Tuesday, March 2, 2010

Tiada hasrat ejek sesiapa



JOHAN dan Sheera pelakon utama drama Halimah Jongang.

LAGU Halimah Jongang yang menjadi sountrack drama bersiri di Astro Prima bukan saja menjadi bahan siulan tetapi tidak kurang yang menjadikan lagu dendangan Eddie Hamid itu sebagai bahan mengejek insan yang lahir dengan fizikal sedemikian.

Maklum balas kurang senang diluahkan pembaca Hip. Gara-gara lagu itu, anaknya menjadi bahan ejekan rakan sekolah. Justeru, pembaca berkenaan meminta agar drama terbitan A Aida Production itu dihentikan.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani ketika diminta mengulas isu berkenaan berkata, drama itu tidak bertujuan mengejek sesiapa. Mereka yang mengikuti drama berkenaan pasti tahu bahawa ia langsung tidak bertujuan merendahkan golongan berkenaan.


Nizam juga berkata, lirik lagu itu juga tidak mempersendakan golongan itu kerana jika diamati, mesejnya positif. Bagaimanapun tidak dinafikan bahagian korus pada lagu itu boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada sesetengah pendengar.


Walaupun drama itu dikritik, Nizam berkata jumlah penonton yang menyaksikan drama berkenaan sangat memberangsangkan. Katanya setiap minggu jumlah penonton bertambah sebanyak 10 peratus, malah Halimah Jongang adalah salah sebuah drama di Astro Prima yang mencatatkan jumlah penonton tertinggi.

“Kami memohon maaf seandainya ada penonton yang berkecil hati. Setakat ini kita tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menghentikan drama ini. Jika penonton tidak suka drama itu, tentu penontonnya tidak akan meningkat setiap minggu.

A Aida (kiri) dan Nizam Sani.

“Kami tidak mampu untuk menghentikan drama ini serta merta tetapi apa yang saya boleh janjikan, kami tidak akan mengulang apa yang penonton tidak suka kerana apa yang kami mahukan adalah kepuasan penonton.

“Bagaimanapun ingin saya jelaskan, sewaktu saya menilai kertas cadangan drama ini, saya langsung tidak merasakan drama ini mempersendakan golongan itu. Drama ini sebenarnya sesuai untuk hiburan ringan, jalan cerita drama ini juga langsung tidak merendahkan martabat golongan itu sebaliknya mengangkat golongan berkenaan,” kata Nizam.

Katanya lagi, sekiranya tajuk serta lagu itu dimansuhkan sudah tentu drama itu menjadi tidak menarik. Malah kata Nizam, lagu Halimah Jongang yang ‘catchy’ mempengaruhi penonton untuk menyaksikan drama yang dibintangi oleh Sheera Iskandar, Johan Raja Lawak, Pierre Andre dan ramai lagi.

Sementara itu, A Aida yang juga penerbit drama ini juga berkata, dia tidak berhasrat untuk merendahkan golongan jongang tetapi niatnya untuk membuatkan golongan itu gembira kerana kisah mereka dijadikan sebuah cerita.

Katanya, setakat ini dia mendapat maklum balas yang baik daripada penonton serta rakan-rakan mengenai drama itu. Malah dia juga menerima panggilan daripada penonton golongan itu yang gembira dan bangga apabila drama itu diperkenalkan.

“Saya langsung tidak mempunyai niat untuk mengejek golongan itu. Niat utama saya mahu menyampaikan mesej yang baik kepada penonton. Selama 10 tahun bergelar produser, saya tahu garis panduan nak menghasilkan drama. Tujuan saya hasilkan drama ini sebenarnya untuk menaikkan nama mereka.

“Saya hasilkan drama ini kerana seorang kawan yang juga daripada golongan itu, dia sering berasa rendah diri. Bagaimanapun sejak drama itu disiarkan, dia menjadi lebih berani. Dia juga kata, sejak drama itu, ke mana saja dia pergi orang akan menyanyikan lagu itu kepadanya.

“Sebelum mengkritik, tonton drama itu terlebih dulu kerana mesej yang ingin saya sampaikan positif. Orang kita apabila produser tempatan menerbitkan drama sebegini mereka kritik, tetapi jika drama Barat menerbitkan drama sebegini kenapa pula masyarakat kita boleh menerima?” katanya lagi.

Bagaimanapun kata A Aida, ini adalah kejayaan manis buatnya kerana drama itu pernah diusung tiga tahun lalu ke beberapa stesen televisyen tetapi tidak diterima. Namun apa yang menggembirakannya apabila drama itu disiarkan di Astro Prima, ia mencatat jumlah penonton yang tinggi malah lagu Halimah Jongang turut diminati dan dimuat turun dengan banyak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: