Saturday, March 20, 2010

Mercedes-Benz S-Class


INOVASI teknologi SPLIT VIEW membolehkan pemandu dan penumpang melihat paparan berbeza pada skrin yang sama.


MEMANG benar, bukan senang mencipta kejayaan. Tetapi adalah lebih sukar untuk mengekalkan kejayaan itu dalam tempoh yang panjang. Dalam dunia automotif yang sangat kompetitif, kesilapan dalam menghasilkan sesuatu model penting boleh membawa musibah.

Sejak kurun ke-20, jenama yang terhasil daripada logo tiga bintang itu cukup sinonim dengan kemewahan. Biar di negara mana sekali pun, Mercedes-Benz sering dikaitkan dengan kejayaan, sama ada dalam bidang perniagaan atau kerjaya. Biarpun bukan semua model dari siri S menjadi, tetapi majoritinya memperoleh maklum balas positif daripada peminatnya.

Buktinya, S-Class pernah dikatakan sebagai model salon mewah paling berjaya sejak tahun 1951. Apabila model W220 mencatat jualan 3.3 juta unit di seluruh dunia. Di sini, S-Class merupakan peneraju pasaran dengan menguasai 70 peratus dalam segmen yang disertainya.

Selepas empat tahun produksi dan jualan model S-Class dengan kod badan W221 itu berlangsung di Malaysia, Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab memasar dan memasang jenama tersebut di pasaran tempatan kini tampil dengan generasi terbaru S-Class.

Ketiga-tiga varian ditawarkan iaitu S300L, S350L dan S500L ialah model yang dipasang tempatan (CKD) di kilang Mercedes-Banz di Pekan, Pahang.

Transisi ke dalam satu generasi menyaksikan ia menerima banyak perubahan, luaran dan dalaman. Tidak terkecuali pelbagai ciri baru dan tercanggih yang disumbatkan ke dalamnya. Semuanya demi membuatkan S-Class sebuah salon mewah yang tidak boleh dipertikaikan dari aspek keselesaan, prestasi dan keselamatan.

Menerusi talaan lebih baik serta spesifik, penggunaan tayar dengan halangan putaran lebih rendah, modifikasi stereng, pam bahan api, selain aplikasi transmisi automatik 7 kelajuan 7G-TRONIC membuatkannya mampu mengurangkan penggunaan petrol dan emisi sebanyak tujuh peratus.

Menurut Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Kereta Penumpang, Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd., Florian Mueller, berikutan jangkaan pasaran yang lebih positif pada tahun ini, pihaknya menjangka dapat menjual sebanyak 400 unit S-Class. Penyumbang terbesar pastinya menerusi model S300L.

"Pelbagai jenis alat pengesan dan sistem elektronik pintar yang ada di dalam S-Class telah menetapkan satu penanda aras baru dari aspek perlindungan penumpang, bantuan pemanduan dan hiburan.


APLIKASI teknologi suntikan bahan api Charged Gasoline Injection (CGI) yang ada pada enjin model C-Class C250 CGI BlueEFFICIENCY memberikannya penjimatan sehingga 12 peratus dan boleh menerima gred petrol RON95 tempatan tanpa sebarang masalah.


"Antara teknologi keselamatan aktif dan pasif tercanggih ialah seperti kombinasi unik sistem kamera dan radar, Blind Spot Assist, ATTENTION ASSIST yang mengesan pemandu mengantuk serta Adaptive High beam Assist. Sistem ini membantu pemandu untuk mengelak situasi kritikal, sekali gus mampu mengelakkan kemalangan," jelas Mueller.

Tidak perlu bimbang jika terpaksa memandu jauh pada waktu malam. Ciri Night View Assist Plus (hanya pada model S350L dan S500L), kamera infra merahnya kini dilengkapi dengan fungsi pengesan pejalan kaki khas. Sebaik sahaja sistem itu mengesan pejalan kaki, imejnya akan dijelaskan pada paparan supaya pemandu lebih berhati-hati.

Satu lagi ciri menarik yang ada pada S-Class ialah SPLITVIEW. Teknologi inovatif ini membolehkan pemandu dan penumpang tempat duduk hadapan menonton dua paparan berlainan media pada skrin yang sama.

Maksudnya, ketika anda melihat peta navigasi, penumpang pula sedang asyik menonton filem atau klip video tanpa sebarang gangguan.

Mercedes-Benz juga meningkatkan kawalan standard dan sistem paparan COMMAND dengan ciri tambahan, termasuklah slot kad memori SD. Di samping itu, antara muka Bluetooh boleh menyambungkan telefon bimbit dengan sistem hands-free dan antara muka USB. Ia membolehkan pengguna untuk mengimport data seperti maklumat navigasi ke dalam sistem S-Class.


APLIKASI teknologi suntikan bahan api Charged Gasoline Injection (CGI) yang ada pada enjin model C-Class C250 CGI BlueEFFICIENCY memberikannya penjimatan sehingga 12 peratus dan boleh menerima gred petrol RON95 tempatan tanpa sebarang masalah.


Harganya? Mercedes-Benz S300L, S350L dan S500L ditawarkan pada harga RM649,000, RM835,888 dan RM1 juta seunit.

Seminggu kemudian bertempat di Litar Sepang, Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan pula model terbaru C-Class yang dipanggil C250 CGI BlueEFFICIENCY. Apa yang membuatkan model itu begitu menarik perhatian semestinya aplikasi teknologi suntikan bahan api Charged Gasoline Injection (CGI) terbarunya.

Sistem suntikan itu menjadikannya sebagai model C-Class paling menjimatkan dengan penggunaan hanya 7.2 liter hingga 7.9 liter petrol sahaja untuk perjalanan sejauh 100 kilometer. Ia bersamaan dengan pengurangan sebanyak 12 peratus dan boleh menghirup gred petrol RON95 tempatan tanpa sebarang masalah.

Enjin M271 DEH empat silinder sebaris itu juga lebih berkuasa dan mesra alam kerana ia menepati piawaian standard emisi Euro5. Dengan kuasa maksimum mencecah 150kW dan 310 Nm tork, memecut dan menyusuri laluan sesak di pusat bandar menjadi satu kerja mudah. Jentera itu hanya memerlukan 7.2 saat untuk sampai ke kelajuan 100 kilometer sejam dari titik pegun.

Mercedes-Benz turut membangunkan pakej pengendalian dinamik (Dynamic Handling Package) yang menawarkan pemandu untuk memilih dua mode pemanduan, Sport dan Comfort.

Menerusi mode tersebut, penyerap hentakan akan dilaras menggunakan pemboleh ubah kawalan elektronik. Justeru, mode yang boleh diubah dengan hanya menekan butang itu berupaya memenuhi kehendak pemanduan yang berbeza.

Pakej itu meliputi stereng tiga jejari yang dipasang dengan paddle shifter. Ia membolehkan pemandu menukar gear tanpa perlu mengalihkan tangan daripada stereng.

Menggantikan model C-Class Avantgarde sebelum ini, ia boleh anda miliki pada harga RM287,888 seunit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: