Thursday, August 2, 2012

Pewaris muzik gambus tanah air



OUD atau lebih dikenali sebagai gambus di negara ini adalah alat muzik bertali seperti gitar yang berasal dari Asia Barat. Ia dibawa ke Tanah Melayu sekitar tahun 1800 dan paling popular di negeri Johor.

Di Malaysia, antara pemain gambus yang dikenali ramai sudah tentunya Raja Gambus, Allahyarham Fadzil Ahmad. Beliau dilahirkan pada 12 Jun 1941 di Parit Bakar, Muar dan mula jatuh cinta dengan gambus pada usia 17 tahun. Pada tahun 1958 beliau menubuhkan sebuah kumpulan dikenali sebagai SHR Maharani Ghazal.

Allahyarham pernah menjadi duta kecil negara semasa mengadakan persembahan muzik di luar negara telah merakamkan 13 EP, malah pada tahun 1970, allahyarham merakamkan LP pertama yang bertajuk Terkenang Si Dia. Bekas Ketua Muzik Kompleks Budaya itu turut mencipta kira-kira 52 buah lagu antara yang popular ialah Si Dia Datang, Joget Empat Dara, Joget Secawan Kopi, Joget Memikat Janda, Terkenang Si Dia dan Si Cantik Manis.


RAJA ZULKARNAIN (kanan) mengajar salah seorang pelajarnya di Universiti Kuala Lumpur memetik oud atau gambus.


Walaupun allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2006, namun kemerduan irama gambus menyebabkan masih ramai pencinta gambus yang meneruskan usaha perjuangan memelihara muzik itu. Antara mereka yang turut meminati gambus termasuklah Mohd. Nizam Attan, 45. Beliau yang berasal dari Rengit, Johor mula menceburi seni muzik dengan bermain bonggo untuk kumpulan gambus, Nurullail seawal usia sembilan tahun. Minat pada usia muda didorong oleh susur galur keluarganya yang berkecimpung dalam muzik tersebut.


ALUNAN muzik oud membawa Raja Zulkarnain menjelajah dunia.


Beliau semakin aktif dan kemudian menjadi pemain akordion, gambus dan violin bagi kumpulan Nurul Hilal dari tahun 1976 hingga tahun 2000. “Saya dilahirkan dalam keluarga yang meminati gambus yang membawa alat muzik tersebut dari Singapura. Bapa saya, Ustaz Attan membawakan lagu-lagu qasidah dan nasyid pada tahun 1958. “Melalui kumpulan Nurul Hilal, kami banyak memainkan lagu-lagu zapin, sarah dan lagu-lagu

Asia Barat yang dipengaruhi filem Mesir. Antaranya, lagu-lagu daripada penyanyi seperti Muhammad Abdul Wahab, Fared El Atrash serta Ummi Kalthoum. “Ketika itu kami banyak memenuhi undangan bermain di majlis perkahwinan Melayu dan Arab. Penglibatan dengan kumpulan ini menjadikan saya pandai bermain gambus ketika berusia 12 tahun,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


KEMASYHURAN dan kehebatan Allahyarham Fadzil bermain gambus sehingga beliau diberi gelaran Raja Gambus Malaysia.


Mohd. Nizam berkelulusan Sarjana Sains (Teknologi Maklumat Muzik) daripada City University, London pada 1997, kini menjawat jawatan Ketua Jabatan Muzik dan Pendidikan Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Perak. Atas semangat cintakan alat muzik gambus itu, beliau melakukan banyak penyelidikan antaranya bertajuk Gambus Johor: Sejarah, Perkembangan, Teknik, Permainan dan Persembahan.

Selain itu, usaha terbaharu beliau adalah dengan menghasilkan artikel bertajuk Gambus: Tinjauan Awal Terhadap Gaya Permainan di Johor.

Gambus di Malaysia


DI Asia Barat gambus atau oud lebih banyak dimainkan secara solo berbanding di negara ini yang dimainkan dalam bentuk kumpulan contohnya mengiringi ghazal atau zapin.


Menurutnya, di Malaysia terdapat dua tanggapan terhadap muzik gambus iaitu gambus sebagai alat iringan dalam sebuah kumpulan muzik seperti ghazal, zapin dan nasyid, manakala tanggapan kedua pula adalah gambus sebagai alat solo yang memainkan lagu-lagu bersifat klasik. “Pemahaman masyarakat Malaysia terhadap gambus hanya secara umum. Dalam permainan gambus terdapat empat maqam (tangga nada dalam sistem muzik Arab) iaitu maqam rast, bayati, nahwand dan sikah.

“Kebanyakan lagu-lagu Melayu yang dimainkan dalam tangga nada major atau minor. Bagi mengembangkan lagi muzik ini, beberapa institusi pengajian tinggi dan sekolah telah menawarkannya sebagai salah satu subjek pelajaran,” katanya lagi. Mohd. Nizam memberitahu, gambus di Malaysia sedang berkembang dan beliau berharap lebih ramai golongan muda menguasai teknik-teknik permainan gambus. Belajar hingga ke Mesir


PEMAIN solo oud dari Mesir, Sherine Tohamy berlatih lebih lapan jam sehari bagi memastikan kualiti permainannya meningkat.


Seorang lagi penggiat muzik berkenaan, Raja Zulkarnain Raja Mohd. Yusof, 41, menjadikan alunan muzik Asia Barat itu sebagai nadi perjuangan seninya. Pelbagai usaha dilakukan dalam mendalami irama berkenaan termasuk berguru di Mesir. Antara guru beliau termasuklah Nehad Sayed dan Mustafa Said.

Pencapaian anak kelahiran Muar, Johor itu agak membanggakan apabila pernah mencipta sejarah tersendiri iaitu diundang khas membuat persembahan dengan pemain oud tersohor dunia Arab, Naseer Shamma pada 2005.

“Saya berusaha memperkenalkan alat muzik oud kerana gambus di negara ini lebih kepada bentuk hiburan dan sumber pendapatan. Oud di Asia Barat pula merupakan satu bentuk hiburan yang berprestij. “Justeru, saya sendiri berusaha menerbitkan sebuah buku bertajuk Pengenalan Oud yang bakal berada di pasaran September ini. Selain itu, Konservatori Seni Kebangsaan (NCA) pula sedang berusaha menghasilkan gambus beridentitikan Malaysia termasuk dari segi saiz, reka bentuk, bunyi dan hiasan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: