Monday, March 8, 2010

Elak daripada terus murung

SIAPA sangka di sebalik raut wajah yang ceria dan bertenaga ketika menjalankan aktiviti tarian itu, mereka pernah menyimpan seribu keresahan dan kepahitan.

BERLATIH...tetap melakukan latihan untuk memberikan persembahan terbaik.
BERLATIH...tetap melakukan latihan untuk memberikan persembahan terbaik.
BERSUNGGUH-SUNGGUH...kerjasama antara ahli pasukan penting.
BERSUNGGUH-SUNGGUH...kerjasama antara ahli pasukan penting.
Masing-masing tidak menunjukkan kesakitan mereka kepada masyarakat umum, tetapi dalam diam menjalani rawatan bagi melawan penularan sel barah dalam diri.

Bagi kebanyakan bekas pesakit barah payudara, aktiviti tarian yang dijalankan antara terapi berguna untuk memberikan kekuatan kepada diri dalam menangani penyakit dihidapi.

Bagi bekas pesakit barah, Zaleha Ismail, 45, pengalaman tiga tahun lalu menghidap barah payudara sememangnya menguji keimanan.


Barah yang dihadapinya pada waktu itu masih berada di peringkat pertama manakala ketulan di dadanya hanya berukuran 0.1 sentimeter.

Menurutnya, pada ketika itu dia merasakan kehidupan menjadi amat tidak bermakna lagi hinggakan sanggup meminta suaminya berkahwin lagi kerana beranggapan diri akan meninggalkannya tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana suami tidak pernah sesekali berpaling dan menjaga saya seadanya hingga kini.

"Tanpa sokongan diberikannya, saya pasti tidak akan datang menghadapi dan melawan kesakitan dialami ketika itu," katanya.

Di samping itu melalui aktiviti tarian sebegini katanya, bekas pesakit akan sentiasa rasa sihat dan cergas kerana dapat mengeluarkan peluh di samping memberi peluang kepada diri untuk lebih tenang.


Walaupun bergelar bekas pesakit, menurutnya, mereka masih menjalani rawatan susulan bagi mengelakkan sel barah yang ada daripada merebak kembali.

"Kepenatan yang dilalui dua kali ganda berbanding orang biasa, tetapi kami masih tetap melalui latihan dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan persembahan dilakukan tidak mengalami sebarang kerencatan.

"Jika penat kami akan berhenti seketika, tetapi latihan itu tetap diteruskan untuk menunjukkan komitmen," katanya.

Biah Awang, 47, pula berkata, walaupun baru membabitkan diri dengan aktiviti tarian sebegini, ia sedikit sebanyak dapat memberikan kekuatan untuk melupakan pengalaman pahit menghidap barah.

Katanya, bekas pesakit tidak boleh terlalu memikirkan penyakit dihidapi sebaliknya mengamalkan cara kehidupan lebih sihat yang memberikan lebih ketenangan di samping memudahkan proses pemulihan.

"Sekurang-kurangnya saya dapat menumpukan perhatian mengingati langkah tarian daripada terus murung memikirkan kehidupan pada masa akan datang.

"Sungguhpun sedikit memenatkan, nyata ia dapat memberikan galakan kepada semua bekas pesakit barah untuk terus menikmati hidup walaupun sebelum ini berhadapan masalah kesihatan," katanya.

Berlainan pula dengan Maimunah Abdul Halim, 40, yang banyak mengikuti aktiviti luar seperti ini untuk memberi peluang kepada dirinya menyelami penderitaan pesakit kanser lain.

Dia tidak pernah sesekali mengalah dengan penyakit yang dihidapinya sebaliknya tabah melalui dugaan yang diberikan.

"Saya rasa kehidupan menjadi lebih bermakna selepas disahkan menghidap barah payudara.

"Jika sebelum ini saya memandang remeh mengenai gaya hidup sihat, tetapi kini ia banyak diamalkan dalam kehidupan keluarga saya," katanya ketika ditemui di latihan konsert amal barah payudara di Pusat Sumber Kanser Payudara, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, baru-baru ini.

Tidak dapat dinafikan perasaan bekas pesakit barah akan terusik apabila ditanya mengenai pengalaman mereka ketika menghidap barah.

Tetapi baginya, pengalaman itu perlu dikongsi bersama masyarakat kerana mereka perlu memahami kepayahan yang dilalui bekas pesakit barah bagi mengelak perkara yang sama berlaku kepada mereka.

Menurutnya, pengesanan awal barah perlu dilakukan sekiranya merasai kelainan pada diri dan perlu merujuk kepada pakar bertauliah.

"Jangan sesekali berjumpa dengan mereka yang tidak memiliki sebarang kepakaran kerana ia boleh membahayakan nyawa diri sendiri.

"Dapatkan nasihat pakar dan rawatan sewajarnya terlebih dulu sebelum mencuba cara perubatan tradisional kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri," katanya.

Sementara itu menurut penyelaras program amal terbabit, Prof Madya Dr Mohd Nasir Hashim, kegiatan berkenaan diadakan bagi memberi peluang kepada bekas pesakit barah menunjukkan daya kecekalan diri mereka dalam melawan penyakit dihidapi.

Biarpun sebelum ini mereka pernah menghidap barah, harapan untuk sembuh adalah tinggi menerusi rawatan.

"Kami cuba untuk menyedarkan masyarakat bahawa jika mendapatkan rawatan pada peringkat awal, penyakit berkenaan boleh dikawal dan disembuhkan.

"Keazaman yang tinggi, kesungguhan dan sokongan daripada keluarga perlu bagi memastikan bekas pesakit barah ini dapat menerima diri mereka seadanya tanpa perlu rasa sedikit pun kekurangan diri berbanding orang lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: