Monday, March 8, 2010

Jangan harap tuah

ADAKAH tuah undian diperlukan skuad Piala Thomas negara pada majlis undian yang akan berlangsung di ibu negara, hari ini, atau semangat sepasukan menjadi taruhan sebagaimana dipamer ketika muncul juara pada 1992.

pix_middle
Andai tuah yang diharapkan, kedudukan pasukan negara tetap genting kerana kemampuan yang dimiliki pemain negara dianggap setaraf dengan tiga pasukan lain seperti Indonesia, Denmark dan Korea Selatan manakala China mempunyai skuad paling sempurna.


Bekas jaguh beregu, Jalani Sidek (gambar) yang menganggotai pasukan negara terakhir menjulang Piala Thomas, menganggap Malaysia tidak perlu menanti tuah undian kerana faktor itu bukan penentu untuk keluar juara.


Katanya pada masa ini semua pihak, baik jurulatih, pemain mahupun pengurusan persatuan, perlu memainkan peranan.


“Kita tak perlu berharap undian memihak kepada kita. Piala Thomas ini amat mudah percaturannya. Kini kita sudah tahu negara mana akan beraksi, jadi kita perlu mula membuat percaturan dan memperbaiki kelemahan pemain,” katanya.


“Paling penting kita perlu buru tempat ke separuh akhir sebelum berkira-kira untuk bergelar juara kerana peluang untuk muncul juara sebenarnya tetap tipis.

“Bagaimanapun, saya rasa pasukan kuasa tradisi seperti China, Indonesia, Malaysia dan Denmark tetap akan ke separuh akhir,” katanya yang menganggap cabaran negara kali ini lebih kepada misi hidup atau mati.


Katanya, China pasukan paling kuat, Indonesia mempunyai kekuatan menerusi perseorangan sebagaimana dibukti ketika menjuarai pusingan kelayakan bulan lalu. Denmark pula dianggap lebih kuat berbanding Malaysia kerana mempunyai tiga perseorangan baik selain pasangan beregu konsisten.


Ketika ini hanya Datuk Lee Chong Wei dan Koo Kien Keat/Tan Boon Heong boleh diharap memungut mata dan mereka tidak boleh tewas.


Namun beliau menganggap situasi yang dihadapi Malaysia kini mirip episod gemilang 1992 ketika pasukan negara tidak disandarkan harapan menggunung tetapi mampu melakar kejutan.


“Kami dulu juga tidak mempunyai pemain terbaik tapi berbekalkan semangat juang tinggi, berjaya merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia.


“Namun apa yang saya lihat, pemain kali ini seperti tidak mempamerkan aksi meyakinkan,” katanya.


Pada separuh akhir Terbuka Jerman, kelmarin, dua pemain yang dijangka menggalas cabaran negara ke Piala Thomas iaitu Wong Choon Hann dan Muhd Hafiz Hashim tewas kepada lawan masing-masing dari China.


Choong Hann yang dijangka menjadi pemain perseorangan kedua manakala Hafiz, ketiga, masing-masing tewas kepada Bao Chunlai dan Chen Long yang dijangka menjadi pemain kedua dan ketiga China selepas Lin Dan di Piala Thomas nanti.


Justeru, Jalani berharap jurulatih segera mencari idea untuk mendapatkan satu lagi mata sebelum saingan sebenar bermula.


Pada edisi 1992, Malaysia membenam China 3-2 di separuh akhir sebelum mengejutkan Indonesia di final. Mata kemenangan negara ketika itu diraih Rashid Sidek, Foo Kok Keong dan pasangan Cheah Soon Kit/ Soo Beng Kiang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: