![]() ATILIA (tengah) ketika memperkenalkan Yuna dan Najwa sebelum memulakan persembahan Malam Nada Biru. |
Biarpun masih muda, persembahan Yuna dan Nawja mempersonakan penonton
SUASANA di The Actor Studio di Jalan Bukit Bintang pada malam minggu lalu sedikit berbeza daripada biasa. Kalau sebelum ini tempat itu sering dikunjungi mereka yang gemarkan teater, tapi kali ini mereka yang berada di situ mahu menyaksikan persembahan dua penyanyi yang bakat serta kebolehannya begitu diperkatakan ramai sebelum ini.
Sejak promosi mengenai persembahan mereka sempena Malam Nada Biru digembar-gemburkan, ramai yang seakan-akan tidak sabar untuk melihat sendiri dua gadis remaja yang dikenali sebagai Yuna dan Najwa ini. Yuna, gadis bertudung dan berimej ranggi ini perlu diperkenalkan lagi kerana persembahannya pernah mendapat pengiktirafan sewaktu Anugerah Juara Lagu, manakala Najwa pula, mula mencuri tumpuan menerusi lagu duetnya bersama Maliq, berjudul Kau Yang Punya.
Sebaik saja pengacara dan juga penerbit acara itu, Atilia Haron selesai memberikan ucapan penghargaan, tirai persembahan Nada Biru dibuka untuk segmen pertama. Sambil diiringi melodi rancak oleh pemuzik latar, Najwa tampil bergaya di pentas dengan baju rona hitam potongan klasik ditambah aksesori riben di kepala, kesan pengaruhnya ke atas muzik retro yang digemarinya itu.
Sebaik saja penyanyi ini membuka mulut dan memulakan nyanyiannya, penonton bagaikan terpegun dengan aksi dan vokalnya yang menggetarkan sukma.
![]() |
| KETIKA Yuna asyik dengan gitarnya, Najwa pula melontarkan vokal. |
Ternyata, pujian yang diberikan pengkritik muzik ke atas Najwa sebelum ini bukanlah cakap kosong semata-mata tetapi semuanya disokong dengan bukti kukuh. Benar, dalam arena muzik tanah air, Najwa mungkin orang baru tetapi gadis putih melepak dan bermata bundar ini sudah lama bergiat dalam bidang nyanyian iaitu sejak dia masih menuntut di Melbourne, tidak lama dulu.
Malah, sewaktu masih bergelar pelajar lagi dia sudah mula menulis lagu dan lirik sendiri kerana baginya, adalah satu kepuasan apabila menyanyikan lagunya sendiri.
Selama setengah jam melihat Najwa menyanyi, menari dan bermain piano, nyata muzik adalah nyawa buat gadis yang pemurah dengan senyuman ini. Ada ketika dia sendiri larut dengan nyanyiannya yang memang mengasyikkan itu. Sukar sebenarnya mahu melihat bakat muda seperti Najwa terutama anak muda generasi ini meminati lagu yang mempunyai nuansa jazz dan soul ini.
Namun dek kerana minat yang mendalam apatah lagi dibesarkan dengan genre muzik seperti itu membuatkan Najwa begitu mudah menguasai rentak dan menjadikan lagu genre itu seperti makanan hariannya.
![]() |
| YUNA dengan gaya tersendiri. |
“Saya memang sudah didedahkan dengan penyanyi seperti Frank Sinatra, Ella Frtizgerald, Jill Scotch kerana bapa saya mempunyai koleksi lagu mereka. Jadi minat untuk menyanyikan lagu seperti ini datang dengan sendiri dan saya memang selesa dengannya,” kata siswazah jurusan Kejuruteraan Elektronik ini.
Antara lagu nyanyiannya adalah Your Love, Sweet October, Kau Yang Punya, single pertamanya Got To Go serta lagu yang mengisahkan mengenai percintaan jarak jauh iaitu, How Long Must I Wait.
Aksi yang tidak menghampakan
Sebaik saja Najwa meninggalkan pentas dan persembahan berhenti rehat selama 15 minit, suasana kembali hangat dengan kemunculan Yuna. Seperti biasa, gadis tinggi lampai ini lebih selesa menyanyi sambil duduk dan memetik gitar ajaibnya. Kekuatan Yuna terletak pada vokal serta komposisi lagunya yang sedap didengar, segar serta liriknya yang ringkas dan bersahaja.
Penat menyanyi, dia bercerita sebelum kembali menyambung nyanyiannya. Tempoh setengah jam yang diberikan digunakan sepenuhnya penyanyi muda ini.
Seperti juga Najwa, Yuna menyanyikan lagu ciptaannya sendiri dan antara lagu yang dipersembahkannya malam itu adalah Sparkle, Rocket, Deeper Conversation, Dan Sebenarnya serta sebuah lagu yang dipetik dari filem pendek The Value Of My Insanity berjudul Peer Pressure.
Tatkala menyaksikan persembahan mereka, hati diulit rasa bangga kerana industri hiburan tanah air sebenarnya tidak pernah ketandusan bakat baru yang mempunyai potensi cerah untuk diketengahkan sebagai pelapis yang sedia ada.
Jika SNP Productions boleh berbangga dengan produk mereka iaitu Konsert Satu Suara yang juga objektifnya mengetengahkan artis tempatan berbakat besar, Atilia juga boleh merasa perkara yang sama kerana objektifnya untuk menghargai karya artis muda menjadi kenyataan dengan penganjuran Malam Nada Biru.
Antara rakan artis yang hadir menyaksikan persembahan mereka adalah Ning Baizura dan suami, Sazzy Falak dan suaminya Naz serta Imran Ajmain.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: