Wednesday, August 22, 2012

Obesiti - ibu segala penyakit

SAYA mempunyai berat badan yang obes kira-kira 90 kilogram (kg) dengan ketinggian 165 sentimeter (sm). Adakah saya perlu mengurangkan pengambilan makanan manis, berlemak dan berminyak yang kebanyakannya dihidangkan pada musim perayaan ini? Adakah hidangan ini punca utama kolesterol yang sekali gus mengganggu kesihatan?

* Farah, Kuala Lumpur.

JAWAPAN:

Dengan berat badan 90 kg dan ketinggian 165 sm, indeks jisim badan Farah adalah 33.3 kg/ m2. Memang tepat sekali Farah dikategorikan mengalami obesiti.

Obesiti adalah penyakit bukan keadaan. Ramai tidak menganggap obesiti sebagai perkara serius atau punca utama penyakit. Dalam hal ini, kita perlu meletakkan obesiti dalam kedudukan pertama, diikuti masalah diabetes melitus, aras kolesterol yang tinggi, hipertensi dan hati berlemak, strok, sakit jantung, barah hepar dan barah usus.

Dalam erti kata lain, obesiti adalah punca utama segala penyakit lain. Masalah timbul apabila orang ramai dan pesakit tidak menganggap obesiti sebagai satu penyakit. Mereka menganggap ia lebih kepada satu keadaan bukan penyakit yang perlu diberi perhatian serius.

Jika orang ramai merawat obesiti, mereka melakukannya hanya untuk tujuan kosmetik dan bukan perubatan. Sekiranya pesakit yang datang ke klinik untuk menyambung ubat, tidak banyak perubahan yang dicapai dari segi tahap kesihatan. Mereka akan mengambil empat hingga lima jenis ubat dan bacaan gula atau tekanan darah dalam keadaan normal tetapi berat badan semakin bertambah. Maka keadaan mereka yang sihat adalah sementara.

Tidak terkawalApabila ubat dikurangkan, penyakit akan menjadi tidak terkawal semula. Jadi ubat perlu disambung, mereka datang ke klinik hanya sekadar menyambung ubat dan bukan untuk berubat. Golongan yang datang untuk berubat adalah lebih proaktif.

Terdapat beberapa rawatan obesiti termasuk mengurangkan kekerapan makan terutama waktu malam, kurang memakan makanan berlemak, bersantan dan bergoreng. Cara pemakanan atau menu juga perlu ditukar seperti mengamalkan makanan rebus, kukus atau panggang serta berserat dan berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan kurang manis dan kurang lemak seperti epal, jambu dan lain-lain. Golongan obes juga perlu banyak bersenam. Justeru anda tidak perlu suplemen atau ubat untuk mengurangkan berat badan sekiranya mengamalkan nasihat di atas.

Obesiti adalah satu penyakit dan bukan keadaan yang boleh diambil ringan. Ini kerana obesiti adalah antara punca utama diabetes melitus, hipertensi, hiperkolesterol, kanser usus (kolorektal) dan lain-lain. Oleh itu, hendaklah mengelak daripada mengambil makanan yang manis, berlemak dan berminyak pada setiap masa dan bukanlah semasa musim perayaan sahaja. Ingat! pemakanan yang tidak sihat adalah punca utama pelbagai penyakit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: