HEIDI Klum gemar mengadakan pertunjukan fesyen khusus untuk suaminya, Seal.
Supermodel berusia 36 tahun itu berkata, ia antara caranya untuk menyemarakkan lagi hubungan mereka.
HEIDI membawa dua anaknya ke kelas karate minggu lalu.
HEIDI kembali memperagakan fesyen pakaian lima minggu selepas melahirkan anak bongsunya Oktober lalu.
Heidi dan Seal, 47, berkahwin sejak 2004 dan membesarkan empat anak bersama - Leni, lima, Henry, empat, Johan, tiga dan yang bongsu, Lou, empat bulan.
Kerana bilangan keluarga yang agak besar dan sentiasa sibuk, pasangan itu mendapati diri mereka sentiasa bergelut untuk mencari peluang menghabiskan masa bersama, termasuk bergantung kepada anggota keluarga membantu menjaga anak.
Heidi memberitahu majalah National Enquirer baru-baru ini: "Kami terpaksa menyenaraikan yang mana perlu diutamakan. Tetapi, itu pun kadang kala tidak menjadi, menyebabkan kami jarang dapat bersama. Mujur ada ibu saya. Dia memahami keperluan kami. Dia akan datang menjaga anak dan kami akan bercuti, seperti ke Paris, pada hujung minggu. Berdua saja, saya dan Seal."
Dan meskipun begitu sibuk, supermodel itu masih bersedia menyediakan ruang untuk membolehkannya berlakon.
Heidi akan muncul dalam episod akan datang siri popular televisyen, Desperate Housewife, di samping bekas gadis muka depan majalah, Paulina Porizkoba.
Mereka akan berkongsi babak dengan watak utama siri berkenaan, Gaby Solis, yang dimainkan oleh Eva Longoria yang juga model dan Abgie Bolen, watak yang dipegang oleh Drea de Matteo.
Ini bukan kali pertama hos siri realiti Project Runway itu muncul dalam drama televisyen.
Dia pernah memegang watak kecil dalam rancangan seperti Sex and The City bersama Sarah Jessica Parker, Spin City dan How I Met Your Mother.
Kemunculannya dalam Desperate Housewives akan ke udara pertengahan bulan ini di Amerika Syarikat.
Selain itu, Klum juga melancarkan dua fesyen pakaian mengandung bulan lalu. Dengan pengalaman empat kali mengandung, idea Heidi untuk menghasilkan koleksi itu muncul ketika dia berhadapan dengan kerumitan untuk mencari pakaian sesuai ketika mengendalikan Project Runway.
Dia memberitahu majalah Us Weekly: "Saya sering merasakan tidak ada orang yang membuat pakaian terbaik untuk wanita hamil. Ramai wanita yang mengandung di luar sana. Saya terfikir, mengapa tidak memberikan mereka peluang untuk berseronok sepanjang tempoh itu?"
Dan pada masa sama, supermodel itu juga mengulangi keputusannya untuk tidak mempunyai anak lagi selepas melahirkan Lou Oktober lalu.
Dia berkata demikian ketika ditanya sama ada akan memperagakan sendiri fesyen pakaian ibu mengandung rekaannya.
"Saya cukup gembira dengan saiz keluarga saya sekarang. Mungkin saya akan memperagakan rekaan saya itu tanpa perut yang besar."
Bagaimanapun, menurutnya, fesyen yang direkanya itu juga sesuai dipakai oleh wanita yang tidak mengandung, lebih-lebih lagi selepas bersalin.
Supermodel kelahiran Jerman itu juga berkata, bukan susah untuk mengurangkan berat badan selepas melahirkan anak.
"Dengan menjaga anak boleh membantu wanita melangsingkan badan mereka dengan cepat. Saya juga makan makanan berzat dan bersenam. Saya mempunyai empat anak dan sentiasa berlari mengejar mereka. Ia membuatkan saya aktif, " katanya.
Mengenai menyusukan anak, Heidi berkata, ia juga membantu.
"Bagaimanapun, saya tidak melihat langkah itu dari sudut 'Ini boleh membantu saya.' Saya melihatnya dari sudut 'Ia akan membantu pembesaran anak saya.'
Memang benar menyusukan bayi boleh mengurangkan berat badan, tetapi dakwaan itu sengaja dibesar-besarkan.
"Bagi saya, apa saja yang anda lakukan akan mempengaruhi berat berat anda selepas bersalin. Jika anda cergas, tidak hanya baring di atas katil atau terperesuk di kerusi, anda pasti tidak akan dapat tubuh yang langsing seperti sebelum bersalin."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: