Friday, March 12, 2010

Pasangan pengantin baru dibelasah

KOTA BHARU - Sepasang pengantin baru dibelasah oleh sekumpulan lelaki yang dipercayai penarik kereta dan mengugut dengan sebatang besi dalam kejadian di Jalan Pasir Hor, di sini, pagi semalam.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 10.30 pagi, ketika mangsa yang dikenali dengan panggilan Nor berusia 28 tahun bersama isterinya Ita, 28, keluar daripada pejabat Jabatan Agama Islam Kelantan selepas menguruskan sijil perkahwinan mereka.

Nor berkata, ketika itu dia dan isterinya menaiki kereta jenis Naza Sutera yang mempunyai tunggakan bank lebih setahun lalu, di mana mereka telah dihimpit sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima lelaki yang tidak dikenali berusia lingkungan antara 30 hingga 40-an.

Katanya, pada masa sama, salah seorang penumpang hadapan turut mengacukan sebatang besi panjang terhadapnya dan mengarahkannya supaya memberhentikan kereta.

”Saya tidak berhenti kerana bimbang lelaki terbabit hendak melakukan sesuatu terhadap saya dan isteri kerana kami masih lagi trauma selepas membaca laporan mengenai penyamun menyamar sebagai penarik kereta.

”Saya kemudian memecut kenderaan untuk mencari balai polis berdekatan dan mencari kawasan yang sesuai untuk mendapatkan bantuan tetapi kami tidak bernasib baik, kerana orang ramai hanya melihat tanpa bantu,” katanya.

Nor berkata, dia telah diekori sehingga ke Jalan Pasir Hor dan sebaik memberhentikan keretanya, tiga daripada lelaki terbabit terus keluar dan membelasahnya dengan tangan dan kaki. Isterinya turut dibelasah ketika cuba menghalang lelaki terbabit daripada memukulnya.

Katanya, 10 minit kemudian, lelaki terbabit merampas kunci kereta dan mengarahkan mereka menaiki kereta untuk dibawa ke satu tempat yang membolehkan mereka berbincang mengenai kereta berkenaan.

Nor berkata, dia dan isteri kemudian dibawa sebuah kedai di Kubang Kerian dan selepas beberapa minit berbincang, lelaki terbabit turut mengambil keretanya untuk diserahkan kepada pihak bank.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian meninggalkan mereka di situ sebelum diambil oleh ibu bapanya dan membawa mereka ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

“Selepas mendapatkan rawatan, saya dan isteri bergegas ke Balai Polis Kota Bharu untuk membuat laporan berhubung kejadian itu,’’ katanya.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu pagi semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu kumpulan lelaki terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: