
REPVBLIK, satu nama band yang cukup asing buat peminat muzik tempatan. Meskipun begitu, band yang berasal dari Indonesia itu sebenarnya sudah lima tahun ditubuhkan.
Dianggotai oleh lima anak muda, Ruri, 27, (vokal), Tyar, 25, (keyboard), Ei, 25, (gitar utama), Hexa, 26, (gitar), Lavy, 26, (bass) band Repvblik mula dikenali dengan lagu berjudul Hanya Ingin Kau Tahu pada tahun 2007 menerusi album perdana mereka iaitu Punya Erti.
Menerusi lagu yang sama juga, Repvblik telah menerima penghargaan daripada syarikat rakaman mereka iaitu EMI Music Indonesia apabila lagu tersebut telah dimuat turun sebanyak dua juta kali sehingga Julai 2009 dan kini angka itu bertambah sehingga tiga juta.
Malah, lagu tersebut juga mula mempopularkan band Repvblik di Malaysia apabila lagu Hanya Ingin Kau Tahu diambil sebagai lagu tema beberapa buah drama tempatan.
Meskipun begitu, nama Repvblik belum cukup gah jika hendak dibandingkan dengan band-band Indonesia lain yang pernah bertandang ke Malaysia.
Menyedari hakikat itu, mereka sedar satu langkah yang besar perlu diambil untuk meluaskan lagi empayar muzik yang sedang dibina.
"Kami sedar dan tahu di mana tahap kami sekarang ini. Walaupun tidak segah nama band yang lain tetapi kami cukup berbangga dengan pencapaian kami sendiri. Oleh kerana itu, kami sedang berusaha membikin muzik serta mengatur langkah yang khusus untuk melebarkan lagi muzik kami.
"Jika dulu, kami tidak pernah terfikir muzik akan membawa kami sampai ke Malaysia, tetapi kini ia telah terjadi. Walaupun tidak bikin konsert di Malaysia, kami tetap bersyukur dengan peluang yang diberi," ujar Hexa mewakili bandnya.
Tambah Hexa lagi, sungguhpun nama mereka telah dikenali di Indonesia dan mereka kini mula mencuri perhatian segelintir peminat muzik di Malaysia, hakikatnya perjalanan muzik yang dilalui mereka berlima penuh liku.
Jika dikatakan penyanyi dari Malaysia sukar mendapat tempat di hati media Indonesia serta sukar menerobos carta-carta radio di sana, sama juga hal yang berlaku kepada Repuvblik.
Terang vokalisnya yang berasal dari Bogor, Ruri, perkara itu tidak hanya berlaku kepada pemuzik dari Malaysia kerana mereka juga pernah mengalami hal yang sama ketika di awal kemunculan dulu.
"Saya tidak tahu apa penyebab pemuzik Malaysia sukar untuk ke sana, mungkin kurang promosi. Sedangkan kami orang Indonesia sendiri juga sukar untuk lagu masuk ke carta radio di sana.
"Awalnya mereka mengatakan lagu kami tidak sesuai untuk masuk radio tetapi setelah banyak permintaan daripada peminat barulah pihak radio terbuka hati memainkan lagu kami. Sejak itu, kerjaya kami mulai berubah dan semakin diterima peminat muzik serta media," tutur Ruri.
Disoal tentang tahap keyakinan mereka untuk diterima oleh peminat di Malaysia, dengan senyuman Hexa mengatakan, kehadiran mereka ke Malaysia hanyalah untuk memperdengarkan jalur muzik pop yang dibikin mereka sendiri.
"Insya-Allah, kalau ada rezeki dan diizin Allah, muzik kami akan diterima di sini. Setakat hari ini, kami berterima kasih kepada pihak stesen radio yang sudi memutarkan lagu Repvblik," ujar Hexa.
Hanya single
Sementara itu, penjualan album yang lembap menyebabkan Alibi Music Sdn. Bhd. yang bertindak selaku ejen Repvblik di Malaysia tidak akan mengedarkan album kedua mereka berjudul Aku Dan Perasaan, yang lagu-lagunya dicipta oleh vokalisnya sendiri.
Sebaliknya Alibi Music memberi fokus kepada penjualan lagu secara digital. Berita itu disampaikan sendiri oleh Pengurus Kanan Alibi Music Sdn.Bhd yang turut hadir dalam majlis pra-dengar lagu dari album terbaru mereka di Damansara, baru-baru ini.
"Buat masa ini tidak ada perancangan untuk mengedarkan album terbaru mereka di sini tetapi kami mempunyai perancangan lain untuk memperkenalkan mereka kepada pemuzik Malaysia.
"Kami ada rancangan untuk membikin lagu duet antara band Repvblik dan penyanyi wanita di bawah naungan Alibi Music. Siapa penyanyi wanita itu dan bagaimana bunyi lagu itu, saya tidak boleh beritahu sekarang. Bila semuanya sudah sedia, kami akan umumkan," katanya.
Berita itu disambut dengan penuh syukur oleh Repvblik walaupun album kedua mereka tidak diedarkan di Malaysia.
"Syarikat rakaman serta agen pasti punya perancangan tersendiri untuk membantu kami. Kami yakin dan optimis dengan segala keputusan yang dibuat.
"Pasaran album memang lembap, jadi dengan cara baru iaitu digital nampaknya kami boleh bernafas, jadi apa salahnya guna cara itu. Lagipun kebanyakan orang mempunyai telefon, itu sudah memudahkan lagi pasaran lagu," jelas Lavy yang selesa dengan imej rambut merahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: