Monday, March 1, 2010

Polis Israel masuki Al-Aqsa


BEBERAPA remaja membaling batu ke arah anggota polis dan tentera dekat pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS - Polis Israel memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa di sini semalam selepas beberapa penduduk Palestin membaling batu ke arah pengunjung-pengunjung di kawasan yang paling sensitif melibatkan penganut Islam dengan agama Yahudi.

Konfrontasi yang berlaku itu meningkatkan lagi ketegangan selepas pemerintah Israel mengumumkan satu pelan untuk menjadikan kawasan suci agama Yahudi di Tebing Barat sebagai kawasan warisan kaum Yahudi.

Beberapa saksi berkata, keganasan bermula selepas penduduk Palestin membaling batu ke arah pengunjung yang melawat kawasan tersebut.

Pegawai-pegawai Palestin berkata, berita telah tersebar bahawa pemerintah Israel akan memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa yang turut menempatkan masjid Kubah Emas.

Jurucakap pasukan keselamatan Israel, Micky Rosenfeld berkata, polis Israel menangkap tujuh penduduk Palestin dan empat anggota polis Israel cedera dibaling batu.

Sumber perubatan Palestin berkata, seramai tiga orang penduduk Palestin cedera ditembak dengan peluru getah telah dihantar ke hospital.

Sejumlah lagi dirawat kerana terkena gas pemedih mata.

Ketua Perunding Palestin Saeb Erekat mendakwa rejim Zionis itu memburukkan lagi ketegangan yang berlaku dengan tujuan untuk melemahkan usaha-usaha Amerika Syarikat (AS) bagi menganjurkan satu rundingan damai.

"Mesej yang hendak disampaikan sangat jelas. Israel cuba mensabotaj semua usaha-usaha untuk memulihkan keamanan," katanya kepada pemberita.

Israel dan AS telah menghubungi Presiden Palestin Mahmoud Abbas untuk memulakan rundingan dengan segera.

Namun, Mahmoud menyatakan Israel mesti menghentikan terlebih dahulu semua usaha-usaha untuk membina penempatan semula penduduk Yahudi di Tebing Barat sebelum memulakan rundingan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: