Wednesday, August 1, 2012

Peranti inspirasi alam semula jadi

ORANG ramai menunggu seawal 7 pagi untuk membeli Samsung Galaxy S III.


WALAUPUN kaunter pembelian Samsung Galaxy S III oleh Celcom hanya dibuka pada pukul 10 pagi di ruang legar pusat beli-belah Midvalley, Kuala Lumpur, Wong Kok Keong, 48, sudah beratur seawal 6.45 pagi.

Penantiannya berbaloi apabila berjaya menjadi individu pertama yang memenangi peluang membeli gajet terkini itu pada harga RM888 berbanding harga asal RM2,199.

Lelaki yang bekerja di bahagian sumber manusia sebuah syarikat di Petaling Jaya, Selangor itu amat meminati gajet terkini. Sekiranya dia berjaya mendapatkan alat perhubungan itu, dia pasti berasa puas.

Selain Celcom yang menawarkan harga berpatutan dengan pakej talian, Maxis turut mengadakan promosi pada harga peranti RM999 yang berakhir pada Jun lalu. U Mobile turut memiliki pakej menarik untuk pembelian Galaxy S III serendah RM588 dengan bayaran sebanyak RM168 sebulan.

Samsung Galaxy S III kini menjadi antara gajet yang dinanti-nanti oleh peminat teknologi telekomunikasi. Selalunya, setiap kali sesebuah telefon pintar itu dilancarkan, pasti terdapat ciri-ciri terbaharu tanpa mengira jenama.

Bagaimanapun, perubahan drastik dari segi reka bentuk dan teknologi lebih ketara pada telefon pintar keluaran pemain industri, Samsung dan Apple. Produk daripada dua pengeluar itu juga kerap menjadi kayu ukur kepada yang lain.

Ketika majlis perkenalan Galaxy S III yang diadakan di Hotel One World, Petaling Jaya, banyak penambahan ciri yang ada sekali gus dijangka mampu menarik perhatian peminat tegar telefon pintar.

Seiring tema Direka Untuk Manusia, Inspirasi oleh Alam Semula Jadi, rekaan fizikalnya sangat selesa dan ergonomik mengikut cengkaman tangan manusia.

Unsur-unsur semula jadi seperti angin, air dan cahaya ditafsirkan dengan reka bentuk yang licin dan tiada garisan. Terdapat dua warna iaitu biru kerikil dan putih marmar.

Antara muka telefon Galaxy S generasi ketiga itu juga sinonim dengan rangkai kata ‘umpama menyentuh air di dalam kolam’.

Pelbagai fungsi

Ciri menarik mengenai telefon itu ialah Pop Up Play yang membolehkan pengguna memainkan video pada mana-mana skrin Samsung Galaxy S III sambil memeriksa e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa perlu menutup atau memainkan semula video.

Kamera merupakan ciri yang perlu ada untuk setiap telefon pintar. Galaxy S III memiliki kamera 8 megapiksel, manakala 1.9 megapiksel pada kamera depan.

Selain itu, ciri Burst Shot mampu merakam gambar secara berterusan sebanyak 20 keping. Aplikasi Best Photo pula akan memilih lapan keping foto yang terbaik, jadi setiap momen terindah pemilik yang berlaku dalam tempoh beberapa saat tidak terlepas.

Dari segi perkongsian pula, ciri S Beam memudahkan fail dihantar antara dua buah Galaxy S III semudah tiupan angin dengan menyentuh pada bahagian belakang gajet itu. Selain itu, ia turut memiliki teknologi Near Field Communication (NFC).

Interaksi semula jadi antara manusia dengan Galaxy S III merupakan ciri yang sangat menarik. Ciri Smart Stay mampu mengesan pergerakan mata pengguna melalui kamera hadapan, sama ada sedang melayari internet atau membawa buku elektronik.

Telefon pintar itu akan sentiasa pada paparan cerah tanpa mengganggu konsentrasi pembaca kerana tidak perlu menyentuh skrin bagi mengekalkan kecerahan.

Selain itu, S Voice dapat memahami lapan bahasa. Ia berfungsi dengan mendengar perkataan yang keluar dari mulut pengguna dan bertindak balas terhadap apa yang diucapkan.

Antara aplikasi yang boleh dilakukan ialah carian informasi, penggera, memainkan muzik kegemaran, menaik atau menurunkan suara, menghantar SMS, e-mel, mengambil gambar dan memulakan kamera.

Lapan bahasa yang difahami ialah Inggeris United Kingdom, Inggeris Amerika Syarikat, Sepanyol, Sepanyol Amerika Selatan, Jerman, Perancis dan Itali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment