Friday, March 12, 2010

Pemandu teksi didakwa bunuh Syafiah Humairah


Mohd. Fazli dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu semalam atas dakwaan membunuh Syafiah.


KUALA KUBU BHARU - Seorang pemandu teksi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh Syafiah Humairah Sahari (gambar kecil) dengan membelasahnya sehingga mati di padang bola sepak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan yang direkodkan daripada tertuduh, Mohd. Fazli Azri Jamil, 28, yang hanya menundukkan kepala sepanjang prosiding.

Tertuduh dengan wajah yang muram juga menganggukkan kepala sebagai tanda memahami pertuduhan tersebut.

Mohd. Fazli didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Syafiah, 3, di padang bola sepak Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama Batang Kali dekat sini pada pukul 6.30 petang 25 Februari lalu.

Dakwaan terhadap Mohd. Fazli yang tidak diwakili peguam dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorjidah Mohd. Jusan memohon satu tarikh sebutan bagi kes itu kerana pihaknya sedang menunggu untuk mendapatkan laporan kimia dan laporan autopsi mangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: