TUAH ayam yam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitulah juga dengan populariti yang mula diraih bakat baru, Rafidah Ibrahim atau Fida.
Malah, ia turut membangkitkan keyakinannya untuk terus menjadi anak wayang. Kata Fida, sekalipun pada awalnya dia tiada pengalaman berlakon, namun pengarah banyak membantu. Ujarnya lagi, sikap tegas Azhari atau Zack di lokasi digeruninya.
Fida akui, pengarah berkaliber seperti Azhari tahu apa yang diinginkan pada setiap babak dalam Cinta Tikar Sejadah. Jadi, apabila emosi yang perlu dimainkan pelakon tidak sampai di tahap sepatutnya, dia pasti lebih tegas serta marah.
"Saya tak kisah dimarah, tetapi jujurnya memang ia menakutkan. Jadi, daripada kena marah, baik berlakon dengan betul dan sedaya upaya berusaha menjiwai watak seperti kehendak pengarah. Apapun, sikap tegas Azhari banyak mengajar saya.
"Malah, saya kini masih berlakon di bawah arahannya dalam drama Jalan Pinang Sebatang untuk siaran Astro Warna. "Berbanding Cinta Tikar Sejadah yang disiarkan selama 30 minit di Astro Oasis (saluran 106), drama ini akan menemui penonton selama sejam.
|
"Sebanyak 13 episod, Jalan Pinang Sebatang juga bergenre komedi. "Jadi, saya akui penonton pasti kelakar apabila menontonnya. Apapun, setakat ini saya berpuas hati dengan komen diterima daripada orang ramai mengenai lakonan ditonjolkan.
"Cinta Tikar Sejadah, boleh dianggap percubaan yang berjaya kerana rata-rata komen penonton memaklumkan lakonan saya semula jadi. "Namun, saya sedar semua itu atas tunjuk ajar dan bantuan Azhari kerana marahnya bersebab," ujar Fida.
Penyandang gelaran juara pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene pada 2007 ini menyifatkan kontrak selama setahun dengan MIG Talent satu tindakan tepat dilakukannya. Katanya, dia juga berbesar hati jika kontrak itu disambung.
"Apapun, semuanya terpulang kepada Pengarah Urusan MIG Productions, David Teo. "Seandainya masih diberi peluang, saya takkan menolak. Malah, buat masa ini juga saya masih belum ada rezeki menerima tawaran berlakon filem.
"Mungkin, dengan imej bertudung ini peluang watak agak terhad. Namun, hendak buat macam mana sebab kemunculan saya memang bertudung. Justeru, saya sangat percaya pada rezeki," kata Fida.
Bagaimanapun, sebagai orang yang masih baru dalam bidang seni, gadis dari Kampung Baru, Kuala Lumpur ini mengakui dia masih perlu mengumpul pengalaman. Katanya, setakat ini, apa yang diperoleh terlalu sedikit.
Masih tidak dapat mengelak daripada tempias hubungannya dengan Siti, Fida hanya mampu berserah. "Bagi saya, ia persepsi orang dan terpulanglah pada masyarakat untuk menilainya. Apa yang pasti, saya melihat pencapaian diraih Siti terlalu besar dan saya masih kerdil. "Apabila ramai orang mengaitkan saya dengan Siti, sebenarnya segan juga. Saya baru setahun jagung dan banyak peluang harus dicari. Terutama dalam bidang nyanyian," katanya.
Ditanya mengenai kombinasi dengan Farid, ujarnya mereka kurang bercakap di lokasi penggambaran. Namun, itu bukan bermakna tak boleh bekerjasama. Malah, Fida berkata dia juga tak kisah untuk bekerja lagi dengan Farid di lokasi penggambaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: