MAMPUKAH pelumba negara melakar kejutan pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 kali ini?
Itu persoalan yang kerap kali menjadi perhatian peminat basikal tempatan setiap kali kejohanan lumba basikal berstatus 2.0 Hors itu berlangsung.
Atas kertas, kemampuan pelumba negara untuk bersaing dengan pelumba handalan Eropah masih lagi jauh ketinggalan.
Pencapaian terbaik pelumba negara sepanjang 14 edisi LTdL setakat ini dicipta oleh Tsen Seong Hoong yang menduduki tempat ke-19 keseluruhan pada edisi sulung 1996.
Namun ketika itu, LTdL hanya berstatus 2.5 dan tidak ramai pelumba handalan yang menyertainya.
Tahun lepas, ketika Anuar Manan diletakkan jangkaan yang tinggi, Ng Yong Li dari pasukan LeTua dan Mohd. Faris Abdul Razak pula yang muncul pelumba paling menyerlah apabila masing-masing menamatkan perlumbaan di tangga ke-45 dan 54 daripada lebih 180 peserta.
Namun kali ini, pelumba sensasi negara, Anuar bertekad untuk mencatat kejutan sejak mengubah destinasi pasukannya daripada pasukan Azad University ke pasukan dari China, Geumsan Ginseng Asia tahun ini.
Selain Anuar, pelumba negara lain yang dijangka memberi harapan untuk menyinar ialah Ahmad Haidar Anuwar, Loh Sea Keong yang berlumba buat pasukan Marco Polo, Ng Yong Li dan Mohd. Hafiz Rozli (LeTua), Adiq Hussainie Othman (Giramondo Agostino) dan Mohd. Akmal Amrun (skuad kebangsaan Malaysia).
Namun, menurut Anuar, selain mengharapkan rakan-rakan mempamer kayuhan yang bertenaga, dia pula berharap dapat menamatkan badi buruk yang menimpanya tahun lepas termasuk ketika rantai basikalnya putus dan tayar pula kerap kali pancit ketika perlumbaan.
"Tahun lepas saya gagal menyempurnakan misi yang diberikan dan gagal menyinar seperti yang diharapkan, tetapi kali ini saya harap dapat melakukan yang terbaik," kata pelumba dari Terengganu itu.
"Kali ini saya turun dengan pasukan baru iaitu Geumsan Ginseng Asia dan kami menjalani persiapan yang baik di Thailand.
|
|
"Laluan perlumbaan kali ini juga kebanyakkannya laluan mendatar dan ia mungkin memberi saya sedikit kelebihan. Apa pun saya tidak boleh memandang mudah perlumbaan ini, apa yang boleh saya katakan ialah saya akan mencuba sedaya upaya untuk menjadi pelumba terbaik di Asia," katanya lagi.
Nama-nama besar seperti Ghader Mizbani, Hossein Askari, Tonton Susanto, Masahiro Shinagawa, Alexandr Dymovskikh dan beberapa lagi pelumba lain sudah cukup untuk menggambarkan bahawa betapa besarnya tugas pelumba negara pada LTdL kali ini.
Malah, tahun ini juga bakal berlangsungnya Sukan Asia di Guangzhou, China, maka inilah medan terbaik buat mereka untuk mencari rentak dan mengukur tahap keupayaan mereka sebelum beraksi di kejohanan terbesar selepas Sukan Olimpik dan Komanwel.
Namun ada baiknya kita tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap mereka, khususnya pasukan kebangsaan Malaysia selepas jurulatih baru dari Australia, William Walker hanya menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 12 pasukan terbaik sebagai sasaran awal.
Sukar untuk meramalkan peluang pelumba dan pasukan negara sebelum perlumbaan bermula, namun menguasai saingan di peringkat awal juga bukan bermakna juara keseluruhan berhak untuk dinobatkan lebih awal.
Apa sahaja boleh terjadi dalam perlumbaan basikal lebuh raya, strategi dan percaturan setiap pasukan memainkan peranan penting, justeru diharap pelumba-pelumba negara mampu membuktikan kehebatan dan kemampuan sebenar mereka untuk bersaing dengan pelumba handalan dunia yang lain.
Inilah masanya untuk mereka buktikan, bermula pada perlumbaan peringkat pertama dari Kota Bharu ke Kuala Berang hari ini sehinggalah ke peringkat terakhir pada Kuala Kubu Baru - Dataran Merdeka 7 Mac ini.
LTdL musim ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang diberi status Hors oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: