Friday, August 24, 2012

Televisyen hapus amalan ziarah?

TIDAK salah meluangkan masa bersama keluarga di hadapan televisyen tetapi bukan bermakna kita meminggirkan amalan ziarah yang sinonim dengan Aidilfitri. - Gambar hiasan


PAGI 1 Syawal lalu, suasananya amat berbeza. Jika pada hari-hari biasa, Mohamad Akmal Firdaus Iskandar, 29, bersiap-siap ke tempat kerja, namun hari itu dia segak berpakaian baju Melayu bersiap sedia untuk ke masjid bagi menyempurnakan solat sunat Aidilfitri bersama keluarganya.

Usai solat, dia bersama keluarganya menikmati hidangan raya dan kemudian menghabiskan detik-detik hari pertama Syawal dengan menonton rancangan-rancangan menarik yang dihidangkan oleh stesen-stesen televisyen.

Begitulah rutin keluarga jejaka tersebut pada Hari Raya Aidilfitri sejak beberapa tahun sebelumnya. Ia bukan sahaja berlaku pada hari pertama Syawal, malah berlanjutan selama beberapa hari.

Rutin tersebut tentu tidak asing bagi segelintir keluarga lain di negara ini dan mungkin keluarga anda salah satu daripadanya.

Kesempatan 1 Syawal yang sepatutnya diisi dengan amalan ziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat handai kini dilihat semakin terhakis gara-gara mengutamakan ‘berziarah’ di depan kaca televisyen terlebih dahulu.

Boleh dikatakan daripada celik mata hinggalah ada yang terlena terus di depan televisyen pada lewat malam kerana terpaku dengan sajian hiburan program-program televisyen yang pelbagai.

Bagi segolongan masyarakat yang menyedari perkara itu, mereka menganggapnya sebagai budaya lebaran yang menghakis elemen perayaan tradisi dan amalan ziarah sempena Aidilfitri.


AMALAN ziarah perlu dipupuk oleh ibu bapa dalam diri anak masing-masing agar ia sebati dalam jiwa mereka. - Gambar hiasan


Begitupun, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar memberitahu, adalah tidak wajar menggunakan istilah ‘budaya’ dalam isu ini kerana ia seolah-olah menghukum semua ahli masyarakat melakukan perkara tersebut sedangkan hanya segelintir sahaja yang berbuat demikian.

“Kita hidup dalam persekitaran yang tidak menekankan silaturahim. Kini, semua orang sibuk dan tidak mempunyai masa, Bagi mereka, masa cuti digunakan sepenuhnya untuk berehat.

“Sungguhpun masih ada yang mengamalkan tradisi ziarah, memang tidak dapat dinafikan tentang golongan yang terikat di ruang tamu keluarga lantaran mahu menonton televisyen. Bagi mereka ziarah tidak penting,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sejak kecil

Tambahnya, kesalahan tidak seharusnya diletakkan di bahu mereka kerana mereka tidak dipupuk dengan nilai silaturahim sejak kecil dan akhirnya amalan ziarah tidak menjadi rutin Syawal.

Soalnya, siapa yang harus dipersalahkan? Adakah hal ini disebabkan stesen-stesen televisyen yang menyajikan pengisian siaran menarik sehingga ramai yang ‘melekat’ di depan televisyen atau ibu bapa hari ini ‘gagal’ memupuk nilai-nilai silaturahim?

“Tidak perlu menuding jari mencari salah siapa kerana kita perlu sedar bahawa nilai-nilai hidup kini memang begitu.

“Keluarga sibuk dan tiada masa untuk bawa berjalan dan berziarah. Bukan salah sesiapa,” ujarnya.

Katanya, hendak disalahkan stesen-stesen televisyen pun tidak boleh kerana mereka beroperasi bertunjangkan sasaran perniagaan.

Mereka berlumba-lumba antara satu sama lain bersaing untuk mengejar rating paling tinggi.


SUASANA harmoni ketika berziarah mampu mengeratkan lagi hubungan persaudaraan kerana pada Hari Raya Aidilfitri mereka dapat berkumpul bersama, bertanya khabar dan saling bertukar-tukar cerita. - Gambar hiasan.


“Oleh kerana itu, ramai orang yang lebih cenderung untuk mengadakan rumah terbuka. Dahulu mana ada rumah terbuka macam sekarang? Kalau dahulu, mereka yang hendak datang beraya boleh datang pada bila-bila masa sahaja.

“Inilah realiti hidup. Kekurangan masa dan tenaga yang terhad menyebabkan mereka mengambil jalan selamat dengan mengadakan rumah terbuka. Sekurang-kurangnya penat mereka hanya sehari,” jelasnya.

Nilai tradisional

Jas Laile memberitahu, kalau sesebuah negara bergerak ke arah negara maju, orang lebih bersikap individual dan nilai-nilai tradisional semakin terhakis. Itu merupakan suatu yang normal.

“Sungguhpun begitu, ia terpulang kepada keluarga masing-masing. Jika semangat ziarah itu kuat, rancangan televisyen hebat macam mana sekalipun, mereka tetap akan berziarah.

“Biasanya, orang tua-tua sahaja yang ambil berat mengenai amalan ziarah ini kerana masa hari rayalah kita berjumpa dengan sanak saudara. Bukan selalu, setahun sekali sahaja, nanti tak kenal saudara sendiri pula,” katanya.

Ditanya sama ada kebergantungan terhadap teknologi menyebabkan nilai-nilai tradisi terhakis? Jas Laile memberitahu, teknologi tidak wajar dijadikan alasan dalam hal ini.

“Pokok pangkalnya diri sendiri dan cara didikan yang dipupuk oleh ibu bapa masing-masing. Tidak dinafikan teknologi menyumbang kepada kemerosotan nilai-nilai dan sifat-sifat kekitaan.

“Bagi mengekang trend menonton televisyen ketika lebaran, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan memupuk semangat kekitaan kepada anak-anak ketika mereka kecil lagi,” ujarnya.

Pesannya, ibu bapa sepatutnya mengajak anak-anak mereka menziarahi rumah saudara-mara dan jadikan ia sebagai amalan.

“Jika mereka menjadikan rancangan televisyen sebagai alasan, pujuk mereka bahawa rancangan tersebut akan ada siaran ulangan dan ia boleh ditonton kemudian.

“Aidilfitri setahun sekali sahaja dan amalan ziarah-menziarahi perlu dijadikan kemestian setiap kali lebaran,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: