Saturday, March 20, 2010

Gamat masih berbisa




CUKUP impresif! Walaupun pementasan teater muzikal Gamat 2 hanya diadakan di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, bukannya di Istana Budaya (IB) seperti pada tahun lepas, Gamat masih menyerlah sehingga mampu memberi kesan positif kepada penonton yang menyaksikannya.

Malah ketiadaan sistem teknikal yang canggih seperti di IB tidak memberi kecacatan buat Gamat dipentaskan dengan baik. Sebaliknya, buah tangan Siti Rohayah Attan ini masih bernyawa dengan rekaan set serta kostum yang menghidupkan suasana dasar laut itu sendiri.

Mesej yang cuba disampaikan juga mudah difahami. Pemilihan Amy Mastura sebagai ibu gamat, Misha Omar (ikan buntal), Ziana Zain (obor-obor) yang menjadi teraju utama telah menjentik hati penonton yang terhibur sepanjang dua setengah jam teater tersebut dipentaskan.

Nyata gabungan Amy, Misha dan Ziana tidak silap. Biar tidak lahir daripada pentas teater, ketiga-tiga anak seni ini memberi komitmen dan persembahan yang tidak mengecewakan. Mereka tahu bagaimana memikat hati audiens dengan keletah bersahaja.

Selain itu, musim kedua Gamat yang dipentaskan sehingga 22 Mac ini yang lebih memberikan fokus kepada kisah gamat turut menampilkan cucu Allahyarham P. Ramlee iaitu Najwa Nasir P. Ramlee, Aidil Solehin Marhalim, Zuhairi Ibrahim, Shahida Marzuki serta Nazri Ahmad telah menguatkan teater ini.

Penceritaan yang bersahaja dengan penampilan pelakon kanak-kanak yang 'dihias' cantik dalam kostum masing-masing turut menjadi tarikan utama teater.

Gamat, yang diarahkan oleh Zaifri Husin, mengisahkan kehidupan alam laut yang penuh dengan cabaran apabila mereka 'dianiaya' oleh sifat manusia yang tidak bertanggungjawab. Ia juga menceritakan mengenai kehebatan gamat yang boleh dijadikan sebagai ubat untuk pelbagai penyakit.

Menariknya, pada segmen akhir Gamat, para pelakonnya berinteraksi dengan penonton. Malah para penonton juga akan pulang dengan produk Healwell jika berjaya menjawab kuiz dengan betul.

Walaupun mengalami sedikit masalah kekurangan bajet pada mulanya, Gamat telah ditawarkan oleh syarikat Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd. sebagai penaja utama dengan menaja hampir 70 peratus daripada bajet yang diperlukan bagi menjayakan teater muzikal tersebut.

Dalam pada itu, memandangkan pihak Healwell sanggup berbelanja besar untuk membantu teater muzikal tersebut, pementasan Gamat turut mempromosikan produk Healwell mengikut kesesuaian jalan cerita.

Bagi yang ingin menyaksikan Muzikal Gamat boleh datang ke Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Dapatkan tiket-tiket berharga RM50 dan RM22 dengan melayari www.muzikalgamat.blogspot.com atau hubungi 03-6186 6592 atau 012-297 7220 untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: