Friday, August 24, 2012

Nasib bahasa pribumi Filipina

Sebelum ini, ramai murid ditegur agar tidak menggunakan bahasa ibunda mereka di sekolah. Namun, semua itu bakal berubah apabila akta pembelajaran baharu yang membenarkan bahasa tempatan dituturkan.


FILIPINA mempunyai 175 bahasa selain Tagalog dan ia semakin diancam kepupusan.



BAHASA Inggeris dan Tagalog menyebabkan kanak-kanak yang berada di pedalaman tidak dapat mengikuti pelajaran malah dianggap sebagai pelajar lembam.


ARNEL VALENCIA berasa terhina di sekolah apabila tidak dibenarkan menggunakan bahasa yang selalu dituturkannya di rumah. Tindakan itu sudah berdekad-dekad lamanya menjadi paten pemusnahan linguistik di seluruh Filipina.

"Berhenti bercakap seperti burung. Kamu sepatutnya menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa kebangsaan," herdik seorang tenaga pengajar kepada Arnel.

Arnel berketurunan puak pergunungan Ayta Magindi yang sudah berabad-abad mendiami kawasan pergunungan Zambales. Kawasan hutan tebal itu hanya tiga jam perjalanan menaiki kereta dari ibu negara, Manila.

Penduduk puak itu kini tinggal seramai 3,000 orang dan mendiami persekitaran pekan pertanian, Porac. Puak itu merupakan penjaga bagi salah satu daripada berpuluh-puluh bahasa terpencil yang diancam kepupusan di kepulauan Asia Tenggara.

Filipina yang memiliki populasi seramai 95 juta orang memiliki sebanyak 175 laras bahasa tetapi sesetengahnya hanya mempunyai sedikit penutur. Lebih malang, banyak juga yang sudah pupus lantaran tiada penutur.

Migrasi dan asimilasi

Menurut ketua antropologi Muzium Kebangsaan Filipina, Artemio Barbosa, lebih 50 bahasa terpencil di negara itu boleh hilang dalam tempoh 20 tahun.

"Apabila mereka migrasi ke tempat lain dan mengalami asimilasi, mereka tidak lagi bercakap dalam bahasa ibunda kerana yang menjadi kepentingan ialah bahasa yang mudah difahami dan boleh ditutur setiap hari," kata Barbosa.

Pakar berkata, masalah lain yang menyumbang perkara tersebut adalah apabila hanya dua bahasa yang diajar di sekolah iaitu bahasa Inggeris dan Filipina. Bahasa Filipina memiliki asas bahasa Tagalog dan ditutur oleh penduduk sekitar Manila.

Bapa Arnel, Valencia yang merupakan ahli jawatankuasa majlis kampung tempatan merungut tentang anaknya yang dilarang menggunakan bahasa Ayta Magindi di sekolah.

Sementara itu, orang dewasa pula terpaksa belajar bahasa Pampangan iaitu bahasa tempatan yang perlu dikuasai untuk mendapat kerja di kilang atau ladang.

"Bahasa bukan sahaja satu-satunya perkara yang kami akan hilang tetapi budaya turut berdepan risiko sama. Diskriminasi yang kami tanggung tidak pernah reda," keluhnya.

Kelangsungan bahasa

Namun, pakar bahasa terancam dari Institut Linguistik Summer, Amerika Syarikat, Catherine Young berkeyakinan masih ada harapan untuk bahasa-bahasa tersebut terus hidup.

Dia banyak menghabiskan masa mengkaji banyak bahasa yang kurang dikenali di Filipina.

"Kesedaran terhadap harga sebuah bahasa di Filipina semakin meningkat berbanding negara-negara Asia lain (yang memiliki bahasa minoriti) yang tidak menggalakkan bahasa lain dalam khalayak terbuka," kata Young.

Dia menyatakan bahawa keputusan kerajaan melaksanakan pembelajaran bahasa ibunda bermula pada tahun ini sebagai langkah penting dalam menyelamatkan bahasa-bahasa terpencil.

Pada tahun akademik baharu bermula pada 12 Jun lalu, bahasa yang paling banyak digunakan akan menggantikan bahasa Inggeris dan Filipina sebagai bahasa perantara daripada peringkat tadika sehingga gred ketiga.

Gabungan penutur bagi 12 laras bahasa ibunda itu membentuk jumlah lebih 63 juta orang atau dua pertiga populasi kebangsaan.

Jabatan Pendidikan berkata, polisi terbaharu itu kesan daripada keputusan yang pernah dilakukan oleh Institut Linguistik Summer pada pertengahan tahun 90-an.

Kajian institut tersebut adalah dengan mengajar guru-guru tempatan menggunakan bahasa percakapan Lilubuagan yang ditutur seramai 14,000 orang di pergunungan utara.

Pakar lingusitik Amerika, Diane Dekker pernah tinggal di pergunungan Cordillera bersama-sama suami dan empat orang anaknya pada tahun 1987 untuk memulakan program itu. Pada peringkat awal, dia menghadapi sifat skeptikal oleh penduduk tempatan.

Skeptikal

"Ibu bapa berasa khuatir ia akan memberi efek negatif terhadap penguasaan bahasa Inggeris. Bahasa itu amat penting bagi mereka dan perlu dikuasai semata-mata untuk mendapat pekerjaan," kata Dekker.

Bagaimanapun, katanya, bahasa pengajaran Lilubuangan yang diajar kepada kanak-kanak sebenarnya menjadikan anak mereka seorang pelajar yang lebih baik kerana tidak perlu 'menyeksa kerongkong' untuk menyebut bahasa Inggeris dan Filipina sebaik sahaja memasuki sekolah.

Masalah paling jelas adalah pada program kerajaan yang hanya memberi perhatian pada bahasa paling banyak digunakan dan ia akan terus bernyawa manakala yang kurang bilangan penutur akan terbiar.

Bagaimanapun, kerajaan akan mula memperkenalkan arahan bahasa ibunda untuk bahasa-bahasa paling terancam.

Sementara itu, pastor Protestan bagi komuniti Ayta Magindi di banjaran Zambales, Benny Capuno berkata, sekolah bantuan kerajaan di situ akan memulakan sesi pembelajaran menggunakan bahasa ibunda pada bulan Jun ini.

"Langkah ini akan memulihkan rasa bangga orang muda seterusnya mereka akan menggali muzik, bahasa dan budaya unik mereka," kata Capuno.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: