WALAUPUN Syawal sudah memasuki hari keenam, belum terlambat rasanya saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada semua pembaca ruangan ini.
Saya yakin, seperti tahun-tahun sebelumnya, hari raya kali ini disambut penuh meriah.
Antara hidangan keluarga saya yang wajib disediakan adalah rendang Negeri Sembilan atau juga dikenali dengan rendang Minang untuk dimakan bersama ketupat dan lemang.
Inilah Istimewanya jika beraya di kampung saya di Nilai, Negeri Sembilan. Orang kata jika tiada rendang Minang tidak lengkaplah raya kami sekeluarga.
Ia berlainan dari rendang biasa dari segi cara memasak, rasa dan warnanya. Untuk membuat rendang ini, anda boleh menggunakan ayam, itik, daging lembu atau kambing.
Kebiasaannya untuk membuat rendang gunakan daging yang pejal dan tidak mudah hancur seperti ayam kampung atau ayam pencen, itik dan lembu kerana tekstur daging yang keras dan tidak mudah hancur ketika dimasak lama.
Jika anda ingin menggunakan ayam biasa anda perlu memasukkan daging ketika kuah rendang telah kering dan dikacau sehingga menjadi rendang supaya ia tidak hancur.
Rendang ini menggunakan banyak cili api atau cili padi. Sebab itu ia sedikit pedas. Bahan lain yang digunakan lebih kurang sama dengan bahan rendang biasa. Selain daging ia menggunakan organ dalaman seperti hati, limpa dan paru.
Teknik merendangnya pula anda tidak perlu menumis bahan-bahan kisar. Tetapi semuanya dicampurkan sekali dan dimasak dengan api perlahan sehingga rendang kering. Santan yang dimasak akan mengeluarkan minyak setelah ia masak.
Daging perlu dimasak dahulu bersama-sama rempah yang telah dikisar sehingga menjadi kecut dan mesra dengan rempah-rempahnya.
Ini akan membuatkan daging dapat meresap semua rempah yang dikisar. Kemudian barulah dimasukkan santan dan direndang sehingga kering. Sebaik-baiknya gunakan santan asli agar rendang lebih sedap.
Gunakan api yang sederhana agar daging menjadi empuk dan semua rasa meresap dalam daging. Sentiasa dikacau supaya rendang tidak berkerak dan hangit.
Proses akhir adalah masukkan kerisik bagi memberikan rasa lebih lemak di samping ia dapat memekatkan kuah rendang dan memberikan warna yang lebih gelap pada rendang ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: