Friday, March 19, 2010

Pasang hasrat luncur udara

WANITA ini sememangnya layak digelar 'fitness junkie' (penggemar aktiviti lasak) kerana hidupnya tidak pernah lekang dengan pelbagai aktiviti berisiko tinggi.

pix_middle



Sebut saja apa jenis aktiviti lasak yang ada, kelibat Azura Zainal pasti kelihatan kerana mekanisme wanita peramah ini bagaikan dicipta untuk mencuba sesuatu yang baru.

"Saya bukannya obses, tapi sudah terbiasa sejak kecil. Ketika kanak-kanak, saya terbabit dengan aktiviti lasak dan sukan misalnya merentas desa, mencari harta karun dan olahraga.

"Saya mempunyai keluarga yang besar dengan tujuh adik beradik, jadi ada saja aktiviti yang kami lakukan seperti memanjat pokok dan bermain raunders.


"Apabila di sekolah, saya sertai banyak acara sukan dan pernah dipilih sebagai olahragawati selama dua tahun berturut-turut pada 1996 dan 1997," ujar duta jenama Nike ini memulakan bicara.

Justeru, Azura tiada masalah untuk mengendalikan tugasnya sebagai pengacara program X-plorasi di RTM1 yang memerlukannya melakukan sendiri aktiviti lasak seperti mendaki gunung, selam skuba, memandu jentera pacuan empat roda dan berakit meredah jeram.

"Mengacarakan X-plorasi sememangnya mencabar mental dan fizikal saya serta kru produksi kerana kami perlu melakukan rakaman berulang kali.

"Jika anda mendaki gunung, anda cuma mendaki dan turun dari gunung hanya sekali.

"Tapi kami perlu mendakinya berkali-kali dan turun juga beberapa kali untuk mendapatkan syot yang menarik. Memang memeritkan, tetapi pada masa sama, ia turut menyeronokkan.


"Disebabkan itu, saya berusaha ke gimnasium untuk mendapatkan lebih stamina. Jika tidak berpeluang ke gimnasium secara kerap, saya cuma joging di sekitar taman perumahan antara 2.5 kilometer dan tiga kilometer.

"Saya turut berminat sertai seni mempertahankan diri seperti taekwondo dan baru-baru ini mencuba capoeira.

"Saya pernah menyertai kelas taekwando di sekolah sehingga ke tahap tali pinggang hijau, tapi berhenti kelas kerana saya tidak suka pada guru yang mengajarnya," kata Azura.

Dengan kehidupan aktif yang dijalaninya, tidak hairanlah apabila Azura kerap mengalami kecederaan terutama di tangan dan kaki.

Azura pernah cedera di pergelangan tangan dan dia tidak lagi mampu melakukan tekan tubi.

Lututnya juga tidak boleh di dibengkokkan dalam tempoh lama hingga menyukarkannya untuk bangun seperti biasa berikutan terhantuk ketika bermain kasut lereng (roller blade) bersama adik-adiknya.

Terkini, dia mengalami sakit di leher gara-gara posisi tidur yang tidak betul.
Keadaan lebih rumit apabila dia mendapatkan khidmat urutan badan yang dilakukan warga China di sebuah pusat urutan popular di ibu kota.

"Mungkin rasa sakit itu disebabkan tidur dengan posisi yang salah. Atas andaian itu, saya terus ke pusat urutan terbabit dan diurut selama sejam. Tapi, urutan itu bukannya melegakan keadaan leher saya yang tegang, malah ia lebih menyakitkan.

"Saya kemudian terus ke klinik pakar kiropraktor dan doktor menerangkan bahawa tulang di leher saya sudah beralih disebabkan urutan itu.

"Saya seterusnya menjalani rawatan urutan pembetulan dan akupuntur. Ia terlalu sakit sampai saya menangis hingga membuatkan doktor itu panik. Saya sama sekali sukar menangis kecuali ia benar-benar sakit!

"Selesai sesi itu, saya mula rasa lebih selesa dan kurang rasa sakit. Moralnya, jangan sesuka hati mendapatkan rawatan urutan tanpa memeriksa keberkesanannya walaupun di tempat gah kerana ia mungkin boleh memudaratkan," katanya.

Meskipun berulang kali cedera, Azura sama sekali tidak berhasrat menghentikan segala aktivitinya, malah lebih teruja untuk melakukan beberapa aktiviti lain antaranya luncur udara dan selam sangkar yang dikelilingi ikan yu putih di Afrika Selatan.

"Ia antara aktiviti yang ingin saya lakukan dalam tahun ini. Andai tidak berpeluang ke Afrika Selatan, mungkin saya hanya cuba luncur udara di sini.

"Daripada segi karier pula, saya akan terus mengacarakan beberapa program televisyen tambahan saya baru selesai penggambaran Alamak untuk musim kedua," katanya.

Azura turut menyifatkan 2010 sebagai musim yang sibuk untuknya memandangkan bekas pengacara Disney Buzz selama tujuh tahun ini meletakkan sasaran membuat kemunculan semula sebagai penyanyi, selepas kali pertama tampil dengan single Bila Mama Pakai Celana bersama Urban Exchange dan Ruffedge pada 2008.

Profil
NAMA: Azura Zainal
TARIKH LAHIR: 22 Februari 1981
ASAL: Selangor
ADIK-BERADIK: Anak keempat daripada tujuh beradik.
ANTARA PENGALAMAN:
Pengacara program
- Disney Buzz (saluran Disney)
- Gila-Gila Shopping (ntv7)
- Explorace Kids (TV3)
- Soccerstars Malaysia (Astro)
- Get In Shape (RTM2)
- X-plorasi (RTM1)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: