Thursday, March 4, 2010

Umpama bayi Suria FM

"Penglibatan saya dalam Suria FM menguatkan impian untuk buat itu dan ini. Umpama bayi yang hendak membesar maka pelbagai benda kita ingin buat untuknya" – LINDA ONN




HAMPARKANLAH apa sahaja. Kononnya penyampai radio popular, Linda Onn menipu diri dan peminat bahawa cukup bahagia menyertai keluarga baru, Suria FM, adalah dusta semata. Keterujaan wanita berusia 33 tahun itu tidak dibuat-buat.

Tiada emosi hitam cuba disembunyikan. Bahkan tidak wujud istilah kecewa dengan keputusan mengucapkan selamat tinggal stesen radio terdahulu yang lebih popular andai diukur dengan Suria FM.

Tanpa berselindung, Linda mengaku seronok dengan setiap nafasnya di Suria FM. Ada sebab munasabah dia gembira mencari rezeki di bumbung baru bertempat di Bangunan Am Assurance, Jalan Lumut, Kuala Lumpur itu.

Pemegang status usahawan kedai makan sukses itu berkata, semangat baru muncul dalam diri selepas dua bulan bekerja dengan seluruh pasukan Suria FM. Tiada sebarang tekanan, jawabnya penuh yakin seperti selalu.

"Setiap tempat kerja ada kelebihan dan kekurangan sendiri. Sejak menjadi warga kerja Suria FM, saya rasa kelainan berbeza berbanding kerja dengan dua stesen radio lama.

"Saya tidak pernah kesal dengan apa saja dilakukan sebelum ini. Malah sentiasa bersyukur meraih pelbagai pengalaman melibatkan diri dalam bidang ini.

"Sekarang saya cuma ingin tumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya dengan Suria FM," katanya ketika ditemui pada pelancaran Lagu Berduit Suria FM di Rainforest, Damansara, Petaling Jaya, Selangor minggu lalu.


Linda Onn bersyukur kerana Suria FM menyokong dirinya walau dirundung kontroversi.


Mengendalikan program Suria Drive bermula pukul 4 petang hingga 8 malam dari Isnin hingga Jumaat, atmosfera berada dengan Zizi, Halim Othman dan Hawa seperti mengimbas kenangan lalu.

"Saya macam berada di zaman 11 tahun lalu apabila kembali bekerja dengan mereka yang telah lama saya kenal. Dengan azam baru, saya ingin kerja kuat demi memantapkan Suria FM.

"Ia tidak terletak pada bahu saya seorang diri. Sebaliknya individu-indvidu yang berada di bawah Suria FM juga hebat-hebat belaka dan berpengalaman penuh.

"Justeru ia bukanlah jadi halangan sukar untuk kami menaikkan populariti stesen radio ini agar mampu bersaing dengan yang lain.

"Penglibatan saya dalam Suria FM menguatkan impian untuk buat itu dan ini. Umpama bayi yang hendak membesar maka pelbagai benda kita ingin buat untuknya," jawab Linda yang tidak kisah memulakan kariernya dari bawah bersama Suria FM.

Dengan kemasyhuran bertebaran pada Linda selepas lebih sedekad bergelar penyampai, timbul kata-kata nakal Linda ditatang lebih istimewa daripada penyampai Suria FM lain. Benarkah?

Layanan kelas pertama

Ketika dibidik soalan berkenaan, Linda hanya mampu ketawa mengekeh tanda lucu. Bukan itu sahaja, tiada sebarang reaksi terkejut pada raut wajah Linda yang dibiarkan bogel tanpa solekan.

"Saya dilayan sama rata saja. Saya juga kena kerja pada cuti umum. Rasa bertuah apabila pihak pengurusan dan penyampai Suria FM menerima saya dengan tangan terbuka.

"Kalau mahu tahu perkara sebenar kena tanya penyampai di Suria FM sebab saya tidak boleh komen dalam soal ini. Saya cuba sedaya-upaya bawa diri dengan baik agar setiap orang di tempat kerja baru selesa dengan saya.

"Bekerja di bawah kendalian syarikat besar sebelum ini cukup berbeza dengan berada dalam persekitaran Suria FM. Dulu hendak jumpa semua orang sangat susah.

"Dengan banyak stesen radio dan konti yang berlainan, jarang sekali dapat duduk sama sambil berborak dan bergelak tawa.

"Komunikasi dua hala jarang berlaku sebab masing-masing sibuk dengan urusan kerja. Tidak hairan apabila mungkin bermacam-macam persepsi dilemparkan sesama sendiri ditambah kami tidak berpeluang bersemuka lalu mengenali dengan lebih dekat.

"Lain pula halnya dengan situasi di Suria FM. Hampir setiap hari saya jumpa dengan ahli pasukan stesen radio ini sambil berbual panjang. Tidak langsung, saya dapat tonjol karakter sebenar kepada orang lain dalam suasana erat tanpa memiliki batasan," ungkap Linda.


LINDA selesa dengan cara kerja di Suria FM yang memberi banyak ruang untuk dia dan rakan deejay lain bertemu.


Ada benarnya kata Linda. Penulis sendiri menyaksikan Linda tidak henti bercanda serta tertawa dengan para penyampai sewaktu muncul pada acara anjuran Suria FM itu.

Ia jelas membayangkan betapa tiada langsung perasaan skeptikal atau memilih bulu pemilik nama lengkap Rozlindah Onn dengan petugas atau penyampai Suria FM.

Waima Linda terlebih dahulu mengharum sebagai penyampai berbanding teman Suria FM lain dan beberapa kali dia turun naik pentas menggenggam trofi Penyampai Radio Wanita Popular, Linda masih sarat sikap berpijak di bumi nyata.

Begitupun, awal melangkahkan kaki ke Suria FM awal tahun lalu, nama Linda pantas meletus gara-gara menzahirkan kenyataan mendakwa bekas kekasihnya, Fahrin Ahmad, seorang lelaki panas baran dan kaki pukul.

Ia mendorong aktor kacak berusia 31 tahun itu memberi kata dua kepada Linda agar membuat pengakuan terbuka memohon maaf. Perbalahan itu belum menemui titik pengakhiran seperti yang diingini Fahrin.

Mereka sekarang hanya menanti waktu sesuai menyelesaikan pertengkaran itu di kamar prosiding mahkamah lalu memberi amanah kepada tuan hakim menjatuhkan hukuman siapa betul, siapa salah.

Sokongan

Berterus-terang, Linda meluahkan kesyukuran kerana Suria FM tidak mudah menyalahkan dirinya dalam perkara itu. Biar sedikit sebanyak nama stesen radio itu diperkatakan di sana sini, pihak pengurusan masih berdiri kukuh di belakangnya.

"Alhamdulillah, seluruh tenaga kerja Suria FM termasuk pihak atasan memahami situasi saya apatah lagi perkara ini melibatkan hal peribadi.

"Mereka beritahu kalau saya bercakap benar dan mahu mempertahankan pendirian sendiri maka sokongan ditunjukkan kepada saya tanpa berbelah bagi.


DARI kiri: Halim Othman dan Zizi memberi keterangan tentang siri kuiz Lagu Berduit yang telah bermula pada 1 Mac lalu sehingga hujung Mac ini di Suria FM.


"Saya gembira dengan sikap positif ini. Bahkan, mereka beri kata perangsang kepada saya agar bertahan dan terus berjuang demi menunjukkan kebenaran.

"Selain keluarga sendiri, tiada yang lebih membahagiakan diri apabila keluarga kedua saya, Suria FM menaruh sepenuh kepercayaan kepada diri," akhiri Linda sambil menepis berita dia merupakan jutawan dan bekerja dengan Suria FM kerana suka-suka demi menghabiskan waktu terluangnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: