![]() Pengerusi Majlis Muzik Malaysia (MMM), Datuk A Rahman Hassan |
Arahan 'wajib siar' bantu kembalikan kegemilangan industri muzik tanah air
STESEN dan penyampai radio tempatan disaran agar tidak terus menilai dan mengukur sendiri mutu lagu tempatan tanpa memberi peluang ia diputarkan terlebih dulu.
Mereka sewajarnya mengambil saranan kerajaan itu sebagai tanggungjawab membantu industri muzik mengembalikan semula kegemilangan industri muzik tanah air terutama apabila nilai produk muzik menurun mendadak bermula RM200 juta pada 2001 sehingga RM70 juta tahun lalu.
“Tindakan yang diambil kerajaan di dalam mengumumkan arahan itu bukan saja dapat memberi ruang kepada artis untuk mengetengahkan lagu mereka, malah baik artis baru dan lama, mereka sebelum ini amat tertekan apabila ada sebahagian stesen radio dan penyampai radio yang berani membuat keputusan sendiri seolah-olah mereka yang layak untuk menilai dan mengukur sendiri sama ada lagu itu patut keluar atau tidak.
“Apabila wajib siar ini dikuatkuasakan, ia memberi ruang pendengar mendengar lagu artis baru dan artis lama yang menjadi mangsa permainan selama ini.
“Sebenarnya di dalam industri muzik ini ia berbeza sikit. Apabila kita selalu mendengar mudah untuk mempengaruhi orang untuk meminati lagu itu. Lagu yang tidak sedap didengar apabila sering dimainkan ia akan menjadi sedap.
“Saya harap stesen radio selepas ini janganlah sampai diancam dengan menarik atau tidak boleh memperbaharui lesen penyiaran radio baru nak akur. Mereka harus ambil langkah ini dengan menyokong cadangan ini sebagai juga satu tanggungjawab dalam membangunkan artis.
“Kehadiran radio ini juga sebenarnya kerana wujudnya penyanyi. Kita tidak menahan mereka untuk memainkan lagu luar tetapi bagi ruang yang sama kepada artis tempatan,” katanya yang ditemui Hip baru-baru ini.
Menurut Rahman, stesen radio harus mengambil keputusan kerajaan itu sebagai satu tanggungjawab sosial terhadap negara sendiri dan sentiasa mengingati tempat kita berpijak.
“Bagi saya ia satu permulaan yang baik dalam usaha mengembalikan dan mengukuhkan industri muzik tanah air. Tindakan ini jauh lebih wajar dan bijak daripada kita cuba menyekat kemasukan produk luar.
“Orang di dalam industri sebenarnya tidak menghalang stesen radio mencari keuntungan tetapi janganlah sampai mengenepikan orang sendiri. Kita bersaing dengan orang Indonesia sejak tahun 60-an lagi tetapi tidak mendatangkan masalah yang besar.
“Ekoran daripada pihak lain yang ingin memperjuangkan nisbah 90:10 dengan menyekat lagu Indonesia agar tidak kerap diputarkan menerusi stesen radio tempatan, ia memberi kesan yang besar terhadap artis kita.
“Apa yang berlaku sekarang lagu dan artis kita yang diterima di Indonesia dulu terus disekat. Berita pun sudah tiada di dalam surat akhbar mereka, inikan lagu kita hendak dimainkan. Kita baru saja mencadang belum lagi melaksanakan mereka sudah memberhentikan lagu kita.
“Selama ini pun kita sentiasa menerima produk luar baik lagu Inggeris, Hindi termasuk lagu Indonesia. Kita juga tidak pernah mengalah mahupun merayu menghapuskan produk luar. Dalam produk luar itu kita hanya tuju kepada negara yang satu rumpun yang sedikit sebanyak membantu kita,” katanya yang amat berterima kasih kepada Dr Rais mewakili orang di dalam industri.
Menyentuh mengenai mekanisme yang sewajarnya digunakan stesen radio dengan kekerapan memainkan lagu baru tempatan, Rahman menyerahkan budi bicara stesen radio dan kerajaan untuk menentukan.
“Bila ini berlaku, pada saya mekanisma pada nisbah berapa lagu harus mereka main dan kekerapan ia diputarkan ini boleh dirunding bersama stesen radio dengan budi bicara. Tetapi yang pentingnya semua lagu ini dapat disiarkan berulang kali. Saya tidak mahu mendahului kementerian dan berharap tindakan ini akan membantu ramai artis kita.
“Apabila lagu ini hidup dan banyak dijual, orang di dalam industri mendapat semula pekerjaan mereka. Penggubah boleh memikirkan lagu yang sesuai dan sebab itu juga kita pentingkan lagu luar supaya kita boleh tahu kehendak dunia.
“Kita banyak penggubah tempatan yang baik, namun buat apa kemahiran mereka diperlukan jika tidak ada radio yang ingin mainkan. Di sini juga menjadi cabaran kepada penggubah kita termasuklah syarikat rakaman untuk menyahut kembali cabaran selepas lama senyap tanpa produk baru.
“Kita mahu melihat pencalonan di dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) akan bertambah di tahun akan datang, bakat baru lebih ramai tampil bukan saja dari program realiti, kita juga mahu lihat penyanyi yang sudah kukuh menerbitkan album semula,” katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: