Monday, March 1, 2010

Mahu timang 5 lagi anak

PADA usia empat bulan satu hari, barulah ibu bapanya, Que Haidar, 31, dan Linda Jasmine Hashim, 37, sedia memperkenalkan anakanda kesayangan Tengku Ratu Haidar kepada media.

pix_middle



Ratu dilahirkan pada 26 Oktober 2009. Bahagia di sisi isteri tercinta yang juga koreografer terkenal, kehadiran Ratu melengkapkan lagi kehidupan Que.

Bertempat di Restoran Bora Ombak, Ampang, Sabtu lalu diadakan majlis memperkenalkan Ratu.

Dihadiri keluarga, saudara, rakan artis dan wakil media, majlis itu berlangsung dengan meriah bertemakan putih dan kuning keemasan.


Que Haidar atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar berkata sememangnya dia dan isteri menunggu Ratu sudah besar sedikit untuk diperkenalkan kepada umum.
Tetapi jelasnya ia bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

"Waktu baru lahir dulu bukan saya dan Linda tidak mahu tunjuk kepada umum, tetapi memikirkan bayi mempunyai masa tertentu untuk tidur dan menyusu.

"Lagipun, keadaan kesihatan Linda pun kurang baik selepas melahirkan Ratu.

"Jadi, sebagai suami dan bapa saya perlu memikirkan semua aspek untuk kebaikan isteri serta anak. Ketika lahir dulu berat Ratu hanya 2.29 kilogram dan sekarang sudah melebihi tujuh kilogram. Sekarang senang mendukungnya.

"Apapun, Ratu senang dijaga. Adakala dia akan tidur nyenyak sehingga ke siang dan jam 9 pagi baru menyusu. Malah, dia juga tidak takut dengan air dan suka mandi. Karakter dirinya juga peramah dan suka bila ramai orang.

"Tetapi, pada masa sama sensitif. Bahkan, kalau merajuk susah hendak dipujuk dan suaranya nyaring.

"Sepanjang dua minggu dalam pantang, Linda dijaga ibu saya, Rahmah Hussein. Selebihnya saya menjaga isteri dan anak sendiri," katanya.

Que juga tanpa berselindung mendedahkan rahsia diri di mana dulu dia tidak berapa suka kanak-kanak kerana bingit. Tetapi apabila hendak menikah dengan Linda, tiba-tiba berlaku perubahan dalam dirinya apabila dia mula sukakan kanak-kanak.

Ujar Que, perubahan drastik itu membuatkan ibunya bangga.
Apatah lagi Que mahir menjaga isterinya dalam pantang, menyalin lampin pakai buang bayi, memandikan anak dan menyusukan Ratu tanpa bantuan sesiapa.

"Pengalaman baru itu membuatkan saya lebih cekap menguruskan anak daripada abang dan adik yang sudah berumah tangga.

"Apapun, satu perkara terlintas di fikiran saya sebaik melihat raut wajah Ratu selepas dilahirkan.

"Terdetik dalam hati ini, kalaulah tiba ajal saya tiada apa yang dikesalkan kerana sudah dapat menatap wajah Ratu," katanya.

Menceritakan pengalamannya menemani Linda di bilik pembedahan, Que berkata dia teruja akan menjadi bapa, tetapi terpaksa menenangkan Linda yang melahirkan Ratu menerusi pembedahan.

"Saya menyanyi untuk Linda supaya dia tenang dan tidak rasa tertekan. Sebaik mendengar tangisan Ratu, saya sangat gembira dan bersyukur.

"Sebelum ini saya tak tahan darah, tetapi kali ini saya ok.

"Bukan itu saja, saya juga asyik menelefon adik-beradik dan rakan untuk bercerita serta berkongsi kegembiraan. "Selepas kelahiran Ratu, kami mahu menambah anak lagi sekurang-kurangnya lima orang. Namun, semuanya terserah pada ketentuan Allah.

"Memandangkan faktor usia, kami tak boleh menunggu terlalu lama. Menurut doktor, ibu yang melahirkan anak secara pembedahan, selepas enam bulan atau setahun sudah boleh mengandung lagi. Jika dikurniakan anak lagi selepas ini, kami tak kisah jantinanya.

"Kami terima pemberian saja Allah kerana impian untuk memiliki anak lelaki dan perempuan sudah pun tercapai. "Menerusi perkahwinan pertama, Linda dapat anak lelaki dan hasratnya untuk dapat anak perempuan pun Allah sudah makbulkan," kata pelakon filem Zombie Kampung Pisang ini.

Cerita Que lagi, dia memilih nama Tengku Ratu untuk anaknya kerana melihat isterinya umpama seorang ratu. Cantik, baik hati dan sikap lemah lembut yang pada Linda membuatkan Que jatuh hati pada pereka tari profesional itu.

Linda pula berkata sewaktu melahirkan anak sulungnya, Qalif Khan, 10, dia berusia 26 tahun.

Katanya, dia terkejut dan tertekan memandangkan tiada pengalaman dan pembantu rumah yang menolongnya.

"Namun, lain pula perasaannya apabila melahirkan Ratu kerana saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Jadi, saya berasakan boleh membuat yang lebih baik. Apapun, saya sememangnya sudah merancang yang terbaik untuk anak-anak.

"Misalnya simpanan untuk pendidikan mereka. Bagi saya dan suami, pendidikan sangat penting dan untuk itu kami perlu membuat persediaan dari sekarang. Sama ada Qalif atau Tengku Ratu, simpanan untuk mereka sama rata dan tiada beza.

"Selain itu, sebagai ibu saya juga akan membahagikan masa berkualiti untuk anak. Sekalipun ada pembantu dan sibuk dengan kerja, saya akan pastikan kasih sayang untuk anak tidak terabai," katanya yang menjadi guru tari di Akademi Fantasia 8 (AF8).

Ditanya mengenai penerimaan Qalif terhadap adiknya, Linda berkata anak lelakinya itu mampu bersikap pelindung dan abang yang penyayang.
Malah, katanya, Qalif sering meminta adiknya dibawa ke sekolah untuk diperkenalkan pada guru dan rakannya.

Antara rakan artis yang hadir pada majlis itu, Mawi, Ekin, Aien, Eizlan Yusof, Jeslina Hashim, Lufya (AF5), Dafi (AF5), Mazin dan Sofia Jane.

Pada majlis itu juga, Que turut menyanyikan lagu, Tidurlah Wahai Permaisuri untuk anak tersayang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: