakan dilihat sedang menikmati makan malam di sebuah restoran popular bersama Farid dan beberapa teman.


Namun, kemesraan kedua-dua pelakon be rkenaan yang saling tidak lepas memandang antara satu sama lain membuatkan peminat tertanya-tanya sama ada pasangan dua sejoli itu mempunyai hubungan istimewa.


Malah, gaya mereka tidak ubah seperti pasangan bercinta dengan Farid kelihatan sangat romantik manakala Diana pula tidak lekang dengan senyuman bahagia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: