Sunday, March 28, 2010

Nadia peminat tegar The Beatles


Nadia sangat menghargai koleksi peribadi yang dikumpul sejak berusia 9 tahun.


NADIA Rahmat hanya tersenyum tatkala ditanya faktor utama yang menyebabkan dia meminati kumpulan rock terunggul sekitar tahun 1960, The Beatles. Apatah lagi jika dibandingkan usia gadis itu yang baru mencecah 21 tahun dengan penubuhan band yang berasal dari Liverpool itu, bagai langit dan bumi.

Namun ternyata usia bukan penghalang untuk dia memupuk minat terhadap The Beatles sehinggakan apa saja maklumat mengenai kumpulan itu ada di hujung jarinya.

Anak kedua daripada lima beradik itu memberitahu: ‘‘Tiada yang mustahil pada zaman moden ini. Semuanya di hujung jari. Apa yang diperlukan adalah inisiatif pada individu itu sendiri. Mahu atau tidak’’.

Bagaimanapun akui pelajar jurusan perakaunan profesional ACCA ini, orang pertama yang membuka minatnya terhadap The Beatles adalah ayahnya, Rahmat Ismail. Ketika itu, Nadia baru sahaja berusia sembilan tahun dan masih menuntut di Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik Shah Alam.

Bapanya pernah menuntut di Liverpool berkongsi maklumat dengan dengan Nadia membolehkan dia mendalami karakter ahli kumpulan The Beatles yang terdiri daripada John Lennon, Paul McCartney, Ringo Starr dan George Harrison.

Keupayaan Nadia untuk mengingati lipatan sejarah berkaitan kumpulan yang popular dengan lagu Love Me Do itu juga mengkagumkan. Ini kerana kebanyakan lagu kumpulan berkenaan berdurasi sekitar dua minit.

Di peringkat permulaan, Nadia sudah memiliki empat daripada 14 album kumpulan tersebut. Antaranya Abbey Road, Sgt. Peppers Lonely Hearts Club Band, Rubber Soul dan Beatles 1 (album kompilasi).

Sebagai pelajar, sudah pasti faktor kewangan merupakan kekangan bagi Nadia untuk memiliki kesemua album.

Antara yang mampu dimiliki Nadia adalah baju T, permainan Monopoly, koleh, cakera padat digital (DVD) dan beberapa artikel yang digunting daripada surat khabar dan dijadikan satu papan tanda.

‘‘Saya lebih gembira sekiranya berpeluang memiliki semua koleksi The Beatles menggunakan duit sendiri. Insya Allah, saya akan penuhi semua koleksi berkenaan selepas memperoleh sumber pendapatan sendiri,’’ ujar Nadia berterus-terang.

Ditanya koleksi yang paling disayangi, Nadia memberitahu permainan Monopoly edisi terhad yang dibeli semasa bercuti bersama ibu dan abangnya di Perth, Australia.

Ketika itu, ibunya, Khuzaiman Talib, 52, menegahnya untuk membeli permainan tersebut. Tetapi, disebabkan keinginan yang mendalam untuk memiliki barangan itu, Nadia menggunakan pengaruh bapanya.

Selain The Beatles, Nadia turut meminati muzik lama yang didendangkan oleh beberapa kumpulan termasuk Lynard Skynard, Eagles, Bryan Adams, Deep Purple dan Dire Straits.

‘‘Jangan ditanya mengapa jiwa saya begitu mudah untuk menerima lagu-lagu lama sedemikian. Mungkin saya tidak berjiwa moden tetapi saya benar-benar gemarkannya,’’ katanya sambil tersenyum riang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: