BAGAIKAN satu kemestian, selain ayah bonda, sinar Syawal pertama ditemani ahli keluarga. Pasti terasa syahdu di hati jika tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman dek tuntutan tugas.
Noramalina Ab. Rahman, 22, antara insan bertuah kerana dapat meraikan lebaran bersama ahli keluarga.
"Namun berbanding orang lain yang seronok merancang perjalanan balik ke kampung, bagi kami sekeluarga, Kuala Lumpur adalah kampung. Kelebihannya, kebanyakan ahli keluarga tiada masalah untuk berkumpul pada hari raya pertama di sini. Bagi saya, ia lebih bermakna berbanding 10 pasang baju baru,'' ujar gadis hitam manis ini.
Menurut Noramalina, ikatan kekeluargaan akan dipupuk lebih mesra pada hari raya.
"Kita jarang dapat berkumpul dan bersembang, jadi kesempatan yang ada pada cuti raya pasti digunakan sepenuhnya untuk mengeratkan tali kekeluargaan,'' ujarnya.
Rutin
Bercerita tentang rutin hari pertama Syawal, mereka sekeluarga sibuk mengemas rumah, kemudian sembahyang sunat Aidilfitri.
"Selepas menunaikan solat, kami sekeluarga akan menziarahi pusara. Setelah itu, kami pulang ke rumah untuk bertemu dengan saudara-mara dan saling bermaaf-maafan,'' katanya.
Bagi pramugari ini, juadah wajib di hari raya adalah ketupat dan rendang.
"Selain dapat berkumpul dengan keluarga, hari raya juga adalah masa untuk kita menikmati juadah tradisional.
"Kalau dulu, masa kanak-kanak, saya seronok mendapat duit raya tetapi kini saya gembira bertemu serta bergurau dengan saudara-mara,'' ujarnya yang gemarkan fesyen ringkas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: