Monday, March 8, 2010

Pengalaman terbaik dalam kerjaya seni

SESUDAH lebih setahun bercerai, Sarimah Ibrahim bagaikan gerhana seketika daripada cahaya publisiti. Bukan menghindar diri daripada media, tetapi dia enggan memperbesarkan perkara itu selain mahu menumpukan kepada kerja.

pix_middle

SOLO...Sarimah belum temui cinta baru. GANDINGAN MANTAP...Sarimah bersama Jimmy mengacara AF8. SARIMAH...sibuk mengacara program TV dan terbaru tentunya, AF8.


SOLO...Sarimah belum temui cinta baru.
Sarimah, 32, kembali ke persada hiburan apabila menjayakan program The Biggest Loser Asia yang kini meniti episod kemuncaknya. Terbaru, dia mencipta sejarah sebagai hos wanita pertama bagi program realiti TV terkenal, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), bersama Jimmy Shanley.


Ditanya apakah kekosongan hatinya kini mula terisi dengan tugas berat, Sarimah tanpa berselindung berkata, dia belum temui calon pengganti. Menurutnya, setakat berkawan itu ada, tetapi untuk bercinta lagi, ia masih jauh. Buat masa ini, dia lebih selesa menjalani kehidupan solo.


"Lagipun, sekarang fokus saya lebih tertumpu pada karier dan keluarga. Jadual yang padat dan sibuk menyebabkan saya tiada masa memikirkan soal cinta. Biarlah ia ditentukan Tuhan kerana apa yang pasti kehidupan saya kini lebih gembira dan bahagia.


"Kalau tidak bekerja, saya banyak habiskan masa duduk di rumah bersama ibu dan adik-beradik. Saya juga suka bersenam dan makan apa saja diinginkan. Saya pun jarang menghadiri majlis kerana lebih selesa duduk di rumah.


"Sekarang saya selesa menjaga imej diri. Disebabkan itu, saya bersyukur hingga kini diri tidak terpalit dengan sebarang kontroversi hangat. Alhamdulillah, tiada gosip liar dan saya pun boleh bekerja dengan baik. Sehingga Mei ini, jadual saya penuh dengan tawaran mengacara dan itulah yang utama," katanya kepada Rap.

Berbicara mengenai jejaka pilihannya selepas ini - adakah orang kita atau masih bangsa asing, Sarimah berkata apa yang penting dalam hidup berpasangan adalah keserasian. Jadi, semuanya bergantung pada jodoh dan itu adalah ketentuan daripada Tuhan.


Mengenai pembabitannya dalam The Biggest Loser Asia, Sarimah berkata, ia langkah dan pengalaman terbaik dalam kariernya. Menurutnya, jika sebelum ini bakatnya hanya dikenali di negara ini tetapi menerusi program realiti itu ia menyeluruh di rantau Asia.


"Banyak maklum balas yang diterima daripada penonton program itu. Malah, ada yang baik dan sebaliknya termasuk kritikan mengenai pakaian saya yang dikatakan tak cukup seksi. Apapun, pakaian digayakan itu kemas dan sesuai dengan budaya Timur.

"Bagaimanapun, tidak lama lagi tumpuan saya tentunya terhadap AF8. Kali ini, tentunya bukan lagi melaporkan paparan diari harian pelajar, tetapi pengacara konsert bersama Jimmy. Terus terang, saya sudah sedia untuk menggalas tugas ini.


"Tidak dinafikan, pengalaman ketika mengendalikan Diara AF dulu banyak membantu saya dalam menjayakan AF8 nanti. Ditambah lagi, dengan adanya Jimmy, saya yakin gandingan kami serasi untuk memastikan perjalanan AF8 lancar," katanya.


Ditanya apakah dia akan bermulut 'laser' dengan mengeluarkan perkataan seperti menanah telinga dan apa saja ikut sedap mulut, Sarimah berkata setiap perkataan keluar daripada mulutnya sebelum ini tidak bermaksud apa-apa.

Sebagai Wajah Eksklusif Astro, Sarimah bukan saja aktif mengacara program televisyen terbitan stesen TV satelit berbayar itu tetapi, anak sulung daripada empat beradik ibi pernah bergiat di belakang tabir untuk program Tangkap Muat di Astro Ria (saluran 104).

Pemenang Pengacara Televisyen Terbaik Anugerah Skrin pada 2005 ini dipilih menjadi pembantu penerbit program itu selain mengacara.

Ternyata pengalaman selama 13 tahun bergelar anak seni membuka ruang kepada menimba pelbagai pengalaman Selain itu, Sarimah juga pernah bergelar penyanyi dan menghasilkan album. Sekalipun, percubaan pertama, dia pernah menang Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 2001. Tidak ketinggalan, Sarimah turut menyumbang idea dalam penghasilan skrip.

Turut aktif sebagai anak wayang, Sarimah pernah berlakon beberapa filem seperti Seiras Hati, Maka Diciptanya Perempuan, Puteri Impian 2, Janji Diana, MX3 dan Gerak Khas 3. Malah, dia juga terbabit menjayakan filem Robotik arahan Aziz M Osman.

Mengenai AF8, program realiti TV popular ini akan membuka tirai pertamanya pada 13 Mac ini, jam 9 malam melalui konsert memperkenalkan pelajarnya. Sehubungan itu, pada 15 Mac pula disiarkan paparan Diari AF, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.30 malam.

Manakala, seperti tahun terdahulu, konsert mingguan AF8 akan berlangsung setiap Sabtu, jam 9 malam. Bagaimanapun, tercetus kelainan pada musim ini apabila keputusan pelajar tersingkir hanya diumumkan secara langsung pada Ahad, jam 9 malam.


>Profil
NAMA PENUH: Sarimah Ibrahim
TEMPAT LAHIR: Dublin, Ireland
TARIKH LAHIR: 19 Februari 1978
USIA: 32 tahun
KETURUNAN: Melayu-Ireland
STATUS: Solo
KELUARGA: Anak sulung daripada empat beradik
PENDIDIKAN: The Cambridge High School, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Diploma Psikologi Kolej Inti, Subang Jaya, Selangor dan Celta Certificate (Cambridge Certificate of English Language Teaching to Adults dari The British Council Kuala Lumpur)
KARIER: Pengacara, pelakon dan penyanyi
FILEM: Antaranya Seiras Hati, Maka Diciptanya Perempuan, Puteri Impian 2, Janji Diana, MX3 dan Gerak Khas 3
RANCANGAN TV: Antaranya The Attic Show TV2, The Disney Channel, The RIM Chart Show NTV7, ntv7 Kids@7, The Oreo Zone, Malaysia 2020 RTM, Anugerah Juara, Lagu 18, Anugerah Juara Lagu 19, Galaksi TV9, Fail Sulit AF, Ikon Malaysia, Ikon Asean, Diari AF6, Diari AF7, Tirai AF dan Diari INT AF7, Tangkap Muat, The Biggest Loser Asia, pengacara konsert AF8.
PENCAPAIAN: Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (2001), Artis Baru Terbaik Anugerah Media Hiburan (1998), Pengacara Televisyen Terbaik Anugerah Skrin (2005) dan Artis Baru Pilihan Anugerah Era (2001).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: