DIA mungkin tidak bersetuju tetapi dunia mengakui kejelitaan pelakon berusia 27 tahun itu. Wajahnya itu juga menjadi penyebab utama Anne Hathaway dipilih untuk menerajui filem komedi keluarga yang membantu melonjakkan namanya, The Princess Diaries (2001).
Ada yang berpendapat penampilan semanis itu tidak sesuai untuk filem genre serius. Namun, Anne melakukan transisi dalam kariernya bermula tahun 2005 dengan projek Havoc dan Brokeback Mountain. Gandingannya dengan Meryl Streep dalam The Devil Wears Prada (2006) dan pembabitan dalam filem Becoming Jane (2007) mengukuhkan lagi kredibilitinya.
Tidak berhenti di situ, Anne mencabar dirinya dengan watak Kym menerusi filem Rachel Getting Married. Selain memenangi pelbagai anugerah, dia turut tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik untuk anugerah Academy 2009.
Turut aktif dalam menjalankan kerja amal, kontroversi perpisahan Anne dengan bekas teman lelakinya, Raffaello Follieri sekitar Jun 2008 juga menarik perhatian ramai. Malah, kesedihan itu telah membuatkan Anne kembali merokok.
Dia yang pernah mengalami masalah kemurungan semasa zaman remaja bagaimanapun berhenti daripada tabiat buruk itu kerana mahu mengurangkan tahap tekanannya.
Tidak pernah mengecewakan peminatnya, Anne terbaru mengisi ruang filem arahan Tim Burton, Alice in Wonderland yang turut dijayakan oleh Mia Wasikowska, Johnny Depp dan Helena Bonham Carter. Ikuti petikan temu bual Anne untuk mengetahui lebih lanjut mengenai filem yang dibikin berdasarkan buku tulisan Lewis Carroll (1865).
Mengapa rasanya watak-watak tulisan Lewis itu menarik untuk dipaparkan dalam filem?
Anne: Salah satu sebab adalah kerana watak-watak itu dicipta berdasarkan imaginasi liar yang sukar untuk ditafsir. Lewis bijak bermain dengan kata-kata dan konsep. Rasanya penonton juga mempunyai tafsiran tersendiri mengenai wataknya. Itu yang menarik mengenai watak-wataknya.
Kelainan apabila watak itu dibikin dalam filem Tim Burton?
Alice in Wonderland dan Tim merupakan pasangan yang padan. Wonderland merupakan dunia seimbang tanpa kebaikan atau keburukan. Ia menggabungkan antara kehidupan, tekstur serta perancangan yang mencapai tahap keselesaan Tim. Jika anda pernah menonton senarai filemnya, anda pasti sedar apa yang dipaparkan tidak pernah terlintas dalam minda anda. Ketidaksamaan yang ditonjolkan membuatkan Tim berjaya sebagai pembikin filem. Saya percaya pembikin filem dan subjeknya saling memainkan peranan penting dalam menghasilkan sebuah filem seindah ini.
Rasanya mengapa buku itu masih relevan sehingga kini?
Pada pendapat saya, apa yang menjadi sesebuah buku itu hebat adalah ia dibaca secara universal.
|
|
Saya tidak membaca buku Alice semasa kecil tetapi semasa belajar di kolej. Ketika itu, saya meminati buku tulisan Vladimir Vladimirovich Nabokov dan dia pula menyukai tulisan Lewis Corroll. Itu yang menyebabkan saya membaca cerita Alice. Namun, saya membacanya dari sudut perspektif seorang remaja yang sedang melalui peralihan menjadi wanita. Idea itu mempunyai kaitan rapat dengan diri saya kerana anda tidak pernah berpuas hati dengan saiz badan anda dan berharap untuk mengambil minuman atau makanan untuk menukarnya mengikut kehendak hati. Mungkin pada permukaannya, ia sebuah cerita ringan berfantasi.
Tapi ia sebenarnya memaparkan kedalaman, ketakutan fizikal dan perasaan tidak selamat yang berkaitan dengan semua orang. Di dunia Wonderland, ia satu tempat sangat beremosi. Penghuninya tidak bersifat logik dan hidup cara berlainan daripada masyarakat duniawi. Ia sebuah cerita menghiburkan yang boleh dikaitkan pada pelbagai peringkat kehidupan - itu yang menjelaskan mengapa orang ramai masih membacanya sehingga kini.
Ceritakan sedikit mengenai watak yang anda jayakan, White Queen.
Apabila saya cuba untuk memainkan watak itu, saya memberitahu diri saya bahawa: Dia seorang punk-rock dan pemakan sayur-sayuran yang menyukai keamanan. Jadi saya menonton banyak filem Greta Garbo serta melihat banyak hasil seni Dan Flavin. Watak itu kemudian muncul sendiri tanpa disedari. Pertama kali ketika mengetahui mengenai projek ini, Tim banyak berbicara mengenai hubungan antara kakaknya, Red Queen. Perbualan itu membantu saya berimaginasi. Walaupun Red Queen dan saya datang daripada golongan genetik sama, dia sukakan sisi gelap. Ruangan untuk melontarkan kreativiti membuatkan saya seronok sepanjang penggambaran.
Mengapa bersetuju untuk menerima watak itu?
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa saya merupakan peminat setia filem-filem Tim. Selain menonton di pawagam, saya akan menyaksikan semula filemnya untuk berkali-kali di rumah. Saya sukakan nilai estetik, kebolehannya membikin filem dan keselesaannya terhadap benda-benda pelik.
Rasanya ia adalah sukar untuk mencari seorang pembikin filem yang tidak cuba untuk menjadi lain daripada yang lain tetapi memberikan sesuatu yang melampaui batasan imaginasi penonton. Ini membuatkan semuanya filemnya memiliki jiwa. Lagipun, Alice sendiri merupakan sebuah cerita klasik.
|
|
Adakah posisi tangan dan cara berjalan itu sebahagian daripada kehendak pengarah?
Pergerakan itu wujud kerana kostumnya yang direka oleh Colleen Atwood. Gaun itu amat kompleks tetapi tidak kelihatan berat sama sekali. Ia membuatkan saya kelihatan seperti sedang terapung. Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk mencipta pergerakan itu. Saya cuma mahu tiba dengan elegan dan pergerakan tersebut dilahirkan.
Saya bergerak dengan pantas tetapi memperlahankan pergerakan tangan. Itu yang membuatkan saya kelihatan seperti meluncur. Saya amat cemas pada percubaan pertama tetapi Tim menyukainya. Menariknya, kami semua diberi kepercayaan untuk berimaginasi secara pelik.
Bagaimana hubungan antara White Queen dan Red Queen?
Hubungan mereka keruh. White Queen bagaimanapun tidak pernah mengaku bahawa dia tidak menyukai kakaknya. Dia cuba untuk mencari benda yang boleh membuatkan dirinya menyukai Red Queen. Rasanya jika Red Queen bersikap lebih mesra terhadapnya, mereka berdua mungkin akan menjadi kawan. Tetapi Red Queen melayannya dengan teruk.
Pengalaman bekerjasama dengan Helena Bonham Carter (Red Queen)?
Dia merupakan salah seorang wanita paling bijak yang pernah saya temui. Energi yang dipaparkan untuk wataknya sebagai seorang wanita kebudak-budakan dan pentingkan diri amat menarik. Pada sisi lain, Helena juga mampu melahirkan wajah sedih dan keseorangan Red Queen walaupun perlu mengambil masa sehingga empat jam untuk menyiapkan rambut serta solekan.
Bagaimana pula dengan Johnny Depp (Mad Hatter)?
Sebagai peminat filem lakonan Johnny, peluang untuk menyaksikan dia berlakon secara live adalah satu hadiah istimewa. Dia seorang lelaki mesra dan 'berkuasa' di lokasi penggambaran. Melihat dia menyempurnakan tugasnya dalam zonnya amat mengujakan.
Kebanyakan penggambaran dijalankan dengan latar belakang skrin hijau.
Pengalaman berlakon tanpa sets dan props?
Ia mungkin kelakar tetapi saya sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku semasa penggambaran. Semasa memasuki studio, apa yang boleh dilihat cuma dinding hijau dengan ruang kosong. Cuma Tim sahaja yang tahu apa yang berlaku dan mengawal keadaan. Apa yang perlu saya lakukan adalah melontarkan dialog dan tunggu arahan Tim. Dunia ciptaan Tim itu tidak pernah disaksikan dalam mana-mana filem. Disebabkan dunia itu tidak mempunyai peraturan, anda akan mengembara dalam dunia imaginasi luar daripada jangkaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: